Friday, August 17, 2018

4596) AHLONG PERAS PEMINJAM DENGAN ALASAN PENGENALAN SST – HARIAN METRO – 17/8/18



Kuala Lumpur: Memberikan alasan pengenalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), ceti haram atau along kini mengenakan kadar faedah tidak masuk akal berjumlah lebih 40 peratus sebulan bagi setiap pinjaman.
Taktik terbaru itu dikesan Unit Banteras Ceti Haram Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas menerima aduan daripada peminjam yang buntu memikirkan kaedah bayaran balik terlalu tinggi daripada jumlah diluluskan.
Pengarahnya Azman Kang berkata, kadar dikenakan itu jelas melanggar Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1951 yang menetapkan 1.5 peratus sebulan sekali gus menunjukkan along menentukan kadar bayaran sesuka hati sehingga menekan peminjam.
Katanya, sepanjang empat hari lalu, ada empat kes tuntutan bayaran balik pinjaman dengan jumlah antara RM20,000 dan RM3.6 juta di mana semuanya dikenakan faedah sehingga lebih 40 peratus.
“Bagi kes pinjaman RM20,000, pengadu sudah membayar RM25,500 tetapi along menuntut tambahan bayaran sehingga RM28,500 lagi untuk tutup kes.
“Ceti ini memberikan alasan ia berpunca daripada cukai SST yang akan diperkenalkan kerajaan sedangkan ia tiada kena mengena dan jumlah bayaran itu mereka sendiri yang tetapkan,” katanya ketika ditemui di pejabat PPIM di Keramat Hujung di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum ini along sering menggunakan alasan hari perayaan dan sesi persekolahan untuk mengenakan caj lebih tinggi bagi setiap pinjaman kerana mendapat ‘permintaan’ tinggi daripada pelanggan.
Katanya, kadar faedah tertinggi pernah direkodkan pihaknya adalah pada kadar 10 peratus dan jauh lebih rendah daripada kadar terbaru itu.
Azman berkata, semakan turut mendapati along terbabit memanipulasi dokumen perjanjian yang ditandatangani peminjam dengan meletakkan tarikh dan jumlah berbeza untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
“Ini yang selalunya peminjam tidak tahu. Mereka tandatangan borang dengan bahagian jumlah pinjaman dan kadar faedah dikosongkan.
“PPIM menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas kepada along yang menindas peminjam. Jika tidak, mereka terus berleluasa kerana pengguna terdesak untuk mendapatkan wang mudah,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro
AHLONG PERAS PEMINJAM DENGAN ALASAN PENGENALAN SST

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...