Tuesday, December 27, 2016

3297) PUNCA JUDI GAGAL DIBANTERAS - UTUSAN MALAYSIA - 26/12/2016


KUALA LUMPUR 25 Dis. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengesyaki kegagalan membanteras premis judi yang berleluasa di Selangor dan juga ibu kota berpunca daripadanya wujudnya halangan daripada pihak ketiga.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ekoran itu, pihaknya mahu pegawai tertinggi negeri berkenaan turun padang untuk melihat dan memantau sekiranya wujud kekangan ke atas penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka.
Kata beliau, sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan lebih drastik dan menunjukkan kesungguhan untuk membanteras masalah berkenaan de­ngan menutup semua premis judi yang wujud ketika ini.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya perlu memandang serius perkara ini dan jangan memalukan perkhidmatan awam dengan menunjukkan kelemahan tidak sepatutnya kerana premis judi yang ber­operasi ini boleh dibanteras.
“Cukuplah memberi fokus kepada benda yang tidak masuk akal sedangkan banyak lagi perkara yang perlu diberi perhatian dan menyalahi undang-undang sedang berlaku. Mereka harus ingat ini adalah masalah rakyat dan jika dibiarkan akan menyumbang kepada masalah negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar ini baru-baru ini me­laporkan seba­nyak 1,500 premis judi ti­dak berlesen didakwa masih beroperasi di Selangor dan Kuala Lumpur meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pelbagai operasi serbuan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengeluarkan arahan kepada semua Ketua Polis Negeri untuk melancarkan ‘peperangan’ terhadap pengusaha mesin judi pada Oktober 2014.
Daripada jumlah itu, lebih 800 premis beroperasi tanpa lesen di Selangor manakala selebihnya di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Murni Aqidah, Datuk Aidit Ghazali berkata, pihaknya tidak menafikan kemungkinan wujud perjanjian belakang tabir dalam kalangan pihak tertentu sehingga menyebabkan premis judi terus tumbuh seperti cen­dawan selepas hujan.
Katanya, perjanjian dan ra­suah antara pengusaha pihak itu menjadi punca premis judi masih beroperasi dan sukar dihapuskan walaupun pernah diserbu sebelum ini oleh PBT dan PDRM.
“Tindakan pembanterasan premis judi daripada terus berleluasa ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak terutama PDRM dan PBT kerana kewujudannya hanya memberi kesan negatif seperti keruntuhan rumah tangga dan pembunuhan kerana kaki judi sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mendapatkan wang,” katanya.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...