Thursday, December 22, 2016

3275) KERAJAAN PERLU KAJI CAJ MELAMPAU SYABAS – PPIM – BH ONLINE 20/12/2016

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menubuh jawatankuasa penyelaras bagi menilai semula caj melampau terutama berkaitan pemotongan dan pemasangan perkhidmatan bekalan air yang dikenakan kepada pengguna. Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata dalam keadaan ekonomi ketika ini, tindakan mendenda pengguna dengan mengenakan caj sesuka hati adalah tidak patut kerana membebankan mereka. Beliau berkata, sejak tiga bulan lalu, pihaknya menerima banyak aduan terhadap perkhidmatan air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) yang kurang memuaskan, namun terus menganiayai pengguna dengan pelbagai caj. “Sekiranya pengguna mengalami tunggakan bil air selama tiga bulan, SYABAS akan mengenakan caj pemotongan sehingga RM37.10. Bagi menyambung semula pula dikenakan caj pada jumlah sama. “Amalan ini tidak seharusnya dibiarkan sedangkan bil tuntutan kurang RM50, namun perlu membayar lebih daripada itu sedangkan air sudah tidak digunakan. “Meskipun caj dikenakan itu mengikut sumber undang-undang, namun ia perlu dirujuk balik. Undang-undang itu seolah-olah dibuat sesuka hati tanpa menggunakan kaedah betul,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. Nadzim berkata, walaupun pengguna terus didenda dengan caj tidak munasabah, syarikat berkenan terus memberi perkhidmatan kurang memuaskan apabila masalah gangguan bekalan air terus berlaku kebelakangan ini. Katanya, sebagai badan yang memonopoli perkhidmatan itu, mereka sepatutnya bertanggungjawab dan bukannya mengenakan caj sesuka hati apabila pengguna terlewat membayar bil. “Kalau kita lewat bayar mereka kenakan denda, namun apabila gangguan bekalan air sering berlaku, mereka hanya berdiam diri dan tidak rasa bersalah. “Justeru, kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa bagi menilai syarikat yang memonopoli perkhidmatan tertentu supaya tidak terus mengambil kesempatan mengenakan caj kepada pengguna terutama mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.
Selanjutnya di : http://ift.tt/2hJXP4m



Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...