Wednesday, June 15, 2016

2835) SKMM TERIMA 105 ADUAN PENIPUAN PENJUALAN DALAM TALIAN - BERITA HARIAN - 14/6/16

KUALA LUMPUR: Sebanyak 105 aduan mengenai penipuan penjualan barangan dan perkhidmatan dalam talian dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata maklumat dan aduan awam yang telah diterima tersebut telah dirujuk kepada pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk penelitian dan dan tindakan lanjut.

"Untuk rekod, bagi kes-kes penipuan dalam talian, SKMM akan memberikan bantuan dari segi teknikal apabila diperlukan," katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Hamzah Mohd Kasim yang ingin tahu mengenai perkara itu.

Beliau berkata bagi meningkatkan keyakinan pengguna yang menjalankan transaksi secara talian, KPDNKK telah menggariskan Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) yang dikuatkuasakan pada 1 Julai 2013.

"Antara peraturan yang diwajibkan kepada peniaga, mereka perlu mendedahkan maklumat pada tapak web di mana perniagaan dijalankan iaitu nama peniaga dalam talian, nombor pendaftaran perniagaan dan syarikat, alamat e-mel, nombor telefon atau alamat penjual dalam talian," katanya.

Katanya, kerjasama SKMM dengan polis dan KPDNKK terus terjalin dalam menjalankan pengesanan, perkongsian maklumat dan aspek forensik digital bagi membanteras kegiatan jenayah penjualan barangan dalam talian itu. - BERNAMA



Sumber : http://www.bharian.com.my/node/164251

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...