Wednesday, June 22, 2016

2860) URUSNIAGA RIBA PERBANKAN ISLAM - SINAR ONLINE - 21/6/16

Nadzim (tengah) bersama Abdul Manap (kiri) dan Sheikh Abd Kareem merungkai permasalahan dan aduan berkaitan perbankan Islam di negara ini


KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan lebih 500 aduan diterima berkenaan kes perbankan Islamik berhubung jual beli rumah, malah separuh daripadanya telah pun diisytihar bankrap.

Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan berkata, bank terlibat tidak sepatutnya mencemarkan nama Islam atas dasar mahu mengaut keuntungan sehingga menyebabkan ramai pengguna menanggung beban yang amat teruk.

Menurutnya, dalam kes rumah terbengkalai yang berlaku dari tahun 2005 hingga 2011, ramai pembeli rumah masih kekal bankrap walaupun kesalahan itu berlaku akibat kelemahan bank sendiri.

“Antara kes yang banyak diterima ialah apabila rumah dibeli gagal disiapkan pemaju, namun bank tetap menuntut bayaran daripada pembeli sedangkan dalam prinsip ‘Bai Bithaman Ajil’ rumah terbengkalai itu dimiliki pihak bank.

“Apabila bank tidak menyerahkannya kepada pembeli maka pihak bank seharusnya tiada hak menuntut bayaran. Apa yang berlaku sehingga hari ini bukan satu perniagaan malah menggalakkan lagi penganiayaan ke atas pembeli,” katanya di pejabat PPIM di sini.

Sementara itu, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah perbankan Islam, Datuk Abdul Manap Abdul Wahab turut hadir berkongsi pengalaman dan pandangan beliau sepanjang terlibat dalam institusi kewangan berkaitan.

“Salah satu sifat riba adalah dengan terciptanya keupayaan membeli (purchasing power) atau nilai tanpa mengambil risiko di mana apabila bank dapat keuntungan dengan peminjam membayar balik walaupun barang tidak sampai ke peminjam di mana contoh kes ialah rumah terbengkalai.

“Bank memiliki keupayaan membeli (keuntungan) atau nilai tanpa sebarang risiko, maka jelas sekali ianya riba. Jadi proses rumah dibelikan oleh sesebuah perbankan Islam dan dijual semula pada peminjam hanya helah semata-mata di mana tujuannya tetap sama dengan bank konvensional iaitu mendapatkan 'purchasing power' atau nilai tanpa mempunyai risiko atau risiko ditanggung seminimum mungkin,” katanya.

Menurutnya, perbankan ini telah menghalalkan apa yang haram iaitu mengenakan riba dan mengaburinya dengan proses jual beli.

Pengerusi Persatuan Pelanggan Perkhidmatan Kewangan Malaysia (Pebank), Sheikh Abd Kareem Said Khadaied pula berkata, polisi serta banyak perkara berkaitan perlu dikaji dan diteliti semula bagi memperbaiki kepincangan sistem perbankan Islamik sedia ada.

“Kita sarankan panel audit syariah yang bebas dan profesional ditubuhkan sekali gus membantu kerja-kerja mengesahkan polisi serta memantau operasi perbankan Islam di negara ini,” katanya.



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...