Wednesday, June 15, 2016

2832) PENGGUNA JANGAN TERTIPU TAWARAN BUFET RAMADAN TANPA SIJIL HALAL - ISMAWEB - 14/6/16

PPIM-Datuk-Nadzim-Johan

BANGI, Selasa – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa umat Islam supaya tidak tertipu dengan restoran yang menawarkan bufet Ramadan tanpa mempunyai sebarang pengiktirafan sijil halal.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima beberapa aduan berhubung restoran yang tidak mempunyai sijil halal namun menawarkan bufet Ramadan kepada pelanggan Islam.

“Ada beberapa tempat yang tiada sijil halal tetapi menjual bufet Ramadan seperti di HardRock Cafe di Melaka. Itu yang PPIM terima aduan.

“Namun, ada juga kedai makan dan restoran biasa yang menyediakan bufet itu tanpa sijil,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, setakat minggu pertama Ramadan sahaja, PPIM telah menerima lebih daripada 30 aduan daripada pengguna termasuk kenaikan harga makanan melampau dan menjual makanan yang tidak berkualiti dan bersih.

“Setakat ini, aduan yang diterima oleh pihak PPIM bercampur-campur, lebih daripada 30 aduan. Ada sesetengah aduan tidak dapat dilaksanakan kerana maklumat yang diberikan oleh pengguna tidak cukup.

“Kebanyakan pengadu hanya memaklumkan mengenai barang mahal tetapi tidak lengkap maklumatnya. Jadi, pihak PPIM tidak boleh nak follow up dan siasat,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, PPIM tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengenakan tindakan atas aduan terhadap peniaga atau pengusaha makanan.

“Kalau ada aduan kita akan buat siasatan, namun PPIM tiada kuasa apa-apa, cuma boleh menasihatkan sahaja.

“Peniaga janganlah menjual makanan tanpa memikirkan kualitinya dan ambil keuntungan berlebihan semata-mata,” katanya.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...