Monday, June 13, 2016

2823) KPDNKK DIGESA AMBIL TINDAKAN DRASTIK - UTUSAN ONLINE - 12/6/16


Kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) didesak supaya lebih agresif dalam melaksanakan pelan tindakan membanteras ketirisan melibatkan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi hingga ke akar umbi.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, KPDNKK perlu menanganinya dengan cara sedemikian terutama melibatkan unsur-unsur rasuah dan penyelewengan.

“Pihak kementerian kena buat sesuatu. Penguatkuasaan perlu pada tahap yang paling keras dan tegas kerana kita tidak mahu industri mengambil kesempatan terhadap apa yang tersedia untuk rakyat, jangan ala kadar sahaja.

“Jika dibiarkan perkara ini, bekalan gas bersubsidi akan berkurangan disebabkan ketamakan sesetengah pihak mengaut untung bagai menangguk di air keruh. Akibatnya, rakyat akan mula menyalahkan kerajaan kerana gagal menyediakan ke­perluan bekalan yang sepatutnya di pasaran,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, perbuatan menyeleweng hak rakyat boleh diibaratkan seperti mengkhi­anati negara sendiri kerana bukan sahaja orang lain yang terkena tempias, tetapi turut menimbulkan kemarahan rakyat.

“Dalam hal ini, sebenarnya perlu satu usahasama antara KPDNKK dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk turut serta secara bersepadu. PBT perlu mening­katkan pantauan terhadap premis-premis yang menjalankan perniagaan kurang jelas.

“Dari situlah biasanya stor-stor haram ini beroperasi. Mereka mendaftar dengan nama lain, tapi melakukan aktiviti lain. Jika tiada pemantauan dan pemeriksaan berkala, sudah tentu mereka bebas melakukan ke­giatan ‘gelap’ di belakang pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, pihaknya mencadang­kan supaya kerajaan menarik balik subsidi LPG yang dinikmati semua golongan masyarakat di negara ini dan hanya mengehadkan kepada kelompok yang benar-benar layak sahaja.

“Kerajaan sekarang memberikan subsidi kepada semua orang, tak kiralah orang tu kaya atau miskin. Malah tiada kuota ditetapkan kepada individu atau isi rumah untuk membeli seberapa banyak yang mereka mahu.

“Jika subsidi hanya diberikan kepada golongan sasar, kerajaan dapat menjimatkan kos pemberian subsidi dan dalam masa sama mereka yang memerlukan khususnya golongan kurang mampu masih mendapat apa yang sepatutnya mereka terima,” katanya.



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...