Wednesday, June 22, 2016

2861) HANYA PERALAT NAMA ISLAM - METRO - 22/6/16

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam (PPIM) membidas institusi perbankan yang menggunakan nama ‘Islam’ dalam usaha mempromosi dan menjual produk kewangan masing-masing sedangkan hakikatnya mereka masih menindas dan menggunakan kaedah yang tersasar daripada hukum syarak.

Justeru, PPIM menggesa agar Majlis Penasihat Syariah (MPS), Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyelia institusi perbankan Islam di negara ini meneliti kembali syarat dan kuasa bank yang dilihat tidak beretika sehingga mencemarkan nama Islam.

Menurut Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, satu suruhanjaya syariah bebas terdiri daripada pakar dan golongan profesional perlu ditubuhkan bagi memastikan operasi perbankan Islam mengikut syariah dan ketulenan konsep yang dilaksanakan.


Tindakan perbankan Islam itu dikesan selepas PPIM menerima hampir 500 aduan berhubung perkhidmatan yang diberikan terutama membabitkan kes rumah terbengkalai yang berlaku antara tahun 2005 hingga 2011.

Nadzim berkata, pembeli rumah yang menggunakan perkhidmatan perbankan Islam bukan saja terpaksa menanggung risiko tidak mendapat rumah, malah turut diisytihar bankrap oleh bank selepas gagal membuat bayaran ditetapkan.

“Antara contoh kes yang berlaku apabila rumah tidak siap oleh pemaju, bank menuntut bayaran daripada pembeli sedangkan dalam prinsip ‘Bai Bithaman Ajil’, rumah terbengkalai itu dimiliki bank.

“Apabila bank tidak menyerahkan kepada pembeli, maka mereka seharusnya tiada hak untuk menuntut bayaran,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah institusi perbankan Islam terkemuka, Datuk Abdul Manap Abdul Wahab berkata, konsep jual beli yang disediakan perbankan Islam pada masa kini seolah-olah menjadi helah untuk mereka mengaut keuntungan melampau dan melakukan kezaliman.

“Saya lihat satu kes yang mana bank membeli rumah berkenaan pada harga RM90,000 sebelum dijual kepada pelanggan pada harga RM270,000.

“Bagaimanapun, bank hanya sempat membayar RM30,000 sebelum perumahan berkenaan terbengkalai.

“Bank kemudiannya membuat tuntutan bayaran daripada pelanggan sebanyak RM360,000 termasuk harga belian rumah itu,” katanya.

Beliau berkata, timbul persoalan dalam proses itu apabila bank membuat tuntutan bayaran sedangkan rumah berkenaan belum siap dan tidak diterima pelanggan.

“Bagaimana mereka boleh menuntut baki sebanyak RM60,000 sedangkan mereka baru membayar RM30,000 ke atas rumah terbengkalai itu. Konsep apa pula yang mereka pakai bagi membuat tuntutan ini,” katanya.

Oleh itu, katanya, institut perbankan Islam perlu menjelaskan konsep sebenar yang digunapakai apatah lagi tindakan mengenakan bankrap ke atas pelanggan sehingga menyebabkan hidup mereka dibelenggu hutang dan tiada pekerjaan itu tidak selari dengan prinsip Islam.



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...