Tuesday, May 24, 2016

2764) AKHIRNYA SINDIKET AH LONG TERBESAR TUMPAS – UTUSAN MALAYSIA – 24/5/16




KUALA LUMPUR 23 Mei – Satu sindiket ah long yang menjanjikan pinjaman sehingga RM8 juta sebulan tumpas dengan tertangkapnya 13 individu termasuk tiga wanita warga tempatan dalam beberapa serbuan di sekitar Puchong dan Serdang, Selangor pada Jumaat lalu.

Sindiket dipercayai terbesar pernah ditumpaskan itu mencari mangsa dengan mengedarkan kad nama di kawasan-kawasan perumahan, syarikat korporat serta tempat-tempat tumpuan ramai bagi mencari peminjam yang ter­desak.

Setiap peminjam akan dikenakan faedah 15 peratus setiap dua atau tiga minggu sehingga menyebabkan jumlah pinjaman mencecah angka yang tidak munasabah. Apabila peminjam gagal membuat bayaran mereka akan diugut.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, serbuan kira-kira pukul 1 petang sehingga 12 malam itu dilakukan pasukannya dengan kerjasama JSJK Sela­ngor.

Beliau berkata, kesemua tangkapan adalah hasil laporan yang dibuat daripada 19 mangsa yang diugut selepas gagal membayar hutang yang pada asalnya RM2 juta tetapi tiba-tiba melambung ke angka yang tidak munasabah.

Menurutnya, hasil serbuan itu juga, pihaknya merampas beberapa peralatan dan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kegiatan ini.

Ujarnya, turut dirampas iaitu sembilan kenderaan mewah yang digunakan sindiket terbabit de­ngan nilai keseluruhan RM1.6 juta dan wang tunai RM46,383.

“Kita juga menemukan 56 buah buku cek pelbagai bank, kad pengeluaran wang automatik (37), kad nama (383), jam tangan (5) dan seutas rantai emas.

“Penahanan tersebut adalah yang terbesar bagi tahun ini dan sindiket ini dikatakan telah bergerak secara agresif dan aktif di tiga buah negeri iaitu di Sela­ngor, Kuala Lumpur dan Johor,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan mem­beri­tahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek berusia 23 tahun sehingga 32 tahun itu ditahan reman selama empat hari di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400).

“Semakan lanjut mendapati ke­semua suspek tidak mempu­nyai sebarang rekod jenayah dan kita masih giat memburu beberapa lagi sindiket yang dipercayai masih aktif.

“Sehubungan itu, orang ramai diharap tidak terpedaya dengan iklan peminjaman wang secara mudah kerana mereka akan mengenakan kadar bunga yang tinggi selain terpaksa berdepan dengan pelbagai risiko jika tidak mampu membayarnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Roslan menambah, sebanyak 359 laporan yang membabitkan kerugian RM4.7 juta dicatatkan semenjak awal tahun ini sehingga bulan lalu berhubung kes pinjaman wang tidak berlesen.



13 suspek dalam sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen ditahan polis hasil serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dalam operasi khas di sekitar Puchong dan Serdang di Selangor. BERNAMA



Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...