Thursday, October 1, 2015

2865) #PPIM TERIMA 10 HINGGA 15 ADUAN 'SCAM' SETIAP BULAN

DIKEMASKINI PADA 1/10/2015 @ 10:45PM


Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima antara 10 hingga 15 aduan setiap bulan daripada individu yang menjadi mangsa scam dan sindiket penipuan yang mengakibatkan kerugian masing-masing sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, mangsa yang ditipu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya memandangkan sindiket itu menggunakan taktik licik yang sukar dikesan ketika memperdaya mangsa.

“Antara aduan yang kami terima, mangsa mendapat panggilan kononnya daripada Bank Negara bahawa ada orang lain dikesan mengeluarkan wang daripada akaun dan mangsa perlu segera memindahkan baki wang tersebut ke satu lagi akaun lain untuk mengelakkan lebih banyak wang lesap.

“Mangsa yang sengaja ditakutkan oleh pihak yang menipu tiada pilihan selain terpaksa memasukkan sejumlah wang yang diminta memandangkan nombor yang tertera di skrin telefon ketika panggilan diterima adalah daripada Bank Negara dan tidak menimbulkan syak wasangka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Melalui maklumat yang diterima katanya, sindiket menggunakan sistem perisian yang boleh memanipulasi mangsa dengan menggunakan nombor telefon mana-mana agensi kerajaan mahupun bank-bank terkemuka untuk mengelirukan mangsa seolah-olah panggilan itu benar-benar diterima daripada pihak yang sah untuk berbuat demikian.

“Disebabkan itulah kadang-kadang panggilan yang diterima tertera nombor agensi-agensi kerajaan ataupun bank kerana mereka menggunakan sistem perisian yang dipercayai mampu berfungsi memaparkan nombor telefon yang didaftarkan dari lokasi berbeza.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dan merujuk perkara tersebut kepada pihak tertentu sebelum sebarang transaksi kewangan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai sikap orang ramai yang masih kurang kesedaran sehingga mudah diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon sejak kebelakangan ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kegiatan yang dikesan mula aktif sejak empat tahun lalu menggunakan modus operandi dengan memperkenalkan diri sebagai ejen sebuah bank terkemuka sebelum meminta mangsa memberikan nama penuh dan nombor kad pengenalan untuk pengesahan.

Mangsa kemudiannya diminta membuat transaksi atau pemindahan wang ke akaun lain kononnya bertujuan menyelamatkan wang mangsa daripada dikeluarkan pihak tertentu. - UTUSAN

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...