Saturday, October 3, 2015

2869) KEMPEN PENURUNAN HARGA: KPDNKK TURUT 'GEMPUR' RESTORAN SELURUH NEGARA


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bercadang melaksanakan kempen penurunan harga kedua dengan kali ini melibatkan restoran di seluruh negara.

Menteri berkenaan Datuk Hamzah Zainuddin berkata, ini berikutan kejayaan kempen pertama yang menumpukan kepada pengusaha runcit termasuk pasar raya besar dan pasar raya mini di negara ini.

“Kementerian sedang berbincang dengan persatuan restoran untuk melaksanakan kempen kedua ini dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen penurunan harga barang di sini, hari ini.

Menurutnya sebaik mendapat persetujuan, restoran akan melaksanakan penurunan harga makanan mengikut jenis yang telah ditetapkan secara sukarela untuk pelanggan mereka.

"Contohnya minggu ini, roti canai di seluruh negara turun harga.. minggu satu lagi mungkin nasi beriani. Strategi begini akan kita umumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, dengan cara itu kementerian boleh menukar konsep budaya membeli rakyat negara ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Kempen Penurunan Harga – Harga Rendah Setiap Hari Sepanjang Tahun di Point Convenience Shop, Bangunan JB Sentral di sini.

Menurutnya kedai itu akan menurunkan harga barangan berbeza setiap bulan sepanjang tahun ini.

Hamzah berkata, setakat ini sebanyak 55 syarikat dan 2453 cawangan pasar raya seluruh negara secara sukarela menyertai kempen penurunan harga barang yang melibatkan 934,873 jenis barang makan dan keperluan sejak Mac lalu. - Bernama

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...