Tuesday, October 27, 2015

2910) SYARIKAT TELCO UMUM SECARA RASMI SEDIA MANSUHKAN GST PADA KAD PRABAYAR

Syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) utama negara menyokong pengumuman kerajaan untuk mengecualikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap perkhidmatan prabayar telefon mulai tahun depan.

Ketiga-tiga telco yang menawarkan perkhidmatan Celcom, Maxis dan Digi menyatakan sokongan terhadap pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2016 mengenai perkara itu dan memberi jaminan akan melaksanakannya selepas mendapat perincian daripada pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd., Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, Celcom sentiasa mendukung agenda transformasi negara bagi menyediakan perkhidmatan komunikasi yang lebih baik dan terjamin untuk pengguna.

“Celcom bersedia untuk mengem­balikan rebat prabayar kepada pengguna seperti mana kami mengutamakan keselesaan dan kepentingan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Albern Murty pula berkata, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2016 itu akan diteliti dan dilaksanakan sewajarnya.

“Digi komited untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi terbaik kepada setiap pelanggan kami.

“Jika Perdana Menteri sudah umumkan begitu (rebat prabayar akan dikembalikan kepada pengguna), maka kami akan melaksanakannya dengan baik,” katanya dalam satu ke­nyataan.

Dalam pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat lalu, Najib mengumumkan bahawa perkhidmatan prabayar telefon akan dike­cualikan GST dan pengguna akan menerima kembali rebat bersamaan dengan jumlah GST dibayar.

Mengulas lanjut, Albern menyatakan bahawa Digi akan meneliti kaedah terbaik untuk mengembalikan semula rebat kepada pengguna bagi memastikan pelaksanaannya adalah menyeluruh.

“Digi akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meneliti kaedah terbaik dan selepas keputusan diperoleh, kami akan maklumkan kepada pengguna,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Berhad, Morten Lundal berkata, syarikatnya juga akan membincangkan mekanisme pelaksanaan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta SKMM dan akan membuat pengumuman sewajarnya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...