Wednesday, June 24, 2015

2708) HARIAN METRO - 24/06/15 - Hak Agama Dinafikan



Kuala Lumpur: Sebanyak 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menghantar memorandum mendesak kerajaan China menarik balik larangan berpuasa yang dikenakan ke atas minoriti Muslim Uighur di Xinjiang.

Ia sebagai satu protes terhadap larangan yang jelas tidak menghormati umat Islam seluruh dunia yang sedang berpuasa ketika ini selain mereka juga perlu diberikan hak sama seperti orang lain di negara berkenaan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, NGO Islam juga menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa di negara itu di atas apa yang berlaku termasuk arahan tidak membenarkan berpuasa, memasuki masjid dan aktiviti keagamaan di sekolah di wilayah berkenaan.

“Kita perlu bersuara bagi mewakili masyarakat Islam hari ini yang kecewa dengan apa yang berlaku. Dunia Islam mengutuk sekeras-kerasnya apa yang berlaku dan kita sedih kerana hak beragama dinafikan di sana.

“Kita juga mahu kerajaan selaku pengerusi ASEAN memainkan peranan mendesak agar larangan seumpama ini ditarik balik, sebaliknya pemerintah negara itu perlu diberi penjelasan mengenai puasa dan ajaran Islam yang lain,” katanya ketika menyerahkan memorandum di Kedutaan China, di sini, semalam.

Hadir sama wakil beberapa NGO Islam seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Wadah Pencerdasan Umat Islam Malaysia dan Persatuan Ulama Malaysia.

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan berjumpa mana-mana pegawai sebaliknya diminta menyerahkan memorandum itu di pondok pengawal di hadapan kedutaan.

Mohd Azmi berkata, pihaknya sedar mengenai ketegasan China berhubung soal itu, namun pada masa sama, mereka sepatutnya lebih peka apatah lagi ketika umat Islam di seluruh dunia baru berpuasa seminggu dan akan menyambut Aidilfitri kurang sebulan lagi.

“Kita kutuk dan desak kerajaan China tarik balik sekatan yang tidak munasabah ini. Kita bagi masa dalam bulan Ramadan ini untuk mereka jawab dan beri penjelasan. Jika tidak kita akan teruskan dengan beberapa tindakan.

“Ketika ini kita sedang berhubung dengan sebanyak mungkin NGO dan Ahli Parlimen dari termasuk Filipina dan Thailand untuk bincang tindakan yang akan kita lakukan,” katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/59675

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...