Sunday, June 28, 2015

2725) MINGGUAN MALAYSIA - 28/6/15 - Bangkit Atau 'Hanyut'


MUKADIMAH - ORANG Melayu perlu kembali kepada ajaran agama Islam dan bangkit memperkasa diri jika tidak mahu menjadi senasib dengan etnik Rohingya dari Myanmar yang tercicir dan tertindas, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), DATUK NADZIM JOHAN.

Dalam pertemuan hampir sejam dengan wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI di pejabat PPIM di Villa Putri, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nadzim berkata, orang Melayu kini lemah dan dilanda pelbagai masalah yang begitu dahsyat baik dari segi sosial, ekonomi, politik dan budaya.

Menurut beliau, kelemahan yang boleh dilihat dalam segenap aspek kehidupan masyarakat Melayu itu berpunca daripada jati diri dan pegangan agama yang lemah sehingga mereka sering menjadi mangsa yang dipergunakan oleh orang lain untuk meraih keuntungan.

“Kalau benda ini berterusan, suatu hari orang yang tidak ada kerugian apa-apa sanggup buat apa sahaja dan kerugian itu akan pergi kepada semua. Tidak ada satu bangsa yang akan untung kalau bangsa lain ditekan, tertekan atau tersisih,” ujar beliau.

MINGGUAN: Kalau kita tengok sekarang, orang Melayu dilanda masalah sosial yang cukup dahsyat. Bagaimana Datuk melihat keadaan ini?

NADZIM: Sebenarnya kalau kita tengok hari ini masyarakat Melayu dilanda pelbagai masalah yang cukup dahsyat daripada masalah sosial, ekonomi, politik, budaya dan segala benda yang kita lihat. Maknanya ancaman yang kita tengok itu terlalu berat. Jadi, macam mana boleh jadi begini? Kita sebagai satu bangsa yang beragama Islam, kita faham kita sentiasa ada musuh tetapi kita perlu lihat diri kita, apakah kita buat kerja kita?

Kita mengkaji dengan begitu lama, macam mana kita diambil kesempatan kerana kelemahan kita. Kalau kita tidak lemah, orang tidak boleh ambil kesempatan. Tetapi disebabkan lemah, masalah-masalah besar dalam diri kita ini menjadi peluang kepada orang lain untuk buat duit.

Contohnya, judi. Kita menjadi bangsa yang paling kuat berjudi. Frank Sweettenham menyatakan orang Melayu kuat berjudi dalam karyanya Malay Sketches yang dihasilkan pada 1895.

Begitu juga dengan dadah, mangsa dadah pun orang Melayu tetapi yang kaya orang lain. Jadi, kita ini menjadi mangsa kepada pemangsa. Kaedahnya begini; pengguna, diperguna dan jadi tidak berguna. Tetapi kita tidak boleh salahkan orang lain kerana kelemahan kita sendiri dan ini diambil kesempatan oleh orang lain. Bak kata orang, apabila pokok kelapa jatuh, kura-kura pun lalu.

Judi dan berhibur di kelab malam ini bukan budaya orang Melayu dan Islam tetapi kenapa perbuatan itu sudah menjadi biasa dalam masyarakat Melayu?

NADZIM: Kalau kita lihat orang Melayu juga mudah dipengaruhi, mudah sangat. Yang baik sedikit, kalau pergi tabligh, kita tengok terus tukar jubah Pakistan. Kita pun pelik juga sebab kita ada budaya sendiri. Kita ada baju Melayu. Sempena bulan Ramadan ini, saya rasa ini ada berkait rapat. Kelemahan ini disebabkan jati diri dan budaya kita lemah serta hati kita tidak kuat.

Pada saya senang, saya boleh bertaruh, bangsa Melayu tidak mungkin dapat bangkit kecuali mereka kembali kepada ajaran Islam. Sebagaimana bangsa Arab yang tidak ada apa, boleh bangkit sehingga kegemilangan kita sampai 800 tahun.

Ini kita belum apa-apa, kita sudah terpengaruh dan kita kurang berfikir. Bangsa Melayu cukup mudah dipengaruhi kerana pegangan mereka kurang dan tidak balik kepada pegangan agama. Antara sebab yang kita nampak ialah hati dan jiwa kita tidak tenteram.

Apakah yang menyebabkan jiwa orang Melayu ini tidak tenteram?

NADZIM: Inilah yang saya hendak kongsi. Hati dan jiwa kita tidak tenteram antaranya adalah kerana makan makanan yang tidak baik. Mungkin orang setuju atau tidak setuju tetapi saya nampak sangat benda ini merupakan satu cabaran yang paling besar.

Macam kita makan dalam bulan puasa. Kalau ikutkan sepatutnya dahulu makan 10, sekarang makan lapan tetapi ini tidak. Dahulu makan 10 tetapi sekarang naik 15. Selain itu, soal makanan itu bersih atau tidak. Daripada rezeki yang bersih atau tidak. Sekarang orang berbelanja sahaja. Kita ikut sahaja.

Kalau makanan itu dibuat oleh orang bukan Islam dan tidak ada babi, tidak apa. Disebabkan pencemaran seperti ini dalam masyarakat kita, jiwa kita jadi lemah. Kalau kita tengok kereta yang mahal macam Ferrari, minyak hitam itu cukup penting. Kalau minyak hitam tidak betul, boleh terbakar kereta. Jadi, kita manusia ini kejadian terbaik lagi dahsyat. Kita kena jaga. Makanan kita bukan setakat makanan fizikal, malah makanan spiritual (rohani). Kalau duit itu hasil curi, ia boleh beri barang halal tetapi ia tidak dapat beri keberkatan kepada kita.

Apakah kesan terhadap diri orang Melayu itu yang dapat dilihat akibat tidak menjaga kebersihan makanan fizikal dan rohani ini?

NADZIM: Hari ini, kita lihat masyarakat kita disebabkan kelemahan permulaan ini, mereka jadi lemah. Contohnya, kalau kita beri arahan. Saya hendak tunjukkan macam mana kita ini boleh menjadi begitu lemah.

Kalau minta datang kerja pukul 9 pagi setiap hari, dia tidak boleh dan memang cukup sukar. Disiplin tidak ada sebab jiwa lemah, tak dengar cakap, ingkar dan ambil mudah. Ini disebabkan ambil makanan yang tidak baik.

Kalau kita hendak betulkan yang lain-lain ini, kita kena betulkan diri kita dahulu. Hendak betulkan diri pun susah apabila aspek dalaman lemah. Kalau kita tengok orang yang berjaya mesti melalui cabaran yang kuat. Maknanya, mereka sanggup mendaki cabaran itu. Kalau tidak mereka tidak akan kuat.

Ikut pandangan kita, daripada makanan baru kita boleh balik dan program diri kita. Kalau tidak, kita sukar untuk memprogram dengan cara baik dan cara mudah. Pasal undang-udang ini, hari ini dia ikut dan esok tak ikut sebab hati dia lemah.

Apakah kelemahan bangsa Melayu ini terlalu nyata sehingga sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita?

NADZIM: Kita hendak menuju negara maju dalam tempoh lima tahun. Tetapi ada tak negara maju yang kita lihat pasar malamnya penuh dengan sampah. Pengunjung dan peniaga pun membuang sampah merata-rata. Kalau kita pergi tempat berkelah, kita tengok macam-macam sampah. Kita tengok kawasan masjid di kampung pun begitu. Ini merupakan manifestasi kelemahan kita yang perlu diatasi.

Contohnya lagi, kalau kita pergi kawasan perumahan, tengok sampah dan air bertakung. Akhirnya, penduduk sakit akibat demam denggi. Lemahnya masyarakat kita sehinggakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kena pengerusikan mesyuarat tentang nyamuk. Sedangkan kerja itu penghulu pun boleh buat tetapi itulah yang terjadi.

Cuba tengok kematian akibat terbakar. Banyak orang mati sebab tak jumpa cari kunci pintu dan jeriji besi. Semalam letak kunci atas peti ais tetapi hari ini letak atas kerusi dan meja pula. Jadi, apabila dalam keadaan sesak, memang ‘hanyutlah’. Harga sebatang paku mungkin dua sen sahaja dan buatlah satu penyangkut kunci.

Kita tengok bazar Ramadan, setiap tahun sama sahaja. Lima tahun atau 10 tahun dahulu pun sama macam itu, pakai payung aiskrim dan alas meja plastik. Sekarang macam itu dan 10 tahun lagi pun macam itu.

Jadi, pada pandangan Datuk, apakah yang perlu dilakukan untuk membanteras gejala-gejala tidak baik ini daripada masyarakat Melayu?

NADZIM: Kita tengok, kalau hendak bersihkan masyarakat kita daripada judi, pelacuran, curi dan segala benda, kita ibarat hendak ‘menyucikan’ Sungai Klang. Kita tengok segala benda sampah termasuk kerusi dan meja tersangkut di perangkap sampah.

Katakan kita buat kerja hendak cuci, bolehkah cuci tetapi di atas sampah atau cabaran terus akan datang sebab di hulu sungai, orang buat kilang, perabot dan segala benda ada di situ. Jadi, kalau kita tidak tangani masalah di atas atau puncanya, selagi itu kita tidak habis kerja di bawah.

Kita kena tentukan macam mana kita hendak tetapkan dan betulkan balik hati kita ini supaya kita boleh buat kerja, kita boleh pegang pada azam, kita boleh dengar arahan dan cakap untuk berjaya. Pasal kalau tidak ada disiplin, tidak mungkin kita boleh berjaya.

Itu dari segi aspek kerohanian, bagaimana pula dari segi penguatkuasaan undang-undang?

NADZIM: Dalam konteks keadaan hari ini, kita setuju contohnya kita ambil tindakan terhadap pusat judi haram dan pusat hiburan kelab malam, boleh tetapi untuk masa itu. Kalau tengok premis judi nombor ekor, sentiasa penuh dengan orang Melayu. Papan tanda larangan kepada orang Islam membeli itu tidak ada makna.

Jadi antara cadangan kita, kalau tempat judi itu, penguatkuasaan mesti dibuat bukan kepada pelanggan semata-mata tetapi juga kepada pemilik premis. Kalau mereka ditangkap menjual judi ekor kepada orang Islam, tarik lesen. Barulah mereka kelam kabut. Sama juga dengan kelab malam yang didapati menjual arak ini kepada orang Islam. Kalau tidak buat begini, sampai bila masalah ini tidak akan habis, malah semakin bertambah parah. Kita sudah buat operasi membanteras aktiviti haram sebanyak 13 kali dan memang penuh pusat hiburan dengan orang Islam termasuk budak bawah umur.

Kalau judi haram pula, memang penuh dengan budak Melayu. Ada yang berjudi sampai duit gaji sebulan itu habis dalam sehari sahaja. Ada yang berjawatan pengurus pun begitu. Selepas itu, pinjam ‘Ah Long’. Rantaian ini menyebabkan masyarakat punah ranah dan tidak boleh keluar daripada masalah.

Isu mesin judi haram yang tak sudah-sudah. Di mana silapnya?

NADZIM: Judi haram ini dari mana datangnya? Ada pegawai penguat kuasa tertentu terlibat melindungi kegiatan mesin judi haram ini. Sebab itu, judi haram ini sukar dibanteras. Begitu juga dengan kes gores dan menang. Sindiket gores dan menang ini dilindungi penguat kuasa tertentu.

Jadi kita lihat bukan setakat itu sahaja, penguat kuasa pun lemah. Puncanya sama seperti yang saya cakap tadi seperti kelemahan diri, tidak kisah dan ambil mudah. Benda-benda seperti ini kita mesti keluarkan daripada masyarakat. Kalau tidak, saban hari benda ini bertambah teruk dan kita akan menjadi bertambah rosak.

Saya juga hendak kita lihat isu pendatang Afrika dan Rohingya. Saya diberitahu oleh kawan-kawan saya di United Kingdom (UK) bahawa sejak 1970-an lagi masyarakat Afrika kulit hitam ini memang disekat sebanyak mungkin masuk ke UK.

Ini kerana mereka sudah banyak kali ditipu oleh orang Afrika ini. Sehingga dikatakan orang di sana tidak mahu berurusan dengan orang kulit hitam ini walaupun pada jarak 10 kaki.

Kita pun ada kedutaan di sana. Pasal apa kita tidak tahu? Kita pun ada pegawai kedutaan di Afrika. Takkan kita tidak tahu apa benda kerja mereka? Jadi, kita juga yang membenarkan. Tidak ada polisi negara dibuat atas mereka ini. Tetapi disebabkan orang kita daripada masyarakat sama yang lemah, jadi terpalitlah masalah ini.

Begitu juga kalau lihat kes orang Rohingya. Kita tahu cerita orang Myanmar membunuh orang Rohingya ini sudah 30 tahun tetapi kita masih biarkan orang Myanmar bukan Islam yang mendiskriminasi dan membunuh orang Islam bekerja di sini. Kita sepatutnya melihat dan mengatasi masalah itu walaupun ia tidak mendatangkan keuntungan kepada kita dari sudut kewangan.

Sekiranya bangsa Melayu terus lemah dan tidak berubah, apakah kesannya kepada bangsa Melayu, masyarakat dan negara?

NADZIM: Apabila kita lihat keadaan begini, kita kena keluar daripada masalah ini. Kalau kita tidak keluar, kita akan terus hanyut. Saya takut bangsa Melayu boleh jadi seperti bangsa Rohingya ataupun Melayu Champa. Macam Pengkalan Chepa (Kelantan) dahulu itu adalah satu kerajaan tetapi hanyut. Jadi, kita takut lama kelamaan kita pun boleh jadi hanyut dalam keadaan kita di sini hari ini.

Kalau katakan orang Melayu terus lemah, lama-lama mereka akan jadi bangsa yang tidak ada kerana semakin lama semakin kurang sehingga timbul satu masa, ia jadi tidak berkesan. Mereka ini tidak ada kekuatan, nilai dan harga pun sudah tidak ada. Lama-kelamaan mereka akan menjadi golongan yang tiada iaitu tidak ada apa yang hendak hilang daripada mereka. Akhirnya, mereka ini akan jadi beban kepada bangsa-bangsa lain.

Jadi, mereka yang bermasalah ini tidak akan membawa kemakmuran kepada negara. Kepada masyarakat dan keluarga pun tidak makmur, apatah lagi kepada negara. Cuba kita bayangkan orang Cina dan India sebahagian daripada keluarga kita. Kalau benda ini berterusan, suatu hari orang yang tidak ada kerugian apa-apa sanggup buat apa sahaja dan kerugian itu akan pergi kepada semua. Tidak ada satu bangsa yang akan untung kalau bangsa lain ditekan, tertekan atau tersisih.

Jadi kita kena lihat balik secara serius, kerana aspek diri yang paling penting. Kita perlu melalui cabaran dan mengatasinya serta perkasakan diri sebaik-baik mungkin untuk terus relevan di negara ini.

Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/bangkit-atau-hanyut-1.107860

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...