Wednesday, June 21, 2023

SUHAKAM PERLU PULANGKAN SEMULA DANA ASING - SINAR HARIAN - 21/06/2023

 

KUALA LUMPUR - Gabungan organisasi masyarakat sivil (CSO) mendesak supaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memulangkan semula dana asing yang diterima daripada Kesatuan Eropah (EU).

Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Lukman Sheriff Alias berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan suruhanjaya berkenaan bebas dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Seksyen 19 Akta Suhakam juga melarang suruhanjaya itu daripada menerima dana asing kecuali bagi tujuan pendidikan dan kesedaran.

"Secara umumnya dana-dana asing yang diberikan mempunyai kepentingan geopolitik mereka dengan bertopengkan hak asasi manusia.

"Sebab itulah kami risau dan berpandangan bahawa eloklah dana-dana asing ini tidak digunakan (diterima) walaupun bagi tujuan pendidikan atau kesedaran.

"Ini kerana, biasanya dana sedemikian mempunyai syarat berkait (dengan geopolitik tertentu) yang kita terpaksa ikut dengan nilai budaya mereka dan jelas sekali tidak sama diamalkan di Malaysia," katanya ketika sidang akhbar khas di sini pada Isnin.

Antara gabungan (CSO) turut serta adalah Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela); Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM); Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan sebagainya.

Turut hadir, Pengerusi Bersama MACSA, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Tahun lalu, media melaporkan delegasi EU ke Malaysia dan Suhakam menandatangani kontrak untuk melaksanakan projek hak asasi manusia selama tiga tahun dengan anggaran geran berjumlah Euro 500,000 (RM2.31 juta).

Kontrak tersebut dimeterai Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas dan Pengerusi Suhakam, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad.

Mengulas lanjut, Lukman turut berpandangan adalah wajar butiran penerimaan dana asing oleh Suhakam sebelum ini diumumkan secara terbuka.

Langkah itu katanya, bagi memastikan adanya ketelusan serta tidak berlaku 'kawalan' oleh pihak tertentu.

Sementara itu, beliau turut memuji barisan kepimpinan Suhakam yang baru dilantik kerana dilihat lebih inklusif berbanding sebelum ini.

Ujarnya, ia dibuktikan apabila pihaknya berjaya mengadakan sesi libat urus dengan suruhanjaya berkenaan bersama kepimpinan baharu itu.

"(Kalau dilihat) ini jauh berbeza dengan dahulu di mana CSO Islam tidak dilayan dan disisihkan," katanya.

Justeru, beliau berharap Suhakam kekal menjadi inklusif dengan melibatkan semua CSO Islam dalam advokasi hak asasi manusia pada masa akan datang.


Artikel oleh: Sinar Harian

SUHAKAM PERLU PULANGKAN SEMULA DANA ASING

https://www.sinarharian.com.my/article/264244/berita/semasa/suhakam-perlu-pulangkan-semula-dana-asing

ANI DAN CINTA RM10,000 - HARIAN METRO - 19/06/2023

 

Kuala Lumpur: Niat seorang wanita mahu mencari jodoh menerusi aplikasi agensi cari jodoh dalam talian bertukar pengalaman ngeri apabila ditipu lelaki warga Indonesia berjumlah kira-kira RM10,000.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Ani, 40, berkata, dia menggunakan aplikasi agensi cari jodoh itu disebabkan rasa sunyi dan mahu mencari calon suami atas faktor perkahwinannya sebelum ini berakhir dengan penceraian.

Menurutnya, menerusi platform agensi cari jodoh itu, dia mengisi segala butiran peribadi yang diperlukan seperti nama, pekerjaan, usia dan sebagainya.

"Saya kemudian berkenalan dengan seorang lelaki warga Indonesia. Sesi mengenali antara satu sama lain itu berlangsung kira-kira empat bulan.

"Dalam sesi perkenalan itu juga, dia menyatakan ingin membuat kebajikan dengan membantu membina sekolah pondok dan anak-anak yatim di Indonesia.

"Lelaki ini turut bertanyakan sama ada saya mahu menderma bagi membantu mereka sekali gus mencari saham akhirat," katanya.

Ani yang bekerja di sektor swasta turut menyatakan bahawa dia tidak mengesyaki apa-apa pada waktu itu dan memberikan 'derma' sedikit demi sedikit kepada lelaki berkenaan.

"Bagaimanapun, tidak lama selepas itu saya tidak dapat menghubungi lelaki berkenaan," katanya yang tinggal di Gombak.

Dalam pada itu, seorang lagi wanita yang mahu dikenali sebagai Azwa, 50, berkata, dia antara wanita malang ditipu 'bakal suami' yang ditemui menerusi aplikasi cari jodoh dalam talian.

Dia yang tinggal di Setiawangsa berkata, disebabkan mahu mencari seorang lelaki untuk dijadikan suami, dia menyertai platform terbabit pada tahun lalu.

"Saya percaya dan berharap akan berkahwin dengan lelaki berkenaan agar kehidupan saya dapat dijaga oleh seorang yang bergelar suami. Jadi, saya memberi pinjaman wang kepadanya bila dia minta," katanya sambil menambah sudah meminjamkan wang kira-kira RM40,000.

Azwa yang pernah berkahwin sebelum ini berkata, sepanjang sesi perkenalannya kira-kira enam bulan itu, dia hanya berinteraksi bersama lelaki berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp sahaja.

"Saya sering mengajaknya untuk berjumpa tetapi permintaan itu ditolak olehnya. Saya mula menyedari ditipu selepas dia mendapat wang pinjaman yang saya berikan padanya," katanya.

Menurutnya, selepas memperoleh wang yang diberikan, lelaki itu tidak dapat dihubungi lagi dan perkara berkenaan memberikan pengajaran kepadanya supaya berhati-hati dengan orang yang baharu dikenali terutamanya menerusi dalam talian.

Bagaimanapun, kedua-dua wanita terbabit memaklumkan tidak membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa mereka.

Nadzim Johan

'Wanita yang sering ditipu ini biasanya jenis yang berduit'

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bimbang kewujudan sesetengah platform agensi mencari jodoh yang didakwa menyebabkan ada mangsa ditipu sehingga kerugian ratusan ribu ringgit.

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya mendapati platform ini adalah medium paling mudah diambil kesempatan dengan permulaannya hanya membabitkan sesi perkenalan antara satu sama lain.

Menurutnya, kebiasaannya individu yang sering ditipu adalah dalam kalangan wanita bekerjaya berusia 40 hingga 60 tahun serta tinggal di ibu kota.

"Dia (penipu) pun tahu orang itu mempunyai niat untuk berkenalan dan mencari jodoh, jadi mudahlah. Yang saya lihat, wanita yang sering ditipu ini selalunya berduit.

"Macam mana penipu ini tahu dia mempunyai duit? Berkemungkinan di platform agensi mencari jodoh itu diletakkan gaji atau anggaran pendapatannya," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, wanita sering menjadi sasaran penipuan disebabkan keadaan sosialnya yang berkemungkinan kesunyian dan mahu perhatian.

"Masalahnya orang perempuan ini bila dia sudah percaya (kepada seseorang lelaki), dia tidak akan syak walaupun kita kata jangan, tetapi dia teruskan juga.

"Yang sana (penipu) kononnya memberikan alasan kata nak beli rumah, ada barang sangkut di kastam. Dia gunakan benda-benda macam itu menyebabkan wanita ini akan bayar. Biasanya wanita akan 'terkena' antara RM200,000 sehingga RM300,000," katanya.

Nadzim berkata, pihaknya mendapati individu yang sering melakukan penipuan seumpama ini adalah dalam kalangan lelaki warga asing.

"Orang Nigeria ini... dia diajar bagaimana nak menipu dan ada sekolah yang mendidik dia untuk menipu seperti scammer yang kita hadapi sekarang semuanya dilatih.

"Kebiasaannya mereka yang menggunakan platform ini biasanya sudah diajar. Kalau tidak nak cakap apa? Modus operandi yang dilakukan kebanyakannya ada kaedah.

"Contohnya menggunakan kaedah pujian. Orang kita ini pula pantang kena puji. Kena puji 'terlentang' terus," katanya.

Disebabkan itu, bagi membanteras kegiatan ini, Nadzim berkata, pihaknya mencadangkan agensi mencari jodoh yang mengendalikan platform seperti ini mengambil beberapa langkah bagi mengelakkan individu ditipu.

"Kalau dia sendiri isi (maklumat) di platform itu, maka orang itu akan ikut suka hati dia. Mungkin kena isi secara berdepan atau fizikal.

"Saya cadangkan isi maklumat ini secara berdepan dan kena ada sesi wawancara," katanya.

Katanya, pihak polis juga hendaklah menasihati agensi mencari jodoh ini kerana dibimbangi selain penipuan, akan menyebabkan kejadian yang lebih teruk lagi.

"Yang kita khuatiri kejadian seperti bunuh dan rompak. Platform ini boleh diambil kesempatan dan seeloknya ditapis sebaik mungkin kerana ia berbahaya dan mempunyai maklumat kita," katanya.

Nadzim turut mencadangkan agar platform agensi mencari jodoh ini bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari segi pendaftaran individu yang mahu mencari jodoh.

"Platform agensi mencari jodoh ini seharusnya bekerjasama dengan Jakim dan KPWKM kerana mereka boleh tolong beri panduan. Kalau tidak ada kerjasama dengan agensi kerajaan, ia akan menyebabkan orang ramai akan mudah diperdaya," katanya.


'Nak cari jodoh bukannya mudah'

Menggunakan cara tradisional apabila setiap individu sama ada lelaki atau wanita perlu mengisi borang maklumat terlebih dahulu sebelum ditemubual bagi memastikan kesahihan identiti.

Pengurus sebuah agensi mencari jodoh Zainuddin Md Jaafar berkata, ketika sesi temubual itu, pihaknya akan melihat beberapa aspek seperti kesihatan sama ada fizikal atau mental, kesanggupan menerima pasangan dan keadaan 'ekonomi' individu itu.

"(Contohnya) kalau dia nak berkenalan untuk mencari pasangan yang bekerja dan mempunyai kerjaya, saya akan berwaspada disebabkan mungkin dia nak ambil kesempatan kerana sedang berada dalam kesusahan. Dia nak cari perempuan yang bekerjaya ini nak buat apa?

"Bila dah kahwin dan dapat pula wanita yang kerja kerajaan. Mungkin dia akan meminta wanita ini untuk membuat pinjaman seperti nak beli rumah, kereta atau sebagainya.

"Yang saya takut adalah jika berlakunya penceraian antara mereka, wanita ini yang terpaksa membayar pinjaman yang dibuat itu. Perkara seperti ini adalah satu penganiayaan," katanya.

Zainuddin yang menguruskan agensi berkenaan bersama isterinya sejak 17 tahun lalu berkata, pihaknya tegas menggunakan kaedah 'lama' itu demi menjaga kerahsiaan individu yang mencari pasangan hidup.

Menurutnya, dia amat khuatir terdapat pihak yang akan mengambil kesempatan dalam mencari jodoh.

Katanya, dalam masa sama dia turut berpandangan platform agensi mencari jodoh dalam talian mempunyai risiko kepada mereka yang menggunakan khidmat medium terbabit.

"Menggunakan platform ini susah kerana kita tidak dapat berjumpa dengan orang yang mahu kita berkenalan.

"Selain itu, dalam platform ini semua orang boleh masuk dengan hanya memberikan nama, gambar atau butiran dan itu boleh menyebabkan pihak lain mengambil kesempatan," katanya.

Katanya, membantu seseorang individu untuk mencari pasangan hidup masing-masing juga adalah sesuatu yang sukar dan tidak boleh diambil mudah.

"Nak uruskan cari jodoh ini bukan main-main. Ingat senang ke cari jodoh? Selama 17 tahun saya menguruskan agensi cari jodoh banyak yang saya jumpa individu yang sakit mental dan jiwa kacau," katanya.

Menurutnya, kebiasaannya selepas sesi wawancara bersama individu itu, barulah pihaknya akan ke fasa seterusnya iaitu cuba untuk memadankan pasangan berkenaan.

"Selepas selesai wawancara, baru saya berani untuk mencarikan pasangan untuknya.

"Tapi kalau semasa wawancara itu saya rasa ada sesuatu yang tak kena atau tak sedap hati, saya tidak akan mencarikan pasangannya," katanya yang mempunyai katalog individu yang menggunakan khidmatnya untuk mencari jodoh.

Sementara itu, Zainuddin memaklumkan agensinya juga menyediakan borang akuan sumpah mengandungi butiran seperti tidak pernah berkahwin, bercerai selain melakukan penambahbaikan iaitu individu tidak mati pucuk.

Menurutnya, pihaknya membuat akuan sumpah seperti itu kerana pernah mendapat aduan daripada pelanggan wanita bahawa lelaki yang dikahwininya mati pucuk.

"Ada seorang pelanggan saya mendapat jodoh dengan menggunakan khidmat saya. Wanita ini adalah janda anak satu dan berusia 32 tahun. Dia mengahwini seorang lelaki berusia 44 tahun.

"Selepas setahun berkahwin, mereka kemudiannya bercerai disebabkan lelaki yang dikahwininya ini mati pucuk," katanya.

Katanya, sepanjang mengendalikan agensi mencari jodoh ini, dia memperoleh tiga aduan berkait kes mati pucuk sehinggakan ada yang mahu menyamannya.

"Disebabkan itu kali ini saya melakukan penambahbaikan terhadap borang akuan sumpah yang perlu diisi itu," katanya.

Perlu celik digital, perundangan supaya tak tertipu

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melaksanakan Program IRIS Literasi Perundangan dan Hak Wanita bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak-hak wanita dalam usaha memperkasakan golongan itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu berkata, program itu adalah kesinambungan daripada Program Klinik Undang-Undang untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat terutamanya wanita mengenai hak-hak mereka dari aspek perundangan.

"Kementerian sentiasa prihatin dan cakna akan isu yang membabitkan kesejahteraan wanita. Dalam hal ini, isu scammer menjadi perkara sensasi memandangkan melibatkan kerugian besar kepada mangsa dan kebanyakan mangsa pula adalah terdiri daripada kalangan wanita," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kebimbangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kewujudan sesetengah platform agensi mencari jodoh yang boleh menyebabkan pengguna ditipu sehingga mengalami kerugian ratusan ringgit.

Selain itu, Aiman Athirah berkata, JPW juga menubuhkan Skuad Waja untuk memperkasakan komuniti melalui program bimbingan psikososial dan aktiviti dalam komoniti khususnya yang membabitkan wanita bagi meningkatkan kesedaran tentang isu-isu jenayah.

Menurutnya, sukarelawan Skuad Waja dilatih dengan kemahiran merangkumi kemahiran Bantuan Awal Psikologi dan Psikospritual contohnya terapi syukur, terapi sabar, terapi harapan dan terapi keredaan.

Katanya, program Skuad Waja ini memberi impak positif dalam meningkatkan kesedaran komuniti bagi menghentikan sebarang bentuk jenayah terhadap wanita.

"JPW turut melaksanakan program pembangunan kapasiti melalui domain wanita dan ekonomi yang merangkumi program literasi pengurusan kewangan.

"Program tersebut dilaksanakan dalam kumpulan yang kecil dan berbentuk kursus atau bengkel seperti kursus pengurusan kewangan dan kursus digital yang bersesuaian dengan kehendak kumpulan sasar setempat.

"Program ini membantu membangunkan kapasiti wanita dan memberi bimbingan mengenai pengurusan kewangan," katanya.

Ahli Parlimen Sepang itu turut menasihatkan golongan wanita di negara ini agar sentiasa peka dan berwaspada dengan pelbagai tawaran yang ditawarkan terutamanya dalam platform media sosial.

"Saya juga menasihatkan supaya wanita untuk menambah ilmu mengenai hak-hak perundangan serta menjadi celik digital supaya dapat membuat keputusan dengan lebih bijak untuk menghindari daripada ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau juga menasihatkan agar wanita tidak mendiamkan diri, berani tampil dan mengambil tindakan sewajarnya supaya penipuan ini tidak akan berulang lagi dan mengakibatkan lebih ramai yang akan menjadi mangsa.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga menasihatkan orang ramai khususnya wanita agar memilih kaedah atau tatacara yang selamat mengikut batas-batas syariah dalam usaha mencari pasangan hidup.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Jakim, Zakaria Othman berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kewujudan platform agensi mencari jodoh khususnya melalui media sosial.

"Jakim berpandangan usaha mencari jodoh adalah termasuk dalam urusan munakahat bagi umat Islam. Mencari jodoh melalui platform agensi mencari jodoh merupakan satu keharusan sebagai ikhtiar mendapatkan pasangan selagi ia tidak mengundang maksiat dan mendatangkan kemudaratan," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

ANI DAN CINTA RM10,000

https://www.hmetro.com.my/utama/2023/06/979221/ani-dan-cinta-rm10000

TVPPIM | TOQQI... HAJAT PESAKIT KANSER DITUNAIKAN.... - TVPPIM - 21/06/2023

 

Sumber: TVPPIM

TVPPIM | TOQQI... HAJAT PESAKIT KANSER DITUNAIKAN....

https://www.youtube.com/watch?v=zcGhg9w7L2s


IMPIAN MUHAMMAD FARREL MENAIKI HARLEY DAVIDSON TERCAPAI - BERITA HARIAN - 17/06/2023

 

KUALA LUMPUR: Impian pesakit kanser tulang tahap empat, Muhammad Farrel Mohammad Fetri, 12, untuk menaiki motosikal Harley Davidson, akhirnya tercapai, hari ini.

Bapanya, Mohammad Fetri Abu, 44, yang juga pengusaha pusat tahfiz, berkata minat anaknya itu lahir apabila dia melihat video sebuah motosikal Harley Davidson di YouTube.

"Dia (Muhammad Farrel) minta sejak sebulan lalu untuk menaiki motosikal Harley Davidson, tetapi keadaannya tidak mengizinkan.

"Hari ini kesihatan dia dalam keadaan baik walaupun pagi tadi dia mengalami sedikit pening kepala. 

Berbekalkan semangat, anak saya tetap hadir untuk bersama dengan kumpulan motosikal Harley Davidson ini," katanya kepada media ketika selepas pelancaran program kemanusiaan "Humanity Charity Ride 2023" di KL Garage, di sini, hari ini.

Mohammad Fetri berkata, bagi merealisasikan impian anaknya ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) banyak menghulurkan bantuan sehingga mendapat perhatian daripada kumpulan motosikal Harley Davidson, KINGZ Motorcycle Group.

Program ini juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima).

Mohammad Fetri berkata, Muhammad Farrel dikesan menghidap kanser pada November tahun lalu selepas mengadu mengalami kesakitan selepas terlanggar rakannya di sekolah.

"Kami membawanya ke hospital dan doktor memberi ubat tahan sakit. Selepas sebulan, kesakitan yang dihadapi masih tidak reda.

"Saya membawanya ke Hospital Tunku Azizah untuk melakukan X-ray bagi memeriksa sekiranya terdapat tulang yang patah. Doktor mengesahkan beliau menghidap kanser tulang tahap empat selepas melihat terdapat ketumbuhan pada Muhammad Farrel," katanya.

Sementara itu, Pengasas KINGZ Motorcycle Group, Azulhairi Berkhanuddin berkata beliau ingin merealisasikan impian Muhammad Farrel bagi menaiki motosikal Harley Davidson selepas melihat satu video yang tular di TikTok.

"Kita mahu penuhi impian Muhammad Farrel bagi merasai pengalaman meronda di sekitar ibu kota menaiki motosikal ini," katanya.

Azulhairi juga turut diiringi oleh 29 penunggang motosikal yang lain.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata program pada hari ini adalah untuk memberikan semangat kepada Muhammad Farrel.

"Saya harap usaha ini akan menarik perhatian orang ramai untuk turut mendoakan kesembuhan Muhammad Farrel," katanya.

Pesakit kanser tulang tahap empat, Muhammad Farrel Muhammad Fetri diberi peluang menaiki motosikal Harley Davidson yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). NSTP/Fathil Asri


Artikel oleh: Berita Harian

IMPIAN MUHAMMAD FARREL MENAIKI HARLEY DAVIDSON TERCAPAI

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1115547/impian-muhammad-farrel-menaiki-harley-davidson-tercapai

Tuesday, June 20, 2023

HASRAT BUDAK PESAKIT KANSER NAIK HARLEY DAVIDSON TERCAPAI - HARIAN METRO - 20/06/2023

 

Kuala Lumpur: Hasrat kanak-kanak Muhammad Farrel, 12, yang menghidapi kanser tulang tahap empat untuk menaiki motosikal Harley Davidson tercapai, hari ini.

Bapanya, Mohammad Fetri Abu, 44, berkata, anaknya itu menyuarakan hasratnya untuk menaiki motor berkenaan sebulan yang lalu selepas menontonnya di YouTube.

"Dia beritahu kepada kami nak naik motosikal Harley Davidson selepas menontonnya di YouTube. 

Alhamdulillah hari ini kesihatan dia ok dan boleh menaiki motosikal walaupun malam tadi dia memaklumkan kepada kami berasa pening serta sakit-sakit badan.

"Selain itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga banyak bantu dan cuba merealisasikan apa yang anak saya nak," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program kemanusiaan 'Humanity Charity Ride 2023' di sini, hari ini.

Program ini juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kingz Motocycle Group dan Media Prima Berhad.

Mengulas lanjut, Mohammad Fetri yang merupakan pengusaha pusat tahfiz berkata, anaknya itu disahkan menghidapi kanser tulang tahap empat pada November tahun lalu.

"Bulan November itu dia mula sakit selepas balik dari sekolah dan mengadu ada terlanggar kawan. Selepas itu kami memberinya ubat biasa seperti tahan sakit tapi tak sembuh.

"Bila doktor buat X-Ray nampak sesuatu yang bukan patah tulang tetapi seperti ketumbuhan.

"Untuk mengesahkan lagi perkara itu, doktor meminta kami pergi ke Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur dan dia disahkan menghidapi kanser tulang tahap empat. Selepas itu dia mula membuat kimoterapi," katanya.


Dalam pada itu, Pengasas Kingz Motocycle Group, Azulhairi Berkhanuddin berkata, pihaknya mengetahui minat Muhammad Farrel yang merupakan pesakit kanser tulang tahap empat untuk menaiki motosikal Harley Davidson menerusi TikTok.

Disebabkan itu, beliau bersama-sama 29 pemilik motosikal Harley Davidson yang lain mahu membawa murid tahun enam itu meronda sekitar ibu negara pada hari ini.

"Kita mahu membawa Muhammad Farrel sekitar Kuala Lumpur bagi memenuhi impiannya," katanya.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, program yang dianjurkan oleh pihaknya adalah bagi menyantuni dan memberi semangat kepada Muhammad Farrel yang mahu menaiki motosikal Harley Davidson.

Nadzim berkata, dengan usaha yang dilakukan ini, pihaknya berharap ia dapat memberi kekuatan kepada Muhammad Farrel untuk berjuang melawan penyakit yang dihidapinya sejak penghujung tahun lalu.


Artikel oleh: Harian Metro

HASRAT BUDAK PESAKIT KANSER NAIK HARLEY DAVIDSON TERCAPAI

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/06/978589/hasrat-budak-pesakit-kanser-naik-harley-davidson-tercapai

Saturday, June 17, 2023

AKTIVITI | PPIM DAN RAKAN STRATEGIK SANTUNI PELAJAR DERITA KANSER TAHAP 4 - PPIM - 17/06/2023

Seorang pesakit kanser tulang tahap empat, adik Muhammad Farrel Muhammad Fetri sudah lama menyimpan hasrat menunggang motosikal jenis Harley Davidson.

Prihatin dengan kekangan keluarganya untuk memenuhi impian itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bakal menganjurkan program kemanusiaan "HUMANITY CHARITY RIDE 2023" yang akan menyantuni Muhammad Farrel dan merealisasikan impian pelajar tahun enam itu.

Program ini turut disokong oleh Agensi Kerajaan bagi menzahirkan rasa kasih sayang dan keprihatinan kepada gologan yang ditimpa ujian kesihatan juga merapatkan hubungan ukhwah sesama insan.

Sehubungan itu, PPIM bersama rakan-rakan strategik kami, Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam (APM), KINGZ Motorcycle Group, The KL Garage, Media Prima, sumbangan.com, Berqat Media Sdn Bhd dan Muzium Bank Negara Malaysia mengadakan majlis 'flag-off' bertempat di The KL Garage, 70X, Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur.

SOAL WANG: PERBEZAAN ANTARA PERANCANG, PENASIHAT, PENGURUS, JURULATIH KEWANGAN | MHI - TV3MALAYSIA - 16/06/2023

 

Topik: Soal Wang: Perbezaan Antara Perancang, Penasihat, Pengurus, Jurulatih Kewangan 

Malaysia Hari Ini membawakan topik "Perbezaan Antara Perancang, Penasihat, Pengurus, Jurulatih Kewangan" untuk dibincangkan oleh Datuk Nadzim Johan, Ketua Aktivis PPIM, bersama hos Hanif Miswan. 

#MalaysiaHariIni #MHI2023 #MalaysiaHariIni2023 

Sumber: TV3Malaysia

SOAL WANG: PERBAZAAN ANTARA PERANCANG, PENASIHAT, PENGURUS, JURULATIH KEWANGAN | MHI

https://www.youtube.com/watch?v=i1lwqn6Ag8g

Friday, June 16, 2023

AKTIVITI | KUNJUNGAN HORMAT PPIM KE LEMBAGA ZAKAT SELANGOR - PPIM - 15/06/2023

Kunjungan hormat PPIM Ke pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Tuan Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Perjumpaan membincangkan mengenai jalinan kerjasama yang boleh dibuat antara PPIM-LZS dari segi kutipan dan agihan zakat di negeri Selangor.

DEDAH NAMA VIP TERLIBAT - SINAR HARIAN - 16/06/2023

 

SHAH ALAM - Pelbagai pihak mendesak kerajaan mendedahkan nama ahli politik yang melindungi tauke judi dalam talian dan menjatuhkan hukuman berat ke atas mereka jika didapati bersalah.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Othman berkata, hukuman keras wajar dikenakan termasuk penjara seumur hidup yang sekali gus akan menamatkan kerjaya politik individu terbabit.

"Kerajaan bukan sahaja wajar mendedahkan nama ahli politik itu bahkan perlu jatuhkan hukuman berat sekiranya dia didapati bersalah selepas dibawa ke muka pengadilan.

"Jika perlu dibuat pindaan undang-undang untuk membolehkan mereka terima hukuman berat, wajarlah pindaan berkenaan dibuat," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa sidang Dewan Rakyat pada Khamis mendedahkan terdapat 'naungan politik' yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

Menurut Saifuddin, keadaan itu menjadi kekangan terbesar dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan untuk membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

Mengulas lanjut, Maamor menegaskan, tindakan tegas perlu dibuat bagi menunjukkan kerajaan tidak berkompromi dengan perbuatan jenayah dan salah guna kuasa golongan 'kenamaan' atau VIP.

"Adalah munasabah menghukum ahli politik yang menjadi dalang perbuatan jenayah dengan hukuman maksimum atau berat kerana ia akan memberi impak yang cukup besar kepada pelaku yang lain.

"Kalau setakat 'ikan bilis' sahaja yang ditangkap dan dikenakan hukuman, 'jerung' dan 'harimau' yang lain tak akan rasa tergugat.

"Kalau semuanya 'kena', ia akan beri mesej yang betul bahawa kerajaan tidak berkompromi dalam hal-hal berkaitan judi kerana ia boleh merosakkan ekonomi dan meruntuhkan sosial rakyat," ujarnya.

Senada dengan PPIM, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim yang menganggap pendedahan nama individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah itu dapat membantu menjaga akauntabiliti dan memberikan amaran kepada mereka yang terlibat dengan kegiatan yang melanggar undang-undang.

"Ia juga boleh memberi keyakinan kepada orang awam bahawa tindakan bersungguh-sungguh sedang diambil untuk menangani isu tersebut.

"Bagaimanapun, keputusan untuk dedahkan nama-nama tersebut adalah bergantung kepada undang-undang dan proses yang sedia ada di negara ini," katanya.

Jais menegaskan, sangat penting kepada kerajaan untuk menegakkan keadilan dan integriti dalam menangani kesalahan yang melibatkan ahli politik atau individu dalam jawatan awam.

"Ini untuk memastikan tidak ada pihak yang terkecuali daripada undang-undang dan semua individu tunduk kepada hukuman yang setimpal jika didapati bersalah," jelasnya.

Begitu juga dengan, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang berkata, kerajaan perlu mendedahkan identiti ahli politik itu datang daripada parti mana.

"Saya mohon kerajaan dedahkan (nama ahli politik dan partinya) serta buat siasatan sesegera mungkin (ke atas individu terbabit)."

Jangan melindungi petualang sebegini walau sebesar mana pun pangkatnya," ujarnya.

 Orang politik jangan salah guna kuasa - Lam Thye 

SHAH ALAM - Orang politik digesa menghindari perbuatan negatif yang boleh menjatuhkan nama baik khususnya skandal dan jenayah demi penghormatan dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat. 

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata demikian susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada Khamis yang mendedahkan terdapat 'naungan politik' yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini. 

Lam Thye berkata, individu tersebut perlu menjaga reputasi dan menunjukkan teladan yang baik supaya tidak menimbulkan kemarahan sekali gus hilang sokongan rakyat disebabkan sikap 'tamak'. 

"Bagi mereka yang terlibat dalam politik, mesti memahami fungsi, objektif dan menjadi teladan kepada orang ramai. 

"Jika mahu mendapat sokongan rakyat maka orang politik itu perlu berkelakuan baik, tidak terlibat dalam skandal, jenayah dan perkara yang bertentangan dengan undang-undang. 

"Mereka perlu sedar sebagai orang politik, memang tidak lari daripada memasang cita-cita besar, iaitu mahu menjadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan menteri tetapi mesti menjadi yang terbaik dan elakkan perkara yang boleh memburuk reputasi khususnya jenayah," katanya kepada Sinar Harian. 


Artikel oleh: Sinar Harian

DEDAH NAMA VIP TERLIBAT

https://www.sinarharian.com.my/article/263713/berita/nasional/dedah-ahli-politik-dalang-judi

 

Artikel oleh: Sinar Harian

DEDAH AHLI POLITIK DALANG JUDI

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL