Showing posts with label PENARIK KERETA. Show all posts
Showing posts with label PENARIK KERETA. Show all posts

Tuesday, July 8, 2025

PPIM GESA KAJI SEMULA PROSEDUR TARIK KERETA - SINAR HARIAN - 05/07/2025

 

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu menyemak semula undang-undang serta prosedur berkaitan tindakan penarikan balik kenderaan yang didakwa semakin tidak beretika.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini susulan terdapat segelintir ejen tarik kenderaan bertindak keterlaluan sehingga menceroboh kawasan kediaman berpagar tanpa kebenaran sah, sambil mendakwa mempunyai writ mahkamah untuk menarik kereta.

“Mereka kata boleh tarik bila-bila masa termasuk tengah malam. Mana ada undang-undang begitu? Selain bertindak seperti gengsterisme, bank pula serah semua kuasa kepada ejen tanpa pemantauan dan ia mesti dihentikan.

“Kita nak tahu siapa yang proses benda ini? Hari apa boleh tarik? Siapa luluskan? Kena ada semakan semula. Jangan sampai berlaku kejadian tak diingini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sabtu lalu, tular video di media sosial yang memaparkan Nadzim dilihat memarahi seseorang dipercayai ejen penarik kereta yang masuk ke sebuah kondominium di Kuala Lumpur dipercayai untuk menarik kereta.

Nadzim melihat beberapa dokumen mengenai kejadian terbaru membabitkan ejen tarik kenderaan.

Kekecohan tercetus disebabkan tindakan individu itu yang masuk tanpa kebenaran termasuk melangkah palang keselamatan.

Menurut Nadzim, kesahihan dokumen mahkamah yang didakwa pihak ejen tidak dapat disemak atas faktor pejabat kerajaan dan mahkamah tutup.

“Saya turun ke lokasi selepas dimaklumkan oleh pihak pengurusan kediaman. Mereka kata ada perintah mahkamah, tapi (apa) yang ditunjuk hanya salinan fotostat. Kita perlukan dokumen asal.

“Selepas perbincangan mereka bersetuju untuk datang pada hari Isnin. Bagaimanapun, mereka datang pada awal pagi dan bertindak masuk kawasan tanpa menunggu kita membuat semakan kepada pihak berkenaan terlebih dahulu.

“Mereka nak tarik sebuah kereta Nissan, tunggakan pun cuma RM12,000. Tapi datang 20 orang macam nak pergi perang,” katanya.

Tambah Nadzim, mangsa pula bukan pemilik, tetapi hanya penjamin selain memaklumkan tidak dapat membuat pembayaran susulan menjalani rawatan kanser.

“Kalau kereta dilelong nanti pun, dia tak dapat apa-apa walaupun nilai kereta RM50,000 ke RM60,000,” ujarnya.

Beliau berkata, PPIM akan mengadakan pertemuan dengan KPDN dalam masa terdekat dan mengalu-alukan siasatan BNM terhadap institusi perbankan yang terlibat dalam amalan penarikan kereta secara tidak sah.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM GESA KAJI SEMULA PROSEDUR TARIK KERETA

https://www.sinarharian.com.my/article/737103/berita/nasional/ppim-gesa-kaji-semula-prosedur-tarik-kereta

Thursday, June 26, 2025

PENGGUNA  ATAU DIPERGUNA ?.... - SIDANG MEDIA PPIM - 26/06/2025

 `BAHAWA PEMOHON DAN/ATAU WAKIL-WAKIL,PEKERJA-PEKERJA DAN/ATAU BAILIF DAN/ATAU AGEN-AGEN PEMOHON DAN/ATAU ANGGOTA POLIS DIRAJA MALAYSIA DIBERI KEBENARAN UNTUK MEMASUKI PREMIS-PREMIS TERSEBUT APA-APA PAKSAAN SEBAGAIMANA PERLU BAGI MEMASUKI PREMIS-PREMIS TERSEBUT DENGAN MEMBUKA PINTU DAN/ATAU PAGAR DAN/ATAU MEMOTONG MANGGA PADA PINTU DAN/ATAU PAGAR BAGI MENJALANKAN PENARIKAN SEMULA KENDERAAN TERSEBUT.....``

Apa pendapat anda membaca arahan ini? Ini adalah arahan tarik kereta yang dikeluarkan oleh Public Bank Berhad.

Ini pula adalah dakwaan penarik kereta yang merasakan mereka yakin diberi kuasa untuk melakukan apa saja. "9 pagi ke 9 malam, hari-hari  walau cuti walau tengah malam atau dalam Istana pun kecuali dalam balai polis”.

Dalam masa-masa akan datang ramai pengguna akan menghadapi  “arahan mahkamah“  dan mudah ditipu dalam berbagai kaedah jika perkara ini tidak disekat. Semua rakyat Malaysia perlu bangkit dan bersama pihak berkuasa supaya scam jenis baru ini tidak terkena ke atas kita pengguna. Justeru itu, satu sidang media telah diadakan berhubung isu ini.

Tuesday, June 24, 2025

'KALAU NAK TARIK KERETA SEKALI PUN, JANGAN MACAM PENJENAYAH' - PPIM - HARIAN METRO - 24/06/2025

 

Kuala Lumpur: "Kalau nak tarik kereta sekali pun, ikutlah prosedur sepatutnya, bukan dengan cara lompat pagar, masuk ke kawasan kediaman tanpa kebenaran.

"Tindakan seperti samseng ini bukan saja tidak menyelesaikan masalah, tetapi membahayakan orang lain," kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Semalam, tular di media sosial beliau dilihat memarahi seseorang dipercayai penarik kereta yang masuk ke sebuah kondominium dipercayai untuk menarik kereta.

Nadzim berkata, kejadian berlaku selepas beliau dimaklumkan ada individu masuk ke kawasan berkenaan tanpa kebenaran sebelum berlaku kekecohan.

"Penarik kereta itu masuk tanpa kebenaran, melangkah palang keselamatan untuk menarik kereta. Saya tegur cara itu tak kena, kerana dia masuk tanpa kebenaran.

"Kita (PPIM) sudah puluhan tahun kendalikan kes tarik kereta ini, serba sedikit kita tahu prosedurnya. Sebab itu saya cakap, tindakan dia salah dan bahaya kepada orang lain," katanya kepada Harian Metro.

Nadzim berkata, kereta yang hendak ditarik itu bukanlah milik ahli PPIM seperti didakwa.

Berdasarkan siasatan, pinjaman pembiayaan kereta itu sudah melebihi 80 peratus, namun mempunyai tunggakan beberapa bulan disebabkan pemiliknya berdepan masalah kesihatan.

"Individu itu menunjukkan dokumen berkaitan. Kita tak persoalkan mengenai peraturan, tetapi cara dia datang, nak tunjuk samseng, itu yang salah. Masuk kawasan berpengawal tanpa kebenaran.

"Institusi kewangan juga perlu ada budi bicara, tapi yang ini datang seperti penjenayah. Bincang dengan pemilik pun tidak, terus serbu dan melulu macam kita tak ada undang-undang," katanya.

Justeru katanya, beliau mencadangkan pelbagai aspek dalam proses menarik kereta perlu diteliti semula bagi memastikan tidak berlaku sebarang unsur jenayah sama ada membabitkan penarik kereta mahu pun pemilik kenderaan.

Artikel oleh: Harian Metro

'KALAU NAK TARIK KERETA SEKALI PUN, JANGAN MACAM PENJENAYAH' - PPIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/06/1233520/kalau-nak-tarik-kereta-sekali-pun-jangan-macam-penjenayah-ppim

Tuesday, November 5, 2013

946) FREE MALAYSIA TODAY 13/10/13-PPIM: Along, agen penarik kereta `samseng’ pengguna



Pihak berkuasa perlu memandang serius kerana dalam beberapa kes ia mengancam nyawa.

Muda Mohd. Noor | October 13, 2013

Bahagian 4


PETALING JAYA: Samseng yang mengugut pengguna kurang disedari, malah ada yang menganggapnya sebagai remeh .

Sama ada sedar atau tiidak, suka atau tidak, along dan agen penarik kereta merupakan ‘samseng’ kepada pengguna.

“Mangsa terjebak dengan piinjaman dari agensi tidak berlesen, kerana gagal membayar balik mengikut perjanjian akhirnya diugut oleh along.

“Ia berleluasa di musiim perayaan,“ kata ketua aktiviis Persatuan Pengguna Islam .Malaysia Datuk Nadziim Johjan.

Mangsa meliputi pelbagai golongan dan paling banyak kaki tangan  awam.

“Salah satu kes kita ialah seorang warga emas  berumur lebih 70 tahun  telah diancam along,“ tambahnya.

Agen penarik kenderaan terutamanya kereta yang sering berlagak seperti ‘samseng` mengutip hutang.

Empat lelaki penarik kereta
Sebuah akhbar pernah melaporkan serang pemilik restoran di Puchong mendakwa menjadi mangsa sekumpulan empat lelaki penariik kereta berlagak samseng.

Mangsa N Jiwanathan berkata tanpa sebarang surat arahan tarik kereta darii bank, empat individu itu menceroboh ke dalam rumah abang iparnya di Hulu Langat untuk menarik kereta Mercedes Benz miliknya.

“Penarik kereta datang seperti samseng, menarik kereta tanpa mahu berbincang atau menunjukkan dokumen bagi tujuan itu. Selepas ditarik barulah mereka meminta surat bank. Saya syak kejadian itu mendapat kerjasama bank,” dakwanya.

Dalam kes ini Nadzim berkata, pihak berkuasa harus memandang serius sikap penarik kereta yang diupah syarikat kewangan kerana terdapat beberapa kes turut mengancam nyawa.

Dalam kejadian lain seorang lelaki dibelasah sekumpulan anggota sindiket gores dan menang di Kelana Jaya.


Kejadian-kejadian keganasan penarik kereta dan agen sindiket gores dan menang kerap berlaku.

Saturday, July 28, 2012

BERITA PPIM: BERHATI-HATI DENGAN KESELAMATAN ANDA DAN KENDERAAN ANDA





SUMBER DARI FACEBOOK :



Jumaat, Julai 06, 2012


AWAS!!! TEKNIK TERBARU CURI KERETA

Minggu lalu, kereta seorang wanita telah dicuri di tempat yang sangat sibuk berhampiran Jaya Jusco di Mahkota Cheras, Kuala Lumpur . Kejadian ini adalah sesuatu yang sangat bernilai untuk dikongsi bersama supaya kita dapat mengurangkan peluang kepada pencuri kereta.

Selepas meletakkan keretanya di tepi jalan di luar Jusco, wanita tersebut mendapati bahawa dia tidak berjaya untuk mengunci keretanya dengan alat kawalan jauh (remote). Pada fikiran beliau alat kawalan jauh tersebut telah kehabisan bateri atau rosak, lalu beliau hanya menggunakan kunci biasa untuk mengunci keretanya secara manual.

Beliau kemudian pergi untuk membeli beberapa barangan runcit dan kira-kira 30 minit kemudian apabila dia kembali ke tempat di mana dia meletakkan kereta beliau, didapati keretanya telah hilang.

Kemudian di balai polis dan juga di agensi insurans, beliau telah diberitahu bahawa terdapat beberapa sindiket mencuri kereta yang menggunakan peranti elektronik 'klip'frekuensi alat kawalan jauh kereta (car remote's frequency clipping). Alat ini boleh mengesan frekuensi remote kereta semasa ia digunakan untuk mengunci kereta.

Kesan dari operasi 'clipping' oleh pencuri kereta ini akan menyebabkan pemilik kenderaan tersebut tidak dapat mengunci kereta dengan alat kawalan jauh.Jadi pemilik kereta akan menguncinya secara manual. Sebaik sahaja pencuri ini memperolehi frekuensi alat kawalan jauh kereta anda, mereka akan mencuri kereta apabila anda berada jauh dari kereta anda.

Pengajaran untuk masa depan apabila anda tidak dapat mengunci kereta anda dengan alat kawalan jauh, kemungkinan tinggi bahawa seseorang berdekatan telah mensasarkan kereta anda. Jadi anda dinasihatkan supaya tidak meletak kenderaan di tempat tersebut dan beredarlah dari situ.

LAIN-LAIN SUMBER :

Monday, February 6, 2012

BERITA : Penarik kenderaan lagak ‘samseng’



SINAR HARIAN 5 FEBRUARI 2012

LAGAKNYA seperti ‘samseng’, terus menerjah ke arah kenderaan dan menggertak pemilik kereta di khalayak ramai, gara-gara gagal melangsaikan ansuran bulanan.

Kegiatan ejen penarik kenderaan terutamanya kereta yang sering berlagak seperti ‘samseng’ ini, kadang kala menjadi igauan setiap pemilik kenderaan.

Dalam kejadian pada dua tahun lalu yang pernah dipaparkan dalam sebuah akhbar, seorang pemilik restoran di Puchong, mendakwa menjadi mangsa sekumpulan empat penarik kereta yang berlagak samseng.

Mangsa, N Jiwanathan, 43, berkata, tanpa sebarang surat arahan tarik kereta dari bank, empat individu itu menceroboh ke dalam rumah abang iparnya di Hulu Langat untuk menarik kereta Mercedes Benz miliknya.

Insiden berlaku ketika mangsa berada di Puchong dan kejadian itu hanya diketahui apabila dimaklumkan abang iparnya. Dia berkata, kereta itu ditarik kerana dia tidak dapat membuat bayaran ansuran selama lapan bulan.

“Penarik kereta datang seperti samseng, menarik kereta tanpa mahu berbincang atau menunjukkan dokumen bagi tujuan itu. Selepas ditarik, saya percaya barulah mereka meminta surat bank. Saya syak kejadian itu mendapat kerjasama bank,” dakwanya.

Menurutnya, lebih mengecewakan, kereta itu ditunda dari hadapan mengakibatkan kotak gear kenderaan tersebut menga­lami kerosakan.

Katanya, dia kemudian membuat bayaran tunggakan RM20,000 di bank, sebelum diminta mengambil keretanya di sebuah stor, lima hari kemudian.

“Ketika ingin mengambil kereta tersebut, saya dapati pemain cakera dan skrin LCD dipasang berharga RM2,900 hilang. Enjin kereta juga gagal dihidupkan kerana kotak gearnya rosak. Saya terpaksa menanggung kerugian RM20,000 akibat kejadian itu,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Gombak kerana kehilangan barangan tersebut. Dia meminta pihak berkuasa memandang serius perkara berkenaan kerana insiden itu bukan sahaja menimpanya, malah turut terjadi kepada banyak pihak sebelum ini.

Pihak berkuasa perlu buka mata

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihak berkuasa harus memandang serius sikap penarik kenderaan yang diupah oleh syarikat kewangan kerana terdapat beberapa kes yang berlaku turut mengancam keselamatan orang ramai.

“PPIM menerima banyak laporan tentang perbuatan penarik kenderaan yang menggunakan kekerasan dan mengancam nyawa pengguna,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan ejen penarik kenderaan turut menggunakan khidmat samseng semasa melakukan operasi mereka terhadap pengguna yang lewat membayar ansuran, terdapat juga sebilangan daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki polis.

“PPIM berharap kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan terhadap penarik kenderaan yang berlagak samseng dengan membuat beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pihak mereka bagi memberi keadilan kepada pemilik,” katanya.

Ejen Pemilikan Semula perlu ada permit

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan, Abu Samah Shabudin berkata, setiap individu atau ejen penarik kenderaan atau dikenali Ejen Pemilikan Semula (EPS) perlu mempunyai permit.

“Permit ini bertujuan memastikan proses penarikan balik atau perolehan semula dilaksanakan mengikut peraturan. Sebelum ini terdapat kes melibatkan ejen menggunakan kekerasan semasa menarik semula kenderaan, termasuk menceroboh premis persendirian,” katanya.

Beliau berkata, KPDNKK turut bekerjasama dengan polis, sebelum seseorang itu diberikan permit, ejen berkenaan perlu menjalani tapisan oleh pihak berkuasa.

“Difahamkan seramai 133 individu atau ejen mempunyai permit di Kuala Lumpur, notis 21 hari sebelum tarikh akhir proses penarikan kenderaan mesti disampaikan kepada pemilik terbabit,” katanya.

Menurut, Abu Samah, proses pengambilan semula perlu dilakukan dengan kehadiran penyewa atau sesiapa berkenaan terhadap kenderaan atau barangan tersebut. Pencerobohan ke atas premis persendirian tidak dibenarkan kecuali dengan perintah mahkamah.

“Pemegang permit perlu membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam, selepas proses pengambilan semula selesai dijalankan. Pengecualian hanya diberi bagi situasi tertentu, di mana tempoh masa pelanjutan tidak melebihi 48 jam,” katanya.

Beliau berkata, pemegang permit terikat dengan segala undang-undang, peraturan, terma dan syarat, kod etika dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPDNKK bagi menjalankan aktiviti pengambilan semula.

“Pemegang permit harus peka dan mematuhi sebarang Kod Etika dan Garis Panduan yang dikeluarkan oleh KPDNKK dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan berhubung perkara ini boleh disiasat di bawah Seksyen 17 A (2) atau 17 B (2) Pindaan Akta Sewa Beli 2010 dan Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Permohonan Permit dan Tatacara Pemilikan Semula Barangan) 2011 Beliau berkata, pemilik kereta seharusnya membayar ansuran seperti tercatat di dalam perjanjian sewa beli.

“Bagi pengguna yang menghadapi masalah atau aduan berhubung perkara ini, mereka boleh menghubungi pejabat KPDNKK KL menerusi talian 03-40454555 atau bilik gerakan Seksyen Penguat Kuasa 03-40454471 untuk mendapat bantuan dan nasihat,” katanya.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL