Showing posts with label ISU MUFLIS. Show all posts
Showing posts with label ISU MUFLIS. Show all posts

Saturday, January 31, 2015

2447) RAKYAT NEWS - 29/01/2015 - Muflis : PPIM Syor Akta Baharu Bantu Individu Teraniaya

Rakyat News
KUALA LUMPUR 29 Jan - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa agar akta baharu bagi menggantikan Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) perlu lebih ‘berperikemanusiaan’ bagi membantu individu teraniaya yang diisytiharkan muflis.

Menurut Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, individu yang telah dimufliskan kini seakan menerima hukuman penjara seumur hidup berikutan akta sedia ada yang dilihat tidak berlaku adil terhadap mereka.

Justeru, katanya, akta baharu harus dirombak dan dinilai semula seberapa segera sesuai dengan keadaan semasa dengan menyediakan pelepasan secara automatik kepada penjamin sosial serta individu yang menjadi mangsa penipuan.

“Beberapa kelemahan di dalam akta sedia ada telah menyebabkan ramai menderita sehinggakan ada keluarga yang terus kehilangan tempat berteduh akibat rumah dilelong padahal mereka teraniaya. Ada juga yang dipenjara gara-gara hutang yang telah dibayar itu kurang RM50 sahaja. Takkan tidak ada langsung perikemanusiaan.

“Kita juga kesal apabila wujud situasi mahkamah tetap mengisytiharkan seseorang itu muflis tanpa merujuk siasatan polis terlebih dahulu dan adanya pihak ketiga yang ingin membantu membayarkan hutang individu muflis tetapi tidak dibenarkan Jabatan Insolvensi,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini semalam.

Turut bersama beliau Pegawai Kerja PPIM, Datuk Mohd. Mustaffa Hamzah.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, pihaknya berhasrat mengadakan pertemuan segera dengan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Haslina Mansor bagi memperjelaskan keraguan mengenai beberapa isu kebankrapan yang semakin me­runcing.

“Kita berharap agar perjumpaan dapat dibuat untuk melihat semula inisiatif yang telah dijalankan bagi memastikan penimbangtara yang lebih relevan digunakan kepada lebih 300,000 individu muflis di negara ini,” katanya.

2446) MALAYSIA KINI - 29/01/2015 - 300,000 Muflis, Persatuan Gesa Akta Dipinda


Akta Kebankrapan 1967 perlu dirombak supaya lebih adil kepada mangsa muflis, kata Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Akta Kebankrapan 1967  harus dirombak dan dinilai semula.

“Ia perlukan pembaharuan semasa dan sepatutnya lebih adil kepada mangsa bankrap,” kata Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.

Katanya lagi, langkah itu perlu diambil ketika jumlah mangsa bankrap kini mencecah 300,000 orang dan melibatkan pengguna berumur bawah 23 tahun.
Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Nadzim berkata kenapa akta itu belum dipinda walaupun kerajaan sudah menjanjikan perkara itu empat tahun lalu.

“Jabatan Insolvensi Malaysia harus mengemaskini perkara yang ingin diubah kerana berkaitan dengan kehidupan seharian penghutang,” katanya yang mahu bertemu sendiri dengan ketua pengarah jabatan itu bagi membincangkannya.

Berdasarkan akta, seseorang itu diisytihar muflis jika menanggung hutang minimum RM30, 000 dan tidak mampu membayarnya.

Selepas diisytihar bankrap, mereka secara automatik disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen dan  dilarang ke luar negara.


Thursday, December 25, 2014

2277) UTUSAN MALAYSIA - 24/12/2014 - Tangani Isu Birokrasi


Tubuhkan suruhanjaya dalam Jabatan Insolvensi

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Kerajaan disaran mewujudkan satu suruhanjaya dalam Jabatan Insolvensi bagi me­lancarkan urusan dokumentasi dan membentuk sistem kerja yang le­bih sistematik.

Hal ini berikutan terdapat banyak aduan mengenai masalah biro­krasi di jabatan tersebut termasuk isu kelewatan dalam menyediakan dokumen-dokumen berhubung individu yang diisytihar muflis.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, terdapat banyak kes melibatkan individu yang diisytihar muflis oleh pihak bank tidak menerima sebarang dokumen berkaitan daripada Jabatan Insolvensi.

Menurut beliau, masalah itu menimbulkan kekeliruan kepada mereka yang terlibat, se­kali gus menyukarkan proses untuk bebas daripada muflis.

“Cadangan suruhanjaya tersebut dilihat sebagai satu kaedah penyelesaian terbaik untuk menangani masalah-masalah birokrasi yang timbul di Jabatan Insolvensi.

“Jabatan tersebut perlu mempunyai satu sistem yang efektif bagi memaklumkan kepada individu yang diisytiharkan muflis lebih awal sebelum mereka dikenakan tindakan mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Biro Penyiasatan dan Pembangunan Insan PPIM, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied dan Pegawai Kerja PPIM, Mohd. Mustaffa Hamzah.

Dalam pada itu, Nadzim turut menyifatkan tiada komunikasi efektif antara pihak bank dengan Jabatan Insolvensi dalam menyampaikan maklumat kepada mereka yang diisytihar muf­lis.

“Hal ini dapat dilihat apabila ada di antara nama yang diisytihar muflis dan disiarkan dalam akhbar masih tidak mengetahui tentang perkara tersebut.

“Hasil pemantauan PPIM, sebanyak 60 peratus daripada kira-kira 170 kes muflis yang disiarkan dalam akhbar mengadu mereka tidak menerima sebarang dokumen daripada jabatan berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap suruhanjaya yang dicadang­kan tersebut dapat membantu memudahkan urusan dokumentasi sekali gus membebaskan individu terlibat daripada belenggu muflis.

Sunday, October 19, 2014

2125) ARKIB BERITA PPIM - 16/9/2014 BERITA HARIAN ONLINE - Purata 68 Individu Muflis Setiap Hari

Keratan akhbar BH 7 November tahun 2013.
KUALA LUMPUR: Purata 68 individu diisytiharkan muflis setiap hari di negara ini, meningkat 13 peratus daripada 60 orang bankrap setiap hari, tahun lalu.
Statistik terkini Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan dari Januari hingga Jun lalu, seramai 12,381 individu sudah diisytiharkan muflis atas pelbagai sebab, sekali gus membayangkan isu kebankrapan yang semakin membelenggu sebilangan rakyat Malaysia.
Malah statistik MdI sejak tahun 2007 juga menunjukkan aliran peningkatan individu muflis daripada 13,238 pada 2007, 13,855 (2008), 16,228 (2009), 18,119 (2010), 19,167 (2011), 19,575 (2012) dan 21,987 (2013) dengan keseluruhan kes bankrap bagi tempoh itu mencecah 134,550 orang.
Peningkatan kes muflis ini merunsingkan pelbagai pihak yang meminta kerajaan melakukan sesuatu sebelum ia menjadi parah.
Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis, Datuk Sohaimi Shahadan menyifatkan peningkatan kes muflis di negara ini sebagai 'fenomena membimbangkan'.
Katanya, apa yang lebih menggusarkan apabila majoriti individu muflis itu terdiri daripada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.
Statistik menunjukkan daripada keseluruhan individu muflis, 75,279 atau 55.94 peratus berumur 44 tahun ke bawah dengan kelompok 35-44 tahun menduduki jumlah individu tertinggi muflis iaitu 46,060 kes atau 34.23 peratus.
"Kerajaan perlu segerakan pindaan akta terbabit," katanya mengupas isu kebankrapan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kerajaan sebelum ini mencanangkan akan meminda Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bagi memudahkan individu muflis mendapat pelepasan kebankrapan, bagaimanapun perkara itu masih tertangguh sehingga ke hari ini.
Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, dilapor berkata, melalui pindaan itu, beberapa peruntukan alternatif akan dilaksanakan kepada pemiutang untuk mendapatkan semula hutang berdasarkan kerangka perundangan MdI, termasuk perkiraan sukarela individu dan skim pembayaran semula hutang.
Bagaimanapun, tinjauan BH dalam kalangan individu muflis mendapati kebanyakannya skeptikal mengenai pindaan itu dengan ada antara mereka mempunyai pandangan negatif terhadap MdI yang dilihat seolah-olah memihak kepada pemiutang atau bank.
Segera pinda akta
"MdI perlu melihat isu persepsi itu sebagai cabaran dengan pihak kerajaan digesa segera melaksanakan pindaan akta terbabit, termasuk menyegerakan pelaksanaan pelepasan automatik kepada penjamin sosial bagi pinjaman kenderaan atau pinjaman pendidikan," kata Sohaimi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan bekas EXCO Biro Ekonomi Pemuda UMNO yang memperjuang isu muflis bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO), khususnya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan PPIM, Sheikh Abd Kareem S Khadaied, berkata Jabatan Insolvensi perlu mengubah persepsi negatif terhadap badan itu dengan mengambil tindakan lebih proaktif dan mesra rakyat.
Subseksyen 38(1)(c) Akta Kebankrapan 1967 melarang individu diisytiharkan bankrap untuk keluar negara kecuali dengan kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia.
Ketika ini, ada tiga cara bagi seseorang muflis untuk keluar daripada status bankrap, iaitu pelepasan melalui perintah mahkamah, sijil pelepasan oleh Ketua Pengarah Insolvensi atau pembatalan melalui perintah mahkamah.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL