Monday, August 29, 2022

'TUDUH SAYA SABOTAJ OPERASI SEMBELIHAN TIDAK BENAR' - UTUSAN MALAYSIA - 26/08/2022

 

KUALA LUMPUR: Pengakuan seorang lagi bekas pekerja sembelihan di Thomas Food Industries (TFI), Australia yang mengesahkan segala kejadian ketidakpatuhan halal di rumah sembelihan itu menguatkan lagi dakwaan sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abdullah yang juga dikenali sebagai The Hooded Man berkata, dakwaan bekas pekerja terbabit yang dikenali sebagai Ahmad bahawa aktiviti itu sudah lama berlaku secara tidak langsung menafikan tuduhan dia merancang mensabotaj TFI.

Kata Abdullah, dia langsung tidak mengenali Ahmad yang menyertai TFI lebih awal daripadanya.

“Saya bertemu Ahmad secara kebetulan di sebuah masjid, dan perkenalan kali pertama di situ telah membongkarkan kegiatan di TFI apabila haiwan dilemaskan dalam takungan darah adalah amalan biasa di pusat pe­nyembelihan.

“Ahmad kemudiannya memberitahu dia meninggalkan TFI kerana tidak mahu lagi bersekongkol dengan kegiatan yang melanggar prosedur halal sejak hari pertama dia bekerja dan hanya mampu bertahan enam bulan,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Abdullah muncul sekali lagi dalam sidang akhbar yang dianjurkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam lain se­perti Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Pertubuhan Produk Ummah Malaysia, Persatuan Anti Diskriminasi dan Salah Laku serta Sahaba 99.

Kemunculan menerusi persidangan video itu bagi mendedahkan pengakuan Ahmad itu bersama surat akuan bersumpah (SD) yang dibuat Ahmad pada 7 Ogos lalu di bawah Akta Akuan Berkanun 1959 di Victoria bagi membuktikan segala dakwaannya bukan satu rekaan.

Dalam SD itu, Ahmad menyatakan, sepanjang bekerja antara April hingga Oktober 2020, ‘kegiatan’ melemaskan haiwan dalam darah sebelum di­sembelih disaksikan sejak hari pertama dia bekerja dan setiap hari kira-kira 6,000 haiwan biri-biri disembelih dan dia melihat haiwan jatuh dan mati dalam takungan darah.

Katanya, haiwan-haiwan itu kemudian disahkan halal walaupun nyata ia bangkai. – UTUSAN


Artikel oleh: Utusan Malaysia

'TUDUH SAYA SABOTAJ OPERASI SEMBELIHAN TIDAK BENAR'

https://www.utusan.com.my/berita/2022/08/tuduh-saya-sabotaj-operasi-sembelihan-tidak-benar/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL