PETALING JAYA – Keghairahan orang ramai khususnya lepasan sekolah dan graduan universiti untuk mendapatkan pekerjaan dengan segera membuka peluang kepada sindiket scammer untuk memperdayakan mangsa dengan menyamar sebagai ejen pencari kerja.
Modus operandi yang dilakukan sindiket ini untuk ‘memancing’ mangsa adalah menerusi pengiklanan kerja kosong di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp, Facebook serta Telegram.
Antara bidang pekerjaan yang ditawarkan termasuklah perhotelan, pengurusan pejabat dan content writer untuk aplikasi di media sosial.
Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima lebih 120 aduan berkaitan penipuan tersebut sejak tiga tahun lalu.
Jelas beliau, kebanyakan mangsa yang terlibat terdiri daripada golongan lepasan sekolah, graduan baharu dan juga belia yang sedang mencari pekerjaan.
Lebih menyedihkan katanya, ada segelintir mangsa mengalami kerugian sehingga mencecah ribuan ringgit selepas diperdaya sindiket berkenaan.
“Saya pernah mendapat satu aduan di mana mangsa kerugian kira-kira RM5,000 kerana diperdaya sindiket berkenaan.
“Mangsa dipercayai telah membuat beberapa transaksi bayaran kepada ejen untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang perhotelan.
“Bayaran yang dikenakan ke atas mangsa adalah berkaitan urusan kursus, latihan serta caj-caj tertentu berkaitan majikan sebelum mangsa diserapkan ke bidang pekerjaaan yang dipohon,” dedahnya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Yusrizal, mangsa hanya sedar ditipu selepas semakan ke atas majikan berkenaan mendapati mereka tidak pernah menawarkan apa-apa pekerjaan kosong.
“Bila kita semak dengan majikan terlibat, mereka beritahu tidak pernah membuat sebarang pengiklanan termasuklah di media sosial.
“Semakan ke atas transaksi bayaran yang dibuat mangsa juga mendapati ia adalah akaun persendirian, bukan syarikat dan kebanyakan akaun tersebut milik ‘keldai akaun’,” ujarnya.
Jelas beliau, kebanyakan aduan yang diterima oleh pihaknya menggunakan modus operandi yang hampir sama.
“Cuma amaun kerugian yang dialami mangsa berbeza, ada yang rugi hanya puluhan ringgit, ada yang ratusan dan juga ada sehingga ribuan ringgit.
“Sindiket ini pandai apabila mereka menawarkan gaji yang sangat lumayan kepada mangsa sehingga ada mencecah RM3,000 sehingga RM5,000. Itu sebab ramai yang terperangkap dan ejen akan ‘menghilangkan’ diri selepas bayaran dibuat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya juga turut menerima lebih 30 aduan berkaitan sindiket penipuan pekerjaan.
Namun katanya, kebanyakan aduan hanyalah diterima menerusi panggilan telefon dan rata-rata mangsa tidak hadir ke PPIM untuk membuat laporan rasmi.
“Sejak dua bulan lalu, kita terima lebih 30 panggilan telefon yang mendakwa mereka telah menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.
“Bagaimanapun, sukar untuk kita teliti laporan berkenaan kerana dakwaan mereka tidak mempunyai bukti kukuh serta pengadu tidak mahu hadir membuat aduan rasmi kepada PPIM. Walaupun aduan itu tidak rasmi, namun kita akan menyiasat perkara ini,” ujar beliau.
Tambah Nadzim, PPIM mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan seperti itu.
Katanya, untuk mendapatkan pekerjaan, seseorang itu perlu menggunakan saluran betul seperti hadir temu duga bersama majikan atau mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Artikel oleh: Kosmo
BAYAR DAHULU, BARU BOLEH DAPAT KERJA
https://www.kosmo.com.my/2022/08/25/bayar-dahulu-baru-boleh-dapat-kerja/
No comments:
Post a Comment