Kuala Lumpur: 'Mohd Syahid' atau 'Ayid', pengkid yang menjerat beberapa wanita turut dikesan menggunakan visa palsu untuk membuktikan jantinanya kepada mangsa.
Selain itu, dia juga dipercayai menjadikan gambarnya sedang 'solat Jumaat' sebagai bukti dia adalah seorang lelaki sejati, yang dikongsikan bersama mangsa beberapa bulan lalu.
Mendedahkan perkara itu, salah seorang mangsanya yang mahu dikenali sebagai Aliya berkata, Ayid sangat licik untuk meyakinkan mangsanya bahawa dia seorang lelaki sehingga sanggup menjadikan agama sebagai mainan.
"Dia memaklumkan kepada saya ingin mengabdikan diri dan seminggu selepas itu dia mengerjakan umrah dan mengambil video berada di depan Kaabah.
"Itu mungkin percubaannya untuk meyakinkan mangsa bahawa dia adalah seorang lelaki dan tidak menjadi masalah untuk kami meneruskan hubungan sebagai kekasih," katanya ketika menemui Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan semalam.
Aliya berkata, dia akan terus berjuang untuk menyelamatkan keadaan dan tidak mahu lebih ramai menjadi mangsa Ayid yang kini menghilangkan diri.
Katanya, berdasarkan makluman daripada mangsa sebelumnya, mereka mendapati Ayid menjadikan hubungan istimewa itu untuk mengikis mangsa sejak hampir 10 tahun lalu.
Katanya, dia berharap PPIM dapat membantu untuk menyelesaikan kes berkenaan dan merujuk wanita itu kepada pihak berkuasa dengan segera.
Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya meminta pihak berkuasa agama untuk lebih proaktif dalam menangani kes 'luar biasa' seperti ini bagi menjaga imej Islam.
Katanya, semua pihak khususnya pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas kepada pelaku yang sengaja menghina agama terutama di luar negara.
"Soal ini tidak boleh dibuat main-main kerana ia akan memberi kesan kepada umat Islam. Selain itu pelaku juga berisiko terpesong akidah apatah lagi membabitkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) ini," katanya.
Dalam pada itu penyanyi Caprice, turut memberikan maklum balasnya kepada kes berkenaan.
Dia yang turut berkongsi kisah itu di platform media sosialnya berkata, pihak berwajib perlu bertegas dengan kejadian itu kerana ia jelas satu penghinaan kepada agama.
"Kerajaan perlu ambil tindakan keras apatah lagi dia (Ayid) ini pergi mengerjakan umrah. Kalau tidak, ia akan berulang lagi, mungkin oleh orang lain pula.
"Ia akan menjadi contoh kepada orang lain dan saya harap pihak berkuasa akan ambil tindakan untuk menghentikan perkara seperti ini," katanya.
Metro Ahad sebelum ini melaporkan, Ayid yang memperdayakan beberapa orang mangsa dengan janji dan perlakuan romantis untuk memperisterikan mereka.
Tembelang 'lelaki jadian' itu terbongkar selepas rakaman video dia memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah dimuat naik oleh seorang daripada mangsa penipuannya di media sosial sebelum ia tular.
Artikel oleh: Harian Metro
PENGKID PAKAI IHRAM: 'MOHD SYAHID' JADIKAN AGAMA MODAL PIKAT MANGSA [METRO TV]
No comments:
Post a Comment