Monday, August 8, 2022

ALONG ANTARABANGSA, LAGAK ALA SAMSENG! - HARIAN METRO - 04/08/2022

 

Kuala Lumpur: Sebelum ini mereka menimbulkan suasana tidak senang penduduk tempatan kerana jumlah yang begitu ramai sehingga dikatakan menguasai sesuatu kawasan.

Terbaharu, pendatang asing dari tiga negara iaitu Bangladesh, Indonesia dan Myanmar termasuk etnik Rohingya dikesan terbabit dalam perniagaan ceti haram atau along dengan menyasarkan peniaga terutama di Pasar Borong Selayang serta pusat perniagaan Sentul sejak tiga tahun lalu sebagai mangsa.

Mendedahkan kegiatan along 'antarabangsa' itu kepada Harian Metro, Aktivis Kanan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Muhammad Zharif Johor berkata, pihaknya menerima aduan daripada lebih 10 mangsa terdiri daripada warga tempatan yang diancam ceti haram terbabit.

Katanya, berdasarkan semakan, pihaknya mendapati along berkenaan aktif menjalankan kegiatan sejak tiga tahun lalu dengan menawarkan pinjaman serendah RM2,000 hingga RM20,000 kepada peniaga yang mengalami masalah kewangan.

"Mereka juga bertindak ala samseng dengan mengugut untuk menyita premis perniagaan sebagai hukuman jika tidak melunaskan pinjaman.

"Seperti tidak gentar dengan undang-undang, mereka bertindak liar dengan mengugut mangsa di kedai mereka serta mengancam untuk mengambil alih perniagaan jika wang tidak dibayar," katanya.

Muhammad Zharif berkata, keadaan itu menyebabkan mangsa takut dan mencari jalan keluar kerana bimbang dengan keselamatan diri serta keluarga.

Hasil semakan mendapati, along berkenaan juga dipercayai berniaga di kawasan sama dan menyasarkan peniaga lain yang dibelenggu masalah kewangan terutama ketika baharu saja kembali beroperasi akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Katanya, along antarabangsa ini juga bertindak seolah-olah mereka 'kebal' daripada peraturan sehingga berani mengugut untuk merampas kedai serta mengambil alih perniagaan sedia ada.

"PPIM bimbang jika isu ini tidak ditangani dengan baik, ia akan menjadi barah terutama ketika ramai usahawan masih bergelut untuk beroperasi semula.

"Kita akan mendapatkan khidmat nasihat perundangan juga kerana yakin tentu ada dalang di sebalik semua ini. Jika tidak, bagaimana mereka begitu berani menjalankan kegiatan tidak sah dan rakyat tempatan pula menjadi mangsa," katanya.

Dalam pada itu, pemerhatian wartawan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) milik mangsa mendapati along berkenaan datang secara berkumpulan serta mengugut mangsa untuk membayar pinjaman.

Menurut pengadu yang mahu dikenali sebagai Nasuha, 40-an, dia dikenakan kadar faedah lebih lima peratus menyebabkan jumlah itu meningkat berkali ganda jika dia terlewat membayarnya.

"Apa yang saya risaukan ialah keselamatan diri serta keluarga. Mereka ini bersikap kasar dan mungkin pada bila-bila masa akan datang dan mengugut untuk meminta bayaran," katanya.

Menurutnya, along yang dipercayai daripada Myanmar itu mengugut akan merampas kedainya jika gagal membayar pinjaman seperti yang diminta.

Katanya, dia terpaksa merujuk kes berkenaan kepada PPIM selepas mendapati along berkenaan mengugutnya secara berterusan walaupun dia sudah membayar sebahagian daripada pinjaman sebelum ini.


Artikel oleh: Harian Metro

ALONG ANTARABANGSA, LAGAK ALA SAMSENG!

https://www.hmetro.com.my/utama/2022/08/868142/along-antarabangsa-lagak-ala-samseng

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL