KUALA LUMPUR, 22 OGOS -- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil maklum perbuatan seorang wanita yang menghina dan memfitnah Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi dan PPIM sendiri.
Penasihat Undang-Undang PPIM, Mahmud Jumaat berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat serta bukti sebelum tindakan undang-undang diambil.
"Kita sedia maklum perbuatan melampau dan tiada asas wanita tersebut yang telah secara berterusan melakukan provokasi dan menabur fitnah terhadap Ketua Aktivis PPIM dan kami menegaskan kami kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadapnya," katanya.
Sebelum ini sudah beberapa kali wanita yang dikenali sebagai Dina memuat naik beberapa video secara langsung di laman Facebook miliknya.
"Saya menegaskan tuduhan yang dibuat oleh wanita tersebut adalah tidak berasas dan bersifat fitnah semata-mata yang bertujuan menjatuhkan maruah Nadzim sebagai individu dan PPIM selaku pertubuhan yang memperjuangkan hak pengguna Islam di negara ini," katanya.
Wanita tersebut yang juga bekas penerima pelbagai bantuan PPIM itu antaranya pernah mendakwa Nadzim mencuri kenderaan miliknya selain cuba mengaibkan Ketua Aktivis dan mengelak dari membayar hutang-hutang beliau dengan PPIM.
Sementara itu, beberapa pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan wanita yang dianggap seperti kacang lupakan kulit.
Pengguna Facebook yang menggunakan nama Orked Putih berkata, kes pengkid (wanita berpewatakan seperti lelaki) boleh sahaja Toqqi layan...tetapi apabila wanita ini memalukan dan memfitnahnya, Toqqi tidak berbuat apa-apa, mengapa?
Seorang lagi pengguna yang mahu dikenali sebagai Ajib berkata, wanita tersebut adalah seperti wanita yang sangat hina dan angkuh.
"Mengapa dia menghina Toqqi sehingga begitu sekali, kami yang tiada kaitan dengan PPIM turut merasa sedih dan tidak meminta balasan wang ringgit tetapi cukup jika PPIM dan pihak berkuasa ambil tindakkan terhadapnya," katanya.
Ketika dihubungi, Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata beliau sebolehnya mahu mengelakkan sebarang konflik dan wanita tersebut bukanlah lawannya (bekas orang yang dibantu) dan ketiadaan masa untuk melayan tuduhan dan fitnah.
"PPIM sentiasa fokus dan komited untuk memperjuangkan hak pengguna Islam di negara ini, saya sendiri tidak menonton dan tidak mengambil pusing apa yang dilakukannya. Ada anak-anak, ahli keluarga saya yang lain dan aktivis PPIM telah memaklumkan kepada saya tetapi saya tidak mengendahkannya," jelas Toqqi.
Walau bagaimanapun, apabila unit undang-undang PPIM memaklumkan kepadanya wanita tersebut melakukan kesalahan yang boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah mengikut beberapa akta termasuk Akta Fitnah 1957, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta beberapa kesalahan jenayah yang lain, Nadzim berkata beliau bersetuju tindakan diambil terhadap wanita tersebut. Beliau juga berharap pihak polis akan mengambil tindakan terhadap laporan-laporan palsu yang dilakukan dan cuba mempergunakan institusi polis bagi mencari publisiti.
"Nasihat saya kepada semua, walaupun rakyat mempunyai kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan mengikut Perkara 10 mengikut Bahagian II Perlembagaan Persekutuan, konteks atau intipati percakapan kita adalah terhad dan melarang seseorang untuk mengganggu privasi seorang individu yang lain," katanya.
No comments:
Post a Comment