KUALA
LUMPUR - Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) untuk menubuhkan jawatankuasa khas dalam dalam usaha menangani
keraguan status halal daging import.
Desakan
itu dibuat enam NGO Islam iaitu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM);
Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas); Pertubuhan Produk Ummah Malaysia;
Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Persatuan Anti Diskriminasi
dan Salah Laku serta Sahabat 99.
Ketua
Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, isu itu sudah diperjuangkan pihaknya
sejak dua dekad lalu, namun masih tiada penyelesaian dan menyatakan
kesediaannya untuk membantu sebagai pemantau Jakim serta bekerjasama dengan
atase halal di Australia.
"Kita
bersedia menghantar NGO ke sana (Australia) bagi melaksanakan tugas-tugas
pemantauan. Ini kerana banyak keraguan yang perlu diperjelaskan termasuk hasil
Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang dikatakan masih tidak
melakukan pemeriksaan di rumah sembelihan berkenaan.
"Sekiranya
suara NGO tidak dipedulikan, ada masalah dalam sistem sedia ada. Perkara ini
(isu halal) telah berlaku bertahun-tahun.
"Justeru
dengan adanya pembabitan wakil NGO, ia dapat mengikis keraguan pengguna pada
masa akan datang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PPIM di sini,
pada Khamis.
Media
tempatan pada 14 Mei lalu melaporkan, loji sembelihan di Australia, Thomas
Foods International Lobethal digantung kelulusan sebagai pembekal selepas
didapati melanggar protokol sembelihan halal.
Supreme Islamic Council of Halal Meat in
Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab
dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu diberi surat tunjuk sebab
kerana tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.
Dalam
pada itu, Nadzim berkata, gabungan NGO berkenaan akan menghantar satu
memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa
terdekat bagi menyelesaikan permasalahan yang sudah berlarutan itu.
Sementara
itu, Presiden Perkemas, Faizan Mohd Nor memaklumkan masalah berkenaan masih
berlarutan walaupun pendedahan telah dibuat oleh seorang bekas pekerja di rumah
sembelihan terbabit lebih tiga bulan yang lalu.
Katanya,
sehingga kini tiada penjelasan berhubung isu daging import halal yang
didedahkan sebelum ini sebaliknya Jakim hanya mengeluarkan kenyataan menyatakan
pihaknya masih menunggu laporan audit dari JPV.
"Jakim
juga wajib menjelaskan mengapa mengambil masa walaupun perkara ini sudah
berlarutan bertahun-tahun dengan bukti yang sangat jelas.
"Kita
ada pengakuan bersumpah (SD), penampilan The Hooded Man, bukti-bukti dan video.
Jadi mengapa ia mengambil masa yang lama?" soalnya.
Artikel oleh: Sinar Harian
NGO GESA TUBUH JAWATANKUASA SELESAI ISU DAGING IMPORT HALAL
https://www.sinarharian.com.my/article/218213/berita/nasional/ngo-gesa-tubuh-jawatankuasa-selesai-isu-daging-import-halal