Monday, June 17, 2019

4987) HATI-HATI AYAT MANIS 'ALONG' - HARIAN METRO - 17/06/2019


Cepat, ekspres dan senang lulus. Itu antara ayat manis pihak memberikan kemudahan pinjaman yang tentunya membuatkan ramai tertarik apatah lagi ketika terdesak untuk mendapatkan wang.

Ini ditambah dengan perkhidmatan dalam talian yang tidak membuang banyak masa bagi individu membuat
permohonan dan menghantar butiran peribadi seperti dikehendaki.

Namun individu perlu bersikap hati-hati sebelum membuat pinjaman dengan meneliti dan memahami syarat ditetapkan termasuk kadar faedah dikenakan supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Carian di Internet mendapati banyak pihak menawarkan perkhidmatan itu malah ada yang siap memaparkan carta bayaran balik mengikut jumlah pinjaman dan tempohnya.

Sesetengahnya disertakan pada bahagian nota kaki kadar faedah dikenakan, contohnya 1 hingga 1.5 peratus sebulan, yang jika dihitung 12 hingga 18 peratus untuk 12 bulan atau setahun.

Bagi mengetahui hal ini lebih lanjut, penulis cuba mengisi borang permohonan di laman sesawang sebuah syarikat dan ternyata maklum balas diberikan memang cepat.

Namun pihak terbabit memaklumkan pinjaman yang layak diberikan tidak seperti dipohon sebaliknya lebih rendah iaitu sekitar RM25,000 dengan kadar faedah 11 peratus setahun dan tempoh bayaran balik lima tahun.

Kadar itu apabila dihitung untuk lima tahun ialah 55 peratus iaitu hampir RM14,000 dan jika dihitung secara kasar jumlah perlu dibayar semuanya hampir RM40,000.

Mengulas perkara berkenaan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, memang ada sesetengah pihak yang cekik darah dan menekan peminjam.

“Ada pihak yang memberikan pinjaman wang meletakkan kadar faedah tinggi, misalnya 12 peratus setahun sehingga menekan peminjam,” katanya.

Malah katanya, beliau tidak menolak kemungkinan ada juga pihak yang memberi pinjaman berlesan terbabit dengan along.

“Nama saja pemberi pinjaman berlesen, tetapi ada juga yang buat along.

“Dia kata berlesen, mungkin satu itu betul, tetapi macam mana dengan yang lain, iaitu yang di bawahnya.

“Letak kadar faedah ikut suka, ini semua tipu,” katanya yang turut mengakui bukan sedikit kes membabitkan pinjaman wang diadukan kepada pihaknya.

Artikel oleh: Harian Metro

HATI-HATI AYAT MANIS 'ALONG'

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL