Thursday, June 27, 2019

5021) SINDIKET PENIPUAN PELABURAN KEMBALI BERLELUASA - SIDANG MEDIA PPIM - 27/06/2019


Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) amat bimbang dengan sindiket penipuan pelaburan yang masih berleluasa. PPIM masih menerima aduan dari mangsa seluruh Malaysia terutama di bahagian pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan, seramai lebih 60 mangsa telah tampil membuat aduan kepada PPIM melibatkan kerugian lebih RM1.5 juta.

“Ini yang tampil membuat aduan, kita bimbang jika ada lagi mangsa yang belum sedar mereka ditipu atau malu untuk membuat laporan polis atau memohon bantuan,” katanya.
Lebih membimbangkan sindiket ini masih aktif mengiklankan skim pelaburan ini dan masih ramai mangsa baru akan ditipu.

“Mangsa kebanyakkan golongan bekerja berusia antara 35 hingga 60 tahun, usia produktif di negara ini. Dan kami mengesan sindiket ini sudah bertapak sejak 2016, namun mereka masih berani menjalankan kerja-kerja merekrut mangsa baru,” katanya di sidang media di sini hari ini.

Selain sindiket penipuan pelaburan, Nadzim berkata pihaknya turut mendapat aduan dari 164 orang mangsa yang mendakwa ditipu skim pelaburan tapak iklan secara online melibatkan kerugian lebih RM1.2 juta dan mangsa berasal dari seluruh negara dengan kebanyakkan dari negeri Perak.

“Sindiket ini lebih licik, menjalankan aktiviti online dengan menawarkan pelaburan market place dan disusuli dengan skim pelaburan penternakan, seterusnya bagi mengelak membayar dividen keuntungan mereka akan mendakwa projek penternakan itu ditipu,” katanya.

Tambah Nadzim lagi, sindiket ini bijak mengaburi mata rakyat dengan mengaku sebagai mangsa penipuan sedangkan mereka sendiri yang melakukan penipuan terhadap pelabur.
PPIM mendesak agar tindakan pantas dan menyeluruh oleh pihak berkuasa serta kepekaan oleh pengguna untuk tidak terlibat dalam skim tersebut.

”Kita mahu rakyat semak dahulu dengan pihak berwajib samada skim yang bakal mereka sertai adalah sah dari segi undang-undang dan bukan skim penipuan,” katanya.




No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL