Friday, June 28, 2019

5034) 164 MANGSA DIPERDAYA SKIM PELABURAN RUGI LEBIH RM1.2 JUTA - ISMAWEB - 27/06/2019


KUALA LUMPUR, 23 Syawal 1440H – Seramai 164 mangsa kebanyakan dari Perak mendakwa ditipu sindiket skim pelaburan tapak iklan secara dalam talian membabitkan kerugian lebih RM1.2 juta, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Beliau berkata, sindiket itu bijak mengaburi mata rakyat dengan mendakwa mereka juga mangsa penipuan, sedangkan mereka sendiri yang melakukan penipuan terhadap pelabur.
“Sindiket itu licik menjalankan aktiviti dalam talian dengan menawarkan pelaburan ‘market place’ disusuli dengan skim pelaburan penternakan, seterusnya bagi mengelak membayar dividen keuntungan, mereka akan mendakwa projek penternakan itu ditipu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Justeru, PPIM mendesak agar tindakan pantas dan menyeluruh oleh pihak berkuasa serta kepekaan pengguna untuk tidak terbabit dalam skim berkenaan.
“Kita mahu rakyat semak dahulu dengan pihak berwajib sama ada skim yang bakal mereka sertai sah dari segi undang-undang dan bukan skim penipuan,” katanya.
Difahamkan beliau merujuk kepada sindiket skim pelaburan tapak iklan secara dalam talian yang membabitkan seorang agamawan yang bergiat aktif dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada masa sama, Nadzim turut memaklumkan menerima aduan daripada mangsa di seluruh negara berhubung sindiket penipuan pelaburan yang berasaskan hartanah, emas dan pegangan ekuiti dan modal syarikat swasta kononnya mendapat sokongan China dan Kemboja.
Beliau berkata, lebih 60 mangsa tampil membuat aduan kepada PPIM membabitkan kerugian lebih RM1.5 juta.
“Kebanyakan mangsa golongan bekerja berusia antara 35 hingga 60 tahun, usia produktif di negara ini. Dan kami mengesan sindiket ini sudah bertapak sejak 2016, namun mereka masih berani menjalankan kerja-kerja merekrut mangsa baru,” katanya
Lebih membimbangkan, Nadzim berkata sindiket, ini masih aktif mengiklankan skim pelaburan ini sekali gus menyebabkan ramai mangsa baru akan ditipu.
“Ini yang tampil membuat aduan, kita bimbang jika ada lagi mangsa yang belum sedar mereka ditipu atau malu untuk membuat laporan polis atau memohon bantuan,” katanya.
Artikel oleh: ISMAWEB
164 MANGSA DIPERDAYA SKIM PELABURAN RUGI LEBIH RM1.2 JUTA

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL