KUALA LUMPUR 11 Jan. – Kerajaan disaran menangguhkan keputusan menaikkan kadar tarif air dan memberi fokus kepada usaha-usaha memperkemas sistem air bersih di negara ini terlebih dahulu.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kualiti air pada ketika ini masih berada pada tahap yang rendah berbanding negara lain dan tindakan menaikkan tarif itu adalah tidak wajar.
Menurutnya, selain menjejaskan pengguna berikutan kenaikan kadar itu, kerajaan bagaimanapun perlu memperhebat program pendidikan kepada rakyat dengan mengambil langkah penjimatan air secara total
“Melihat kepada situasi sekarang ini, adalah tidak wajar untuk kerajaan terus menaikkan beban kos hidup kerana pada hari ini kos hidup rakyat sudah cukup tinggi.
“Sehubungan itu, lebih baik kerajaan memperkemaskan dahulu sistem air bersih selain menyediakan program pendidikan agar rakyat memahami kepentingan air sekali gus mengambil langkah penjimatan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar sebelum ini berkata, tarif air mungkin dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air dan menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, keputusan kenaikan kadar tarif itu adalah munasabah sekiranya kerajaan menyelenggara semua paip air.
“Sudah tentu kerajaan memerlukan peruntukan besar untuk menukar paip-paip yang telah uzur dan dengan naikkan tarif ini, usaha menyelenggara paip secara berkala harus dilaksanakan,” katanya.
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
PERKEMAS DAHULU SISTEM AIR BERSIH
No comments:
Post a Comment