KUALA LUMPUR 8 Jan. – ISU premis makanan India Muslim yang diusahakan pengusaha bukan Islam dengan status halal diragui serta tahap kebersihan yang teruk menjadi semakin hangat.
Manakan tidak, tindakan pengusaha bukan Muslim menggunakan nama kedai yang berunsur Islam, meletakkan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan dan menggantung ayat al-Quran di dalam restoran sebagai taktik untuk menarik pelanggan datang menjamu selera di kedai mereka menjadi punca perkara itu berlaku.
Lebih memburukkan keadaan, kebanjiran restoran menggunakan taktik licik seperti itu sukar dikenal pasti pelanggan beragama Islam kerana cara mereka beroperasi sama seperti restoran diusahakan India Muslim atau Mamak.
Oleh kerana itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Ayoob Khan Muhamad Yakub merayu pihak bertanggungjawab agar bertindak tegas memandangkan perkara tersebut telah berlaku sekian lama.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sepatutnya mampu merungkai taktik licik pengusaha restoran bukan Muslim itu memandangkan proses pendaftaran perniagaan berkait rapat dengan kedua-dua entiti tersebut.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu memberi imej buruk kepada pengusaha premis makanan India Muslim yang menjalankan perniagaan dengan betul dan patuh syariah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ayoob Khan berkata, pihaknya hairan bagaimana SSM boleh meluluskan penggunaan nama Islam oleh pengusaha premis makanan bukan Muslim sedangkan perkara tersebut boleh membawa kemudaratan kepada orang ramai khususnya yang beragama Islam.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kecewa dengan pihak berkuasa yang gagal melaksanakan pemantauan terhadap penggunaan logo halal oleh restoran bukan Islam.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana banyak restoran yang menjadikan sijil halal di premis mereka sebagai hiasan semata-mata untuk menarik perhatian pelanggan beragama Islam tetapi proses penyediaan makanan jauh sekali daripada menepati konsep tersebut.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sepatutnya memantau restoran terlibat termasuk yang mempunyai kerjasama dengan orang bukan Islam bagi memastikan perniagaan itu masih kekal halal.
“Jakim patut tapis semula pemberian sijil halal kepada pemilik restoran bukan Islam dan pastikan mereka memahami konsep pensijilan itu sebelum menghidangkan makanan kepada pelanggan,” katanya.
Artikel oleh : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment