KUALA LUMPUR 18 Jan. – Bilangan kes penipuan caj pemprosesan pinjaman pembelian motosikal khususnya dalam kalangan pemohon tidak cukup syarat dianggap semakin serius di negara ini.
Ini berikutan ribuan permohonan dihantar kepada institusi pemberi kemudahan kredit pada setiap bulan di seluruh negara bagi pembiayaan membeli motosikal.
Angka itu menunjukkan bahawa, berkemungkinan bakal pembeli yang mempunyai masalah kelayakan juga telah menjadi mangsa kedai-kedai menjual motosikal tidak bertanggungjawab yang bertindak memanipulasi caj pemprosesan.
Perkara ini disahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang menyifatkan penipuan terselindung itu kurang diberikan perhatian masyarakat di negara ini sedangkan ia serius.
Jelasnya, ia kerana pengguna di negara ini dilihat masih tidak mempunyai ilmu kepenggunaan secukupnya sehingga sering menjadi mangsa dieksploitasi peniaga tamak.
Menurut beliau, isu sedemikian turut menghantui urusan jual-beli yang memerlukan pembiayaan lain antaranya seperti pembelian kereta dan rumah.
“Jadi mereka (peniaga) ambil untung pada perkara yang tidak perlu mengeluarkan modal pun. Ini juga berlaku pada sesetengah urusan pembelian rumah. Deposit atau caj pemprosesan rumah ini banyak bukannya sikit. Pembeli kena bagi dua peratus dahulu dan sebagainya.
“Penipu (peniaga tidak bertanggungjawab) ini memang enggan untuk pulangkan duit jadi mereka akan bagi alasan sehingga pengguna putus asa. Kerajaan kena gubal satu polisi supaya perkara seperti ini tidak dijadikan sebab untuk mereka mendapat keuntungan percuma,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nadzim turut mengingatkan orang ramai agar membuat semakan harga motosikal terlebih dahulu melalui laman web pengeluar sebelum membuat permohonan pembiayaan. Jelasnya, ini kerana PPIM turut mengesan trend ‘main harga’ jualan atas jalan sesebuah motosikal.
“Tidak ada beza antara harga on the road sama ada dibeli secara tunai atau hutang. Ingin saya tekankan bahawa ia sama sahaja. Kalau tunai RM7,000 jadi hutang pun sama RM7,000,” katanya.
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
TIPU CAJ PEMPROSESAN SERIUS
No comments:
Post a Comment