Inisiatif kerajaan memperkenalkan Skim Perlindungan Nasional B40 (Skim mysalam) dalam membantu meringankan beban golongan berkenaan dilihat sebagai pendekatan positif, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara menyeluruh.
Ketua Biro Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Suraya Ali, berkata tumpuan tidak seharusnya berpusat kepada B40 semata-mata tetapi juga golongan pertengahan atau M40 yang turut terbeban dengan kos sara hidup semasa walaupun pendapatan lebih tinggi.
“Usaha kerajaan mewujudkan skim ini adalah pendekatan baik, tetapi kita minta jangan abaikan kumpulan M40.
“Mengapa B40 saja yang diberi perhatian sedangkan ramai M40 turut memerlukan bantuan sama.
“Dalam hal ini, kerajaan perlu melihat kepada jumlah isi rumah dan bukannya pendapatan semata-mata kerana ada golongan M40 yang tidak mempunyai pendapatan mencukupi bagi menampung bilangan isi rumah ramai,” katanya kepada BH, semalam.
Suraya berkata, semua bentuk bantuan perlu sampai kepada golongan sasar manakala kerajaan harus adil dengan memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat.
Katanya, lebih baik bantuan diberi kepada M40 yang mempunyai bilangan anak ramai berbanding golongan B40 dengan jumlah isi rumah sedikit.
“Golongan B40 turut menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR),” katanya.
Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kelmarin menyediakan perlindungan takaful kepada golongan isi rumah B40 yang menerima BSHR.
Bayaran sekali sebanyak RM8,000 diberi kepada penerima jika dikenal pasti menghidap satu daripada 36 jenis penyakit kritikal.
Bayaran harian RM50 sebagai diberi sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau bersamaan RM700 setahun.
Bantu penduduk Di Kota Bharu, Skim mySalam dilihat tepat dalam membantu penduduk berpendapatan rendah.
Kerani, Mohd Zaki Abdul Ghani, 34, berkata pendekatan itu bersesuaian dengan keadaan ramai rakyat menghidap pelbagai penyakit namun tidak mampu mendapatkan rawatan.
“Skim seperti ini akan membantu golongan berpendapatan rendah seperti saya,” katanya.
Peniaga, Nordin Saari, 52, berpendapat skim perlindungan itu sudah lama dinanti rakyat.
“Perubatan percuma dan bantuan RM8,000 besar ertinya buat golongan tidak berkemampuan dalam keadaan mereka menanggung beban penyakit,” katanya.
Di Johor Bahru, UMNO memuji inisiatif mySalam tetapi mahu isu berkaitan skim terbabit dan sistem penjagaan kesihatan secara keseluruhannya ditangani dengan baik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata skim insurans B40 itu tidak sepenuhnya selari dengan prinsip perlindungan kesihatan sejagat dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Berdasarkan prinsip ini, mySalam tidak inklusif kerana hanya merangkumi 3.69 juta orang dari kumpulan B40. Bagaimana dengan mereka daripada kelompok M40 yang turut berdepan kekangan kewangan dalam mendapatkan perkhidmatan kewangan?
“Apakah ini bermakna kerajaan mengabaikan keperluan golongan M40 dalam mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan melalui skim mysalam?,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Artikel oleh : Berita Harian
USAH LUPAKAN GOLONGAN M40
No comments:
Post a Comment