Showing posts with label SURAYA ALI. Show all posts
Showing posts with label SURAYA ALI. Show all posts

Saturday, April 20, 2019

4899) PERDAGANG BAYI TIDAK MENGAKU SALAH - PPIM - 19/4/19



Klang, 19 April -- Dalang penjualan bayi mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan dua bayi.

Nik Rahimah Nik Mat, 58, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad sebentar tadi.

Pada 27 Mac lalu, wanita berusia 58 tahun itu ditahan di pejabatnya di Jalan Rashaturai Kuala Kubu Bharu, Selangor, kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman.

Polis kemudian turut merampas telefon bimbit milik suspek dan suspek direman enam hari sebelum disambung tiga hari lagi.

Sebelum itu pada 25 Mac lalu, hasil maklumat daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Sinar Siasat telah membongkar kegiatan pemerdagangan bayi yang kembali aktif apabila menjadikan rumah-rumah jagaan gadis terlanjur sebagai lubuk mendapatkan 'bekalan' bayi untuk dijual.

Susulan pembongkaran tersebut, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak melakukan pemeriksaan terhadap rumah transit untuk wanita mengandung yang didakwa terlibat dalam sindiket jual beli bayi.

Kes tersebut turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Mas Ermyanti dan seterusnya Timbalan Menteri Pembangunan Wanuta, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang mengarahkan siasatan terhadap kes tersebut.

Monday, March 25, 2019

4854) HARGA BAYI IKUT KECOMELAN – SINAR HARIAN – 25/3/19




Persatuan Pengguna İslam Malaysia (PPIM) mendedahkan beberapa taktik digunakan ahli sindiket dalam kes penjualan bayi yang dikesan muncul semula sejak akhir-akhir ini selepas sindiket jual bayi pernah dilumpuhkan polis sekitar tahun 2016.
Bukan setakat beroperasi melalui sesebuah premis, urusan ‘jual beli’ anak angkat juga dikesan berlaku di media sosial apabila beberapa nama akaun kumpulan didapati menawarkan perkhidmatan memiliki anak angkat.
Selain akaun yang mudah diakses, ia juga secara jelas meletakkan jumlah bayaran sagu hati perlu dibayar oleh keluarga angkat dengan kadar minimum RM5,000.
Ketua Biro Wanita PPIM, Suraya Ali mendedahkan harga bayi ditetapkan paling kurang serendah RM5,000 dan boleh mencecah sehingga RM10,000 mengikut kategori comel seseorang bayi.
“Mereka sebenarnya nak anak angkat atau nak beli anak. Mana-mana pihak yang bagi duit untuk mendapatkan bayi walaupun kepada ibu-ibu (wanita melahirkan anak), itu sudah dianggap berlaku pemerdagangan orang.
“Boleh buat laporan kepada polis, boleh buat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.
Menurutnya yang juga Pengasas Anak Kami berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab menawarkan khidmat penjagaan kepada wanita yang hamil anak luar nikah, tetapi kemudian menjual bayi yang dilahirkan kepada pasangan lain.
“Mereka ini sindiket terancang yang tahu undang-undang dan licik.
Sejak penghujung tahun lalu, PPIM menerima banyak kes membabitkan mangsa di sebuah rumah perlindungan.
“Mereka masuk ke rumah perlindungan berkenaan dengan bayaran RM500 sebulan. Tetapi selepas melahirkan anak dan ingin keluar bersama bayi, mereka diminta membayar RM4,000.
“Akibat tersepit tidak mempunyai wang, mangsa terpaksa menandatangi beberapa dokumen dan tidak lagi bertemu anak masing-masing kerana anak mereka diserahkan kepada keluarga angkat,” katanya. .
Menurut Suraya, orang ramai yang ingin mengambil anak angkat boleh menggunakan saluran seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak meletakkan bayaran seperti Anak Kami.

Artikel oleh : Sinar Harian
SINDIKET JUAL BAYI

Saturday, January 26, 2019

4793) USAH LUPAKAN GOLONGAN M40 – BERITA HARIAN – 26/1/19


Inisiatif kerajaan memperkenalkan Skim Perlindungan Nasional B40 (Skim mysalam) dalam membantu meringankan beban golongan berkenaan dilihat sebagai pendekatan positif, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara menyeluruh.
Ketua Biro Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Suraya Ali, berkata tumpuan tidak seharusnya berpusat kepada B40 semata-mata tetapi juga golongan pertengahan atau M40 yang turut terbeban dengan kos sara hidup semasa walaupun pendapatan lebih tinggi.
“Usaha kerajaan mewujudkan skim ini adalah pendekatan baik, tetapi kita minta jangan abaikan kumpulan M40.
“Mengapa B40 saja yang diberi perhatian sedangkan ramai M40 turut memerlukan bantuan sama.
“Dalam hal ini, kerajaan perlu melihat kepada jumlah isi rumah dan bukannya pendapatan semata-mata kerana ada golongan M40 yang tidak mempunyai pendapatan mencukupi bagi menampung bilangan isi rumah ramai,” katanya kepada BH, semalam.
Suraya berkata, semua bentuk bantuan perlu sampai kepada golongan sasar manakala kerajaan harus adil dengan memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat.
Katanya, lebih baik bantuan diberi kepada M40 yang mempunyai bilangan anak ramai berbanding golongan B40 dengan jumlah isi rumah sedikit.
“Golongan B40 turut menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR),” katanya.
Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kelmarin menyediakan perlindungan takaful kepada golongan isi rumah B40 yang menerima BSHR.
Bayaran sekali sebanyak RM8,000 diberi kepada penerima jika dikenal pasti menghidap satu daripada 36 jenis penyakit kritikal.
Bayaran harian RM50 sebagai diberi sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau bersamaan RM700 setahun.
Bantu penduduk Di Kota Bharu, Skim mySalam dilihat tepat dalam membantu penduduk berpendapatan rendah.
Kerani, Mohd Zaki Abdul Ghani, 34, berkata pendekatan itu bersesuaian dengan keadaan ramai rakyat menghidap pelbagai penyakit namun tidak mampu mendapatkan rawatan.
“Skim seperti ini akan membantu golongan berpendapatan rendah seperti saya,” katanya.
Peniaga, Nordin Saari, 52, berpendapat skim perlindungan itu sudah lama dinanti rakyat.
“Perubatan percuma dan bantuan RM8,000 besar ertinya buat golongan tidak berkemampuan dalam keadaan mereka menanggung beban penyakit,” katanya.
Di Johor Bahru, UMNO memuji inisiatif mySalam tetapi mahu isu berkaitan skim terbabit dan sistem penjagaan kesihatan secara keseluruhannya ditangani dengan baik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata skim insurans B40 itu tidak sepenuhnya selari dengan prinsip perlindungan kesihatan sejagat dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Berdasarkan prinsip ini, mySalam tidak inklusif kerana hanya merangkumi 3.69 juta orang dari kumpulan B40. Bagaimana dengan mereka daripada kelompok M40 yang turut berdepan kekangan kewangan dalam mendapatkan perkhidmatan kewangan?
“Apakah ini bermakna kerajaan mengabaikan keperluan golongan M40 dalam mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan melalui skim mysalam?,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Artikel oleh : Berita Harian
USAH LUPAKAN GOLONGAN M40

Wednesday, October 17, 2018

4686) ANAK KAMI BANTU BELA WANITA TERLANJUR – BERITA HARIAN – 17/10/18



Kuala Lumpur: Tidak semua kes buang bayi berpunca akibat kehamilan luar nikah, sebaliknya beberapa faktor lain, termasuk kemiskinan turut mendorong perlakuan jenayah itu.
Anak Kami antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan membantu memudahkan urusan golongan terbabit, sekali gus mengelak bayi terdedah risiko, termasuk maut akibat ditinggal atau dibuang di lokasi tidak selamat.
Pengasas Anak Kami, Suraya Ali, berkata objektif asal penubuhan adalah untuk membantu mengurangkan kes pembuangan bayi, yang mana statistik kes berkenaan direkod meningkat saban tahun.
Berdasarkan rekod katanya, pelbagai faktor mendorong seseorang itu menyerahkan anak kepada orang lain, antaranya terlanjur atau tidak berkemampuan berikutan anak ramai atau gaji kecil, serta tidak mendapat sokongan keluarga selepas bercerai.
“Di Anak Kami, kita memberi peluang kedua kepada wanita yang tersilap langkah, sekali gus membela nasib kedua-duanya iaitu ibu dan anak.
Selamatkan 171 bavi “Sepanjang tujuh tahun beroperasi Anak Kami yang kini diletakkan di bawah Biro Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelamatkan 171 bayi daripada dibuang.
“Di sini, kita memainkan peranan sebagai pemudah cara kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dalam membantu pasangan atau individu untuk mendapatkan anak angkat,” katanya kepada BH.
BH semalam melaporkan Lebih 3,000 pasangan suami isteri memohon untuk mendapatkan bayi yang diberi perlindungan oleh Yayasan OrphanCARE, sama ada diselamatkan atau ditinggalkan di pusat program Baby Hatch kendalian yayasan itu.
Suraya yang juga Ketua Biro Wanita PPIM berkata, pihaknya tidak mencari bayi untuk dijadikan anak angkat, sebaliknya segala urusan termasuk permohonan menjadi keluarga angkat dilakukan menerusi laman Facebook disediakan.
“Ramai memohon untuk ambil anak angkat, tetapi keputusan (siapa layak) terletak di tangan ibu kandung.
“Ibu akan diberi senarai profil setiap bakal keluarga angkat dan memilih mengikut padanan kriteria dikehendaki, dengan pandangan dan nasihat diberikan pe. tugas kami.
“Tidak cukup dengan itu, Anak Kami dengan bantuan agensi tertentu turut membantu ibu kandung yang berdepan masalah kewangan, untuk mendapatkan pekerjaan atau alternatif lain supaya dapat meneruskan hidup, termasuk membantu suami bagi kes tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, Suraya berkata, tidak timbul soal jual beli bayi kerana pihaknya tidak mengambil atau menerima bayaran, sebaliknya keluarga yang mahu mengambil bayi angkat perlu menyediakan sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam dana khas.
Dana khas biaya keperluan “Dana itu bertujuan membiayai keperluan ibu kandung sebelum dan selepas kelahiran, termasuk menanggung bil perubatan dan hospital.
“Bayi akan dibiarkan bersama ibu kandung sekurang-kurangnya dua minggu selepas dilahirkan, sebelum diserahkan kepada keluarga angkat,” katanya.
Beliau pada masa sama menasihati wanita yang tersilap langkah supaya tidak mengambil jalan mudah dengan membuang bayi, kerana banyak saluran boleh digunakan sebagai alternatif untuk membantu mereka.

Artikel Oleh : Berita Harian
ANAK KAMI BANTU BELA WANITA TERLANJUR

Wednesday, October 10, 2018

4661) PPIM MENERIMA SUMBANGAN BERBENTUK MAKANAN SEDIA MAKAN DARI SYED BISTRO UNTUK MISI BANTUAN KE PALU SULAWESI – PPIM – 10/10/18

PPIM sukacita menerima sumbangan berbentuk makanan sedia makan dari pihak Syed Bistro untuk misi bantuan ke Palu, Sulawesi.

Aktivis PPIM Zulkarnain Abd Rahman bakal menyertai misi bantuan tersebut bersama Angkatan Pertahanan Awam yang dijadualkan berlepas isnin depan.












Tuesday, September 18, 2018

4630) PPIM JUMPA KELUARGA PASANGAN REMAJA TERLANJUR – HARIAN METRO – 18/9/18



Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua keluarga remaja lelaki dan perempuan yang hampir kehilangan bayi mereka selepas diletakkan di sebuah pusat jagaan pada 25 Ogos lalu dalam masa terdekat.
Ketua Biro Wanitanya Suraya Ali berkata, pertemuan itu adalah susulan kesediaan mereka untuk berkahwin.
Beliau berkata, mereka perlu diberikan penjelasan daripada sudut perundangan berhubung situasi bakal dihadapi sebelum berumah tangga.
Menurutnya, pertemuan itu juga perlu bagi mengelakkan daripada timbul sebarang isu berbangkit terutama selepas berkahwin.
“Sekarang ini ibu terbabit dan bayinya diletakkan di sebuah pusat jagaan di Negeri Sembilan.
“Kami juga meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat melihat semula isu ini kerana ia akan menjadi contoh kepada kes lain.
“Sebelum ini sudah banyak kes anak tidak sah taraf dilaporkan berlaku tetapi ditinggalkan untuk dijaga orang lain.
“Tetapi dalam kes ini, kedua-dua remaja berkenaan setuju untuk berkahwin dan mahu jaga bayi mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Akhbar ini Khamis lalu melaporkan bapa bayi berkenaan mengesahkan dia dan teman wanitanya akan berkahwin dalam waktu terdekat selepas berbincang dengan keluarga kedua-dua pihak.
Dia sedia mengambil tanggungjawab itu untuk menebus kesalahannya.
Suraya berkata, pihaknya juga bersedia memberikan khidmat kaunseling kepada kedua-dua remaja terbabit namun fokus yang menjadi keutamaan sekarang adalah restu daripada kedua-dua keluarga,
“Kena juga bincangkan mengenai masa depan mereka dan bayi berkenaan,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro
PPIM JUMPA KELUARGA PASANGAN REMAJA TERLANJUR


Tuesday, July 17, 2018

4560) PPIM GESA TINDAKAN TERHADAP KECUAIAN PENGASUH – BERITA HARIAN -16/7/18

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuat kajian menyeluruh terhadap keperluan serta masalah membabitkan pusat asuhan kanak-kanak.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kajian menyeluruh penting supaya kes penderaan membabitkan kanak-kanak di pusat asuhan tidak berulang selain pemeriksaan lebih tegas terhadap sijil layak menduduki (CF) di semua pusat asuhan berdaftar.

“Kita minta kementerian yang berkenaan beri tumpuan luar biasa terhadap isu penderaan sehingga mengakibatkan kematian kanak-kanak termasuk di pusat asuhan yang tidak berdaftar.
“Kita tidak mahu kes seperti ini terus berulang kerana sudah ramai ibu bapa berdepan masalah sama tetapi tidak dapat pembelaan sewajar daripada pihak berkuasa,” katanya pada sidang media berhubung kes kematian kanak-kanak di rumah pengasuh di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Biro Wanita PPIM, Suraya Ali berkata, pihaknya setakat ini mendapat lima aduan daripada ibu bapa mengenai tiga kes kematian, satu kes kecederaan kekal dan satu kes kecederaan tidak kekal membabitkan bayi berusia lima hingga tujuh bulan.
“Pihak berkuasa maklum mengenai kesemua kes ini kerana mengikut prosedur, pihak hospital akan melaporkan kepada polis apabila berlaku kecederaan tidak semula jadi yang membabitkan kanak-kanak.
“Namun PPIM berasa ibu bapa ini perlu mendapat pembelaan sewajarnya dan mereka yang bertanggungjawab perlu didakwa,” katanya.

Artikel Oleh : Berita Harian
PPIM GESA TINDAKAN TERHADAP KECUAIAN PENGASUH

4555) BONGKAR KES KEMATIAN KANAK-KANAK – SIDANG MEDIA PPIM – 16/7/18

Biro Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menerima lima aduan susulan kes kanak-kanak mati di rumah pengasuh awal bulan Julai.
Ketua Biro Wanita PPIM, Suraya Ali berkata lima keluarga itu membuat aduan setelah mengetahui mereka boleh berbuat demikian dalam usaha mencari keadilan untuk anak mereka.
Keluarga mangsa membuat aduan ke pihak PPIM kerana mereka mendakwa siasatan kes mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Setakat ini lima keluarga telah tampil secara rasmi manakala baki lima lagi telah menghubungi kami namun tidak bersedia untuk tampil ke depan, mereka mahu tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan,” katanya ketika sidang media di pejabat PPIM disini, hari ini.
Pada sidang media hari ni keluarga yang kehilangan anak mereka hadir termasuk Puan Julia dimana kesnya hampir menyerupai kes arwah Adam Rayqal awal bulan ini.

“Biro Wanita berpendapat kes seperti ini sepatutnya diberi perhatian oleh pihak berwajib. Kes Adam Rayqal bukanlah kes yang pertama seumpamanya dan ia tidak harus berulang,” katanya lagi.
Biro Wanita PPIM mempersoalkan apakah ‘SOP’ yang telah ditetapkan oleh JKM mencukupi dan mengapa ia tidak mencegah kes kematian kanak-kanak dibawah jagaan pengasuh.
Adakah JKM hanya memantau pusat asuhan dan pengasuh yang berdaftar sahaja, tidakkah mereka tahu tentang kewujudan iklan pengasuh di laman sosial? Adakah itu dibenarkan oleh JKM.

Selain daripada kurang mendapat maklumat mengenai perjalanan kes, ada juga keluarga yang mendakwa tidak mendapat kerjasama yang baik oleh pihak polis.
“Di PPIM kami faham pihak polis mempunyai cara mereka dan tidak dinafikan Polis di-Raja Malaysia merupakan kontinjen polis yang baik dan cekap, namun mungkin ada sikap segelintir anggota yang telah membuat keluarga mangsa berasa seperti ada ketidakadilan telah berlaku,” katanya.
Kes yang berlaku baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai reaksi oleh rakyat termasuk ibu bapa yang terpaksa mendapatkan khidmat pengasuh ketika keluar bekerja.



“PPIM menyeru pihak berkepentingan supaya membuat kajian yang menyeluruh tentang keperluan asas rakyat iaitu jagaan bayi dan kanak-kanak yang selamat,” katanya.
Tambah Suraya, PPIM menerima keluhan daripada pekerja yang memberitahu tiada tempat asuhan kanak-kanak dipejabat mereka, dan ada juga majikan yang tidak menyediakan tempat selesa bagi ibu-ibu yang menyusu anak.
“Antara aduan yang kami terima ialah bangunan tempat mereka bekerja tidak memiliki CF justeru pihak bomba tidak meluluskan cadangan membuka pusat asuhan di bangunan pejabat mereka,” katanya.

Ia amat menyedihkan kerana negara ini perlu kemudahan asas seperti pusat jagaan kanak-kanak bagi membolehkan wanita sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.
Selain tiada CF, pusat asuhan yang hanya beroperasi pada waktu pejabat sedangkan banyak wanita bekerja diluar waktu pejabat seperi wartawan, doktor, jururawat, pembantu klinik, bidang perhotelan, polis, tentera, pengawal keselamatan, industri perkhidmatan, pemandu bas dan teksi, restoran 24 jam, pekerja kilang, jurutera dan banyak lagi.
Sebarang pertanyaan, hubungi Hotline Unit Media PPIM di talian +60137990032. Terima Kasih. [TAMAT]

Friday, July 13, 2018

4554) SELAIN KES ADAM RAYQAL, BANYAK LAGI KES BAYI PERLUKAN PEMBELAAN – ASTRO AWANI – 13/7/18


KUALA LUMPUR: Semasa kes bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi Naief yang mayatnya ditemui dalam peti sejuk rumah pengasuhnya dilihat menerima pembelaan sewajarnya mengikut undang-undang, terdapat banyak lagi kes kematian dan kecederaan bayi di pusat jagaan yang masih menunggu keadilan.
Semasa mendedahkan hal ini, Ketua Biro Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Suraya Ali berkata pihaknya setakat ini mendapat lima aduan daripada ibu bapa yang membabitkan tiga kematian, satu kecederaan kekal dan satu bagi kecederaan tidak kekal yang membabitkan bayi berusia lima hingga tujuh bulan.
Pihak berkuasa maklum mengenai kesemua kes ini kerana mengikut prosedur pihak hospital akan melaporkan kepada polis apabila berlaku kecederaan tidak semula jadi yang melibatkan kanak-kanak.
Tetapi belum lagi ada tindakan daripada pihak berwajib, katanya.
“Namun PPIM berasa ibu bapa ini perlu mendapat pembelaan sewajarnya dan mereka yang bertanggungjawab perlu didakwa,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Suraya berkata PPIM turut menerima lima lagi aduan berkaitan kematian dan kecederaan kanak-kanak di pusat jagaan namun masih belum mendapat maklumat lengkap.
Beliau turut berkata cadangan supaya tempat kerja menyediakan pusat jagaan kanak-kanak adalah baik namun beberapa perkara lain perlu diambil kira seperti ibu bapa yang bekerja di luar waktu pejabat.
“Mungkin perlu taska 24 jam tetapi cara pelaksanaannya perlu dikaji,” katanya.
Pada masa ini terdapat 205 taska tempat kerja di sektor awam dan 52 taska tempat kerja di sektor swasta.
Pada 3 Julai lepas Adam Rayqal ditemukan mati di peti sejuk rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, di Batu Caves selepas pengasuhnya itu melaporkan bahawa bayi itu dilarikan oleh seorang lelaki. Pengasuh itu kini menunggu pertuduhan di mahkamah.

Artikel Oleh : Astro Awani
SELAIN KES ADAM RAYQAL, BANYAK LAGI KES BAYI PERLUKAN PEMBELAAN

4553) PPIM DAKWA BANYAK KES KEMATIAN, KECEDARAAN BAYI TIDAK DAPAT PEMBELAAN – UTUSAN MALAYSIA – 13/7/18


KUALA LUMPUR 12 Julai – Semasa kes bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi Naief yang mayatnya ditemui dalam peti sejuk rumah pengasuhnya dilihat menerima pembelaan sewajarnya mengikut undang-undang, terdapat banyak lagi kes kematian dan kecederaan bayi di pusat jagaan yang masih menunggu keadilan.
Semasa mendedahkan hal ini, Ketua Biro Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Suraya Ali berkata, pihaknya setakat ini mendapat lima aduan daripada ibu bapa yang membabitkan tiga kematian, satu kecederaan kekal dan satu bagi kecederaan tidak kekal yang membabitkan bayi berusia lima hingga tujuh bulan.
Pihak berkuasa maklum mengenai kesemua kes ini kerana mengikut prosedur pihak hospital akan melaporkan kepada polis apabila berlaku kecederaan tidak semula jadi yang melibatkan kanak-kanak.
Tetapi belum lagi ada tindakan daripada pihak berwajib, katanya.
“Namun PPIM berasa ibu bapa ini perlu mendapat pembelaan sewajarnya dan mereka yang bertanggungjawab perlu didakwa,” katanya.
Suraya berkata, PPIM turut menerima lima lagi aduan berkaitan kematian dan kecederaan kanak-kanak di pusat jagaan namun masih belum mendapat maklumat lengkap.
Beliau turut berkata, cadangan supaya tempat kerja menyediakan pusat jagaan kanak-kanak adalah baik namun beberapa perkara lain perlu diambil kira seperti ibu bapa yang bekerja di luar waktu pejabat.
“Mungkin perlu taska 24 jam tetapi cara pelaksanaannya perlu dikaji,” katanya.
Pada masa ini terdapat 205 taska tempat kerja di sektor awam dan 52 taska tempat kerja di sektor swasta.
Pada 3 Julai lepas Adam Rayqal ditemukan mati di peti sejuk rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, di Batu Caves selepas pengasuhnya itu melaporkan bahawa bayi itu dilarikan oleh seorang lelaki. Pengasuh itu kini menunggu pertuduhan di mahkamah. – BERNAMA
Artikel Oleh : Bernama
PPIM DAKWA BANYAK KES KEMATIAN, KECEDARAAN BAYI TIDAK DAPAT PEMBELAAN


4552) LATIH PENGASUH BERTAULIAH – HARIAN METRO – 13/7/18



Kuala Lumpur: Isu membabitkan pengasuh perlu ditangani secara holistik dengan meneliti semula perundangan dan dasar sedia ada supaya selaras dengan keperluan golongan ibu bapa yang bekerja.
Ketua Biro Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Siti Norsuraya Ali berkata, pelbagai perkara perlu diberikan perhatian sekiranya pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak mahu diwujudkan di tempat kerja.
 “PPIM melihat perkara itu sebagai isu sosial yang sangat serius dan perlu ditangani semua pihak kerana ia membabitkan keselamatan anak kecil yang diletakkan di bawah jagaan pengasuh ketika ibu bapa keluar bekerja.

“Sebelum menyelaraskan penubuhan pusat asuhan di tempat kerja, kerajaan dan majikan perlu menyelesaikan masalah sijil kelayakan menduduki bangunan (CF) di pejabat kerajaan mahupun swasta yang belum mendapat perakuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pelbagai masalah teknikal lain seperti logistik.

“Kami juga mengesyorkan pusat asuhan dan jagaan yang bukan saja berdaftar tetapi beroperasi 24 jam untuk mereka yang bekerja mengikut syif dan luar waktu pejabat selain kedudukan lokasi berdekatan hospital,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, keupayaan pengasuh juga perlu diberi penekanan dengan mengambil mereka yang bertauliah saja mengendalikan kanak-kanak.
“Kami melihat latihan kecemasan seperti bantuan pernafasan (CPR) bukan saja perlu diwajibkan untuk pengasuh tetapi juga ibu bapa sebagai bantuan awal sebelum dirujuk ke klinik mahupun hospital.
“Selain itu, pemantauan berkala daripada pihak berkuasa juga perlu dan bukan hanya bertindak jika menerima aduan mahupun apabila berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Mengulas lanjut isu disiarkan muka depan Harian Metro semalam, beliau berkata, PPIM turut menerima sekurang-kurangnya lima aduan dalam tempoh tiga hari lalu membabitkan kes sama yang membuktikan isu pengasuh bermasalah masih gagal ditangani.
“Daripada jumlah itu, tiga kes membabitkan kematian termasuk kes bayi Nur Aisy Mohd Ikhwan dan Abu Zea Ophilea Abu Nain yang disiarkan Harian Metro hari ini (semalam) manakala bakinya cacat kekal dan cedera.
“Selain lima kes itu, kami juga mengumpul maklumat dan mengenal pasti 10 lagi kes berkaitan yang belum mendapat pembelaan sampai sekarang,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan membawa suara pengadu kepada pihak atasan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan keadilan buat anak mereka.
“Kebanyakan hasil siasatan kes diputuskan Tiada Tindakan Lanjut. Kita mahu tindakan diambil kepada pesalah yang bertanggungjawab menyebabkan kematian dan kecederaan mangsa kerana kes mereka bukan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
Artikel Oleh : Harian Metro
LATIH PENGASUH BERTAULIAH

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL