Saturday, April 28, 2018

4462) PRESMA BUKA PELUANG KONGSI NILAI JUALAN RM8 BILION – SINAR HARIAN – 27/4/18



KUALA LUMPUR - Program Gerakan Tunai Zakat (GTZ) di bawah kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat (SPPZ) terus mendapat sokongan para peniaga Muslim dan pemain industri khususnya dari sektor makanan.

Terbaharu, kempen anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tersebut telah menarik perhatian Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) untuk menjalin satu kerjasama dengan PPIM bagi melaksanakan usaha memperkasakan ekonomi ummah.

Presiden  Presma, Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata, kerjasama tersebut bakal membuka peluang ekonomi bernilai jualan RM8 bilion kepada peniaga Muslim yang bergabung di bawah GTZ yang dijanakan oleh lebih 4,000 ahli Presma di seluruh negara.

Ayoob Khan berkata, ini masa yang paling sesuai untuk kerjasama tersebut dijalankan memandangkan keadaan ekonomi semasa yang begitu menekan dan memberi kesan kepada para peniaga.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan industri restoran tidak terjejas dengan keadaan ekonomi semasa kerana perniagaan ini sentiasa mempunyai permintaan tinggi baik dari segi jualan mahupun pembekalan.
"Presma yang mempunyai lebih 4,000 keahlian menjadi platform yang terbaik untuk pembekal muslim di bawah PPIM kerana ahli-ahlinya mempunyai permintaan bekalan yang tinggi dan tekal.

"Hakikat itu bermakna, terdapat potensi ekonomi yang lebih daripada mencukupi untuk direbut oleh para pembekal muslim melalui kerjasama Presma-PPIM ini," jelas beliau selepas mesyuarat kedua-dua pertubuhan tersebut di ibu pejabat Presma Rabu lalu.

Ayoob Khan menambah, selain peluang untuk pembekalan barangan, pihaknya juga telah merancang pelbagai inovasi  perniagaan yang juga boleh disertai oleh para peniaga Muslim di bawah kerjasama yang dijalankan.

Menyentuh perkara sama, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan pula berkata, melalui kerjasama tersebut, pembekal bahan-bahan mentah dalam kalangan ahli PPIM akan diberikan peluang untuk membekal barangan keperluan di restoran-restoran milik ahli Presma.

Jelas Nadzim, pihaknya pula akan memastikan hanya pembekal yang berkualiti serta berkemampuan sahaja terlibat dalam kerjasama tersebut bagi memastikan kualiti serta ketekalan bekalan barangan yang diperlukan.

"Selain saling membantu memperkasakan ekonomi ummah, kerjasama ini juga dapat memberi keyakinan kepada pengguna terhadap isu halal dalam kalangan pengusaha-pengusaha restoran ini.


"Itu sebabnya pembekal untuk kerjasama ini akan disaring dengan teliti bagi memastikan usaha ini berjaya mencapai sasarannya," kata beliau selepas mesyuarat tersebut.


Artikel Oleh : Sinar Harian

PRESMA BUKA PELUANG KONGSI NILAI JUALAN RM8 BILION

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL