KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 individu, termasuk rombongan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dari Pulau Pinang, kerugian hampir RM400,000 selepas menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelancongan.
Syarikat berkenaan yang dipercayai didalangi seorang lelaki, menggunakan akaun Facebook untuk menawarkan pakej percutian pada harga yang murah ke luar negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Vietnam.
Namun, selepas menerima deposit dan bayaran penuh daripada pelanggan, syarikat milik lelaki itu menangguh atau membatalkan pakej yang dijanjikan dengan pelbagai alasan.
Antara alasan yang diberi termasuk masalah pertukaran mata wang, peningkatan kos operasi dan tiket yang mahal.
Mangsa penipuan pula mendakwa tertarik dengan harga murah yang ditawarkan, selain akaun Facebook syarikat itu sebelum ini memaparkan lebih 100 komen dan ulasan yang positif.
Guru dari Pulau Pinang, Nur Ain Abdul Rahim, 29, berkata dia yang mewakili tujuh pelajar OKU di bawah kendaliannya, tertarik dengan pakej percutian ke Jeju, Korea Selatan, yang ditawarkan syarikat berkenaan.
Beliau berkata, jumlah yang perlu dibayar sebanyak RM999 seorang termasuk tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan dan tiket masuk tempat pelancongan menarik di Jeju.
"Kami membuat tempahan pakej berkenaan setahun sebelum percutian pada 28 April sehingga 1 Mei tahun lalu dan sudah membayar sebanyak RM49,000 membabitkan tujuh pelajar kami yang menghidap Autism dan 'Attention Deficit Hyperactive Disorder' (ADHD), 21 ahli keluarga pelajar dan 15 guru.
"Namun, pihak syarikat kemudian memaklumkan pakej berkenaan dibatalkan kurang 20 hari sebelum kami dijadualkan berangkat ke Korea Selatan, tanpa sebarang alasan.
"Apabila menuntut balik wang yang sudah dibayar, pelbagai alasan diberikan. Syarikat itu berdalih meminta masa untuk buat pembayaran, kali terakhir kami berhubung dengan mereka adalah pada November tahun lalu," katanya kepada pemberita dalam sidang media di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.
Eksekutif Pemasaran, Mona Dollah, 37, berkata dua pakej percutiannya dibatalkan selepas membuat bayaran deposit sebanyak RM3000.
"Saya cuba mendapatkan semula wang saya, namun syarikat berkenaan memberikan satu cek tendang kepada saya.
"Sehingga kini, belum ada lagi tanda-tanda saya akan menerima pulangan wang seperti dijanjikan syarikat berkenaan," katanya.
Eksekutif Teknologi Maklumat, Sofiaariyani Abdul Manaf, 44, berkata dia dan 11 lagi rakannya membayar RM1999 untuk pakej percutian lima hari empat malam ke Seoul, Korea Selatan.
"Percutian kami kemudian ditangguhkan dengan alasan tidak ada tiket, dua minggu sebelum kami dijadualkan ke sana.
"Kami cuba mendapatkan semula wang kami, namun masih belum berhasil, malah, kami turut diugut, jika kami dedahkan penipuannya, kami akan disaman," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Pembangunan Sosial PPIM, Dr. Mazlina Abu Bakar, berkata siasatan awal pihaknya mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen untuk menawarkan pakej percutian ke luar negara.
Katanya, lesen syarikat berkenaan hanya untuk membawa pelancong dari luar negara masuk ke negara ini.
"Kami sudah menghubungi lelaki yang dipercayai pemilik syarikat berkenaan, dia hanya berjanji akan membayar kesemua tuntutan pakej percutian yang dibatalkan.
"Mangsa ini sudah pun tampil membuat laporan polis, setakat yang kami tahu, ada 26 laporan polis sudah dibuat terhadap syarikat itu," katanya.
Artikel Oleh : Berita Harian
200 JADI MANGSA PENIPUAN PAKEJ MURAH
No comments:
Post a Comment