Thursday, April 12, 2018

4446) BANTU RAKYAT ATASI HUTANG BERGANDA – BERITA HARIAN – 9/4/18


KUALA LUMPUR: Inisiatif berfokus Manifesto Barisan Nasional (BN) yang menyentuh kadar faedah dan caj lewat bayar kad kredit, diharap dapat membantu menangani masalah keberhutangan pengguna.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata inisiatif itu cukup baik bagi membantu mereka daripada terperangkap dalam kancah hutang yang tinggi.

 “Sekarang kita dapati penggunaannya membabitkan ‘faedah’ atas ‘faedah’ ataupun caj atas caj iaitu kadar caj berganda sekiranya lewat bayar. Sepatutnya sekali saja caj lewat yang dikenakan.

“Kami menerima banyak kes membabitkan masalah hutang kad kredit yang tinggi. Contohnya, daripada RM10,000 berganda-ganda dari masa ke semasa. Kasihan mereka, kerana rata-rata adalah orang biasa.
“Bank tidak sepatutnya mengenakan caj sesuka hati kepada pengguna kad kredit. Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu melihat semula perkara ini. Kita harap manifesto ini boleh membantu rakyat,” katanya kepada NSTP, hari ini.
Manifesto BN yang dilancarkan Sabtu lalu, antara lain berjanji untuk menurunkan had maksimum kadar faedah dan caj lewat bayar kad kredit. Ia adalah komitmen dalam mengutamakan ekonomi hidup rakyat.
Mengulas mengenai inisiatif menjihadkan ekonomi halal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan Malaysia menjadi peneraju industri halal dunia dengan Bumiputera sebagai penggerak utama industri, Nadzim berkata, ekonomi halal memang suatu ruang lingkup perniagaan yang amat besar.
“Sebenarnya, kita sudah menerajui industri halal. Cuma, ia perlu dirancang dengan lebih baik lagi. Malah kita juga melihat orang bukan Islam dapat mengaut untung daripada industri ini.
“Kita berharap selepas ini lebih ramai orang Islam yang dapat mengambil manfaat daripadanya. Orang Islam tidak harus melihat dan menjadi pengguna saja, tetapi turut mengeluarkan produk halal,” katanya.
Laporan media menyatakan, industri halal dunia dijangka berkembang antara AS$3 trilion dan AS$4 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang, berbanding anggaran semasa AS$2 trilion, disokong permintaan berterusan dari negara majoriti Islam dan bukan Islam.
Pada masa ini, ada seramai 1.84 bilion umat Islam di seluruh dunia, merangkumi 24.4 peratus penduduk dunia dan menjelang 2030, jumlahnya dijangka mencecah 2.2 bilion.
Pertambahan penduduk Islam seluruh dunia memberikan peluang yang menarik kepada ekonomi Islam seperti Malaysia, untuk mengkomersialkan produk halal pada peringkat antarabangsa.

Artikel Oleh : Berita Harian
BANTU RAKYAT ATASI HUTANG BERGANDA – BERITA HARIAN – 9/4/18

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL