Saturday, February 10, 2018

4358) AJAR DIRI BERJIMAT CERMAT – UTUSAN MALAYSIA – 10/2/18



MASYARAKAT perlu belajar untuk berjimat dalam segi perbelanjaan dan cermat dalam menguruskan keperluan bagi menjamin kehidupan yang bebas daripada dibebani masalah kewangan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sebagai masyarakat dan pengguna, mereka harus bijak membezakan keperluan berbanding kehendak sematamata mahu mengikut trend atau mendapatkan barangan dengan harga lebih rendah.
Menurutnya, PPIM menerima banyak aduan mengenai pinjaman ceti haram atau ah long disebabkan oleh permasalahan tersebut walaupun pada dasarnya mereka mempunyai gaji antara RM5,000 hingga RM8,000.
“Golongan tersebut sebenarnya cetek pengetahuan dalam menguruskan kewangan mereka dalam membezakan apa itu keperluan dan kehendak yang akhirnya akan menjerat diri sendiri dan mula menganggap mereka miskin.
“Pendidikan kewangan perlu diajar bermula daripada peringkat muda iaitu menekankan kepentingan wang untuk masa depan dan bukannya berbelanja mengikut trend atau melihat orang lain yang lebih kaya semata-mata,” jelasnya ketika dihubungi S2 di sini baru-baru ini.
Kategori miskin relatif berlaku bukan sahaja dalam kalangan penduduk di negara ini malah di seluruh dunia kerana merasakan diri mereka miskin jika dibandingkan dengan mereka yang lebih kaya.
Nadzim berkata, masyarakat perlu membezakan diri mereka dengan orang yang jauh lebih susah bagi memberi kesedaran dan mampu untuk menghargai setiap benda yang dimiliki tanpa berlaku sebarang pembaziran.
Menurutnya, psikologi berlawanan ini sedikit sebanyak membantu untuk memberikan keinsafan bahawa apa yang dimiliki adalah jauh lebih mencukupi berbanding mereka yang tidak mempunyai makanan yang mencukupi atau sebagainya.
Tambahnya, perkara itu berlaku kepada mereka yang bergaji tidak seberapa tetapi hidup bahagia dengan keluarga di bandar besar walaupun pelbagai cabaran dihadapi terutamanya dari segi kewangan.
“Mereka perlu ubah gaya hidup, jika sebelum ini minum di kedai kopi mahal sehingga RM15 secawan setiap hari apa salah sesekali buat air sendiri di rumah dan minum bersama keluarga,” jelasnya.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
AJAR DIRI BERJIMAT CERMAT

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL