KUALA LUMPUR 18 Feb. – Fitrah seorang penjenayah, sudah semestinya merancang dengan teliti dan licik sebelum memperdayakan mangsa seperti yang dapat dilihat dengan jelas dalam kes-kes penipuan menggunakan maklumat perbankan orang lain.
Maklumat perbankan tersebut digunakan untuk menutup jejak kewangan (money trail) jenayah yang dilakukan bagi mengaburi bukan sahaja mata pihak berkuasa tetapi juga mangsa bagi mengelakkan diberkas.
Menurut beberapa mangsa penipuan yang ditemubual Utusan Malaysia, penjenayah-penjenayah berkenaan akan menggunakan sekurang-kurangnya lima atau enam akaun bank dan sering memberikan pelbagai alasan bagi meyakinkan sasaran jenayah mereka.
Menurut salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah, 54, dia kerugian hampir RM40,000 ketika cuba membuat pinjaman peribadi dengan sebuah ‘syarikat kewangan’ yang ditemui melalui media sosial kerana terpedaya dengan taktik licik tersebut.
Abdullah berkata, pada peringkat awal, dia diberitahu permohonan pinjamannya itu telah diluluskan namun penjenayah yang mengenalkan dirinya sebagai Kennedy itu memaklumkan syarikatnya memerlukan wang berjumlah RM8,000 sebagai bayaran pengurusan dan turut memberikan nombor akaun yang perlu digunakan untuk memasukkan wang berkenaan.
Kennedy turut menjanjikan pihaknya akan memulangkan wang tersebut bersama ‘pinjaman’ yang telah diluluskan itu.
Bagaimanapun, selepas beberapa hari, penjenayah berkenaan sekali lagi menghubungi Abdullah dan menyatakan ‘akauntan’ yang menguruskan pinjaman tersebut meminta Abdullah untuk memasukkan RM5,000 lagi ke dalam satu lagi akaun bank, kali ini untuk ‘urusan guaman’.
“Pada mulanya saya percaya kerana seorang rakan sebelum ini berjaya mendapatkan pinjaman daripada syarikat itu, namun selepas mereka terus meminta lagi wang, saya menjadi musykil dan memaklumkan kepada Kennedy mahu membatalkan permohonan pinjaman tersebut.
“Bila enggan akur, lelaki berbangsa Cina itu mengugut saya dengan mengatakan wang-wang yang telah dibayar sebelum ini adalah satu bentuk rasuah dan boleh menyebabkan saya dan akauntan dipenjarakan melainkan sejumlah wang lagi dibayar kepada syarikat sebagai denda,” jelas beliau.
Abdullah menambah, sebanyak lima transaksi kewangan telah dilakukan yang mana setiap satu daripadanya menggunakan akaun milik orang yang berlainan.
Kes yang hampir sama juga berlaku kepada Roslina, 41, yang mana dia telah ditipu sebanyak hampir RM6,500 semasa hendak membuat pinjaman dengan ah long.
Menurut beliau, pada mulanya, ah long itu memberikan alasan dia perlu membayar RM1,000 sebagai wang ‘bayaran peguam’ untuk meluluskan dan melepaskan pinjaman yang dimohon.
“Untuk setiap bayaran yang diminta, saya dikehendaki memasukkan bayaran tersebut ke beberapa akaun milik individu berbeza.
“Melihatkan ah long itu semakin lama semakin banyak meminta bayaran atas alasan untuk memproses pinjaman RM5,000 itu, saya batalkan niat untuk meminjam,” jelas beliau.
Selain Abdullah dan Roslina, terdapat banyak lagi kes yang sama terjadi di negara ini.
Rujukan dengan rekod laporan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menunjukkan terdapat hampir 150 kes penipuan seperti yang dilalui Abdullah dan Roslina berlaku pada 2017 sahaja.
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
PENJENAYAH PENIPUAN MAKLUMAT PERIBADI LICIK PERDAYA MANGSA TERDESAK
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/video-kurang-taksir-hilang-laba-1.612008#ixzz57XZ2hKBB
© Utusan Melayu (M) Bhd
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment