Thursday, February 15, 2018

4365) EJEN KEBAS WANG KWSP – HARIAN METRO – 15/2/18


Ejen keluar duit. Itu tawaran satu sindiket yang mengambil kesempatan ke atas pencarum yang ingin mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ekoran masalah kesihatan.
Dengan mengenakan caj sebanyak 20 hingga 50 peratus, mereka juga dikesan menggunakan dokumen palsu bagi memperdayakan petugas di kaunter untuk urusan pengeluaran.
Dalam kes terbaru, seorang wanita berusia 45 tahun hampir menjadi mangsa seorang lelaki yang mendakwa dirinya boleh membantu mengeluarkan wang caruman.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Maimun berkata, perkenalannya dengan lelaki itu diaturkan seorang rakannya di sebuah restoran di Klang beberapa minggu lalu.
Dalam pertemuan itu, lelaki berkenaan menawarkan bantuan untuk berjumpa dengan doktor di Sri Kota, Klang bagi tujuan penyediaan dokumen sebelum dihantar ke KWSP.
“Kami ke hospital dan dia membayar semua perbelanjaan rawatan penyakit buah pinggang berjumlah RM650.
“Saya menghidap penyakit ini lebih setahun lalu dan doktor memaklumkan saya boleh memohon pengeluaran caruman.
“Selepas laporan doktor siap, lelaki itu mendesak saya membayar seba nyak 20 peratus daripada jumlah pengeluaran iaitu kira-kira RM25,000,” katanya ketika membuat aduan kepada sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, kelmarin.
Maimun berkata, hampir setiap hari lelaki itu akan menelefonnya meminta bayaran sehingga sanggup memberi ‘diskaun’ 3 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Menurutnya, bukan itu saja, lelaki terbabit juga datang ke rumah dan menceroboh masuk serta memaksanya ke KWSP untuk urusan pengeluaran, namun dia enggan.
“Mujur ada suami saya ketika itu. Jika tidak saya pun tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, semakan pihaknya dengan KWSP mendapati wujud sindiket yang memperdayakan orang ramai kononnya mereka adalah ejen dilantik agensi terbabit untuk memudahkan orang ramai membuat pengeluaran.
Bagaimanapun, katanya, ia sebenarnya satu penipuan terancang oleh sindiket yang turut menggunakan dokumen palsu untuk memperdaya pihak berwajib dalam urusan terbabit.
“Kita nasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran seperti itu kerana ia jelas satu taktik licik untuk mengaut untung mudah.
“Ada saluran pengeluaran untuk mereka yang sakit. Boleh terus berhubung dengan KWSP, tak perlu orang tengah pun,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro
EJEN KEBAS WANG KWSP

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL