Headline: Saran cari sumber kewangan tambahan
Publication: MA
Date of publication: Dec 29, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 016
Kuala Lumpur: Pengguna kini perlu sedar mengenai bebanan kos
sara hidup tinggi selepas kenaikan harga beberapa barangan keperluan termasuk
caj perkhidmatan dengan meningkatkan produktiviti diri untuk mencari sumber
kewangan tambahan.
Perkara itu disarankan Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) dalam Seminar Sesi Penerangan Isu Pelaksanaan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST), Subsidi, Muflis dan Along di Akademi Pencegahan Rasuah
Malaysia, di sini, semalam.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba
masanya pengguna tidak boleh lagi menunggu bantuan kerajaan sebaliknya mencari
jalan memperoleh pendapatan tambahan seperti berniaga.
Katanya, kenaikan harga barangan pada masa kini sudah
menjadi masalah utama pengguna dan disebabkan itulah pengguna tidak boleh lagi
berdiam diri dengan hanya bersembang kosong tanpa mengambil tindakan.
Menurutnya, tahun depan akan menjadi masalah lebih getir
kepada pengguna dengan penambahan GST dan pengguna seharusnya sudah mempunyai
perancangan memantapkan ekonomi mereka.
"Kita tidak mahu mereka hanya duduk diam dengan
mengutuk kenaikan harga barangan sebaliknya mereka perlu fikir bagaimana
mencari pendapatan tambahan dan dalam sesi penerangan ini, PPIM mengajar
beberapa tip berniaga.
"Mereka perlu keluar daripada beban hutang yang
ditanggung sebelum ini dan perlu berwaspada dengan taktik pihak tertentu
menjerumuskan mereka dalam hutang sehingga diisytiharkan bankrap,"
katanya.
Nadzim turut mengingatkan kerajaan sentiasa berwaspada bagi
memastikan GST yangdilaksanakan nanti tidak berlaku ketirisan sehingga
menyebabkan pengguna marah.
Menurutnya, setiap kenaikan dibayar pengguna perlu dibalas
dengan manfaat dan tidak seharusnya wang berkenaan digunakan untuk perkara
tidak sewajarnya.
"Kenaikan harga tol misalnya, kerajaan perlu memastikan
kenaikannya membawa manfaat kepada pengguna seperti tidak lagi berlaku
kesesakan dan jalan berlubang bagi keselesaan pengguna," katanya
No comments:
Post a Comment