Tuesday, December 24, 2013

1047) HARIAN METRO 24/12/2013 BENIH IKAN RM1 JUTA





Headline: BENIH IKAN RM1 JUTA
Publication: HM
Date of publication: Dec 24, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Bantulah saya. Saya ada sebidang tanah bersama rumah, dua rumah teres dan sebuah kereta untuk dicagar. Dengan adanya modal cagaran nanti, boleh saya mulakan kembali perniagaan serta bina kehidupan semula sementara menunggu wang semula," kata Mohd Shukri Mohsin Fadzli, 32, mangsa penipuan pelaburan ikan arowana berjumlah hampir RM1 juta.

Anak kepada seorang bekas wakil rakyat itu kini ke hulu ke hilir membawa bersama dokumen berkenaan bagi mencari mereka yang berpotensi memberikan sejumlah besar wang untuk dia membayar hutang selain meneruskan perniagaan lain yang tergendala sejak 2010.

Dia kini hidup dalam keadaan tertekan selepas menghabiskan semua wang yang ada termasuk simpanan ibu bapanya.

Menurutnya, episod hitam itu bermula apabila dia tertarik dengan satu skim pelaburan ikan arowana di Hulu Langat, tiga tahun lalu.

Katanya, selepas diperkenalkan rakan, dia dibawa berjumpa seorang lelaki yang mengusahakan perniagaan menjual benih ikan arowana dan bersetuju menyerahkan wang pelaburan RM370,000 sebagai permulaan.

"Waktu itu, saya dijanjikan pulangan keuntungan berjumlah RM210,000 setahun. Melihat kepada rekod lampau, lelaki itu meyakinkan saya dia adalah usahawan tulen yang berkecimpung dalam perniagaan itu sejak 18 tahun lalu.

"Tidak lama kemudian, dia meminta lagi RM100,000 dengan alasan perlu mendapatkan lagi benih ikan berkenaan yang didakwa mendapat permintaan tinggi di pasaran.

"Selepas itu dalam tempoh yang singkat dia bayar kembali wang pinjaman menyebabkan saya yakin dengan usaha sama itu," katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Saharudin Bakar.

Mohd Shukri berkata, tidak lama kemudian, rakan kongsinya itu meminta dia memberikan wang berjumlah RM250,000 dengan alasan perlu membeli benih terbaik dari negara jiran dan selepas itu mereka terus terputus hubungan.

"Dia hanya memberikan pelbagai alasan termasuk belum mendapat bayaran daripada benih ikan yang dijual dan ada ketika, saya telefon dia berkali-kali tak berjawab. Dalam tempoh itu dia terus meminta wang antara RM40,000 dan RM270,000. Bimbangkan proses berniaga tersangkut di tengah jalan, saya beri jumlah yang diminta, malangnya dia terus lesap.

"Saya terpaksa jual semua harta saya termasuk jam tangan, kereta, traktor, lori dan aksesori lain menerusi laman web untuk membiayai kehidupan kami sekeluarga. Mujur bapa banyak membantu. Dia berikan kebenaran untuk saya cagar harta yang ada untuk dapatkan modal semula dengan anggaran berjumlah RM800,000.

"Kehidupan sebagai ahli perniagaan dulu sudah berubah. Saya terima nasib ini seadanya, ke mana saya pergi, saya bawa bersama dokumen ini kerana ini saja yang tinggal," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kajang berhubung kes itu.

Menurutnya, harga sebidang tanah berserta rumah di Kajang dinilai pada harga RM450,000 manakala dua rumah teres di Ipoh berharga RM100,000 setiap seunit selain sebuah kenderaan pelbagai guna bernilai lebih RM70,000 yang dianggap sebagai 'penyambung' hidup selepas dihimpit masalah berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Mohd Shukri menghubungi lelaki itu, bagaimanapun dia memutuskan talian sebaik mendengar suaranya.


Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan membawa perkara itu kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam masa terdekat bagi membantu mangsa.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL