Headline: Kertas soalan Matematik tidak bocor
Publication: BH
Date of publication: Dec 5, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 019
Byline / Author: Oleh Muhammad Mustakim Ramli
Kuala Lumpur: Siasatan polis mendapati tidak berlaku
kebocoran kertas soalan subjek Matematik dan Matematik Tambahan peringkat Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) seperti yang didakwa berlaku dalam satu seminar di
Setiawangsa di sini, bulan lalu.
56 pelajar beri keterangan
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata polis
telah memanggil dan mengambil keterangan 56 pelajar yang menghadiri seminar itu
dan mendapati tiada pengedaran kertas soalan seperti didakwa.
"Siasatan mendapati, seminar yang diadakan di sebuah
masjid itu membincangkan kertas soalan peperiksaan tahun sebelumnya dan soalan
ramalan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala
Lumpur, semalam.
Siasatan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas
polis menerima aduan tiga individu yang mendakwa soalan ramalan diajar dalam
seminar itu sama dengan kertas Matematik SPM.
Pada 22 November lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) turut mendakwa menerima aduan sama daripada tiga individu terbabit
mendakwa berlaku kebocoran.
Mereka mendakwa kertas itu diedar dalam seminar SPM 2013
dikelola seorang guru di Masjid Mua'adz Bin Jabal, Setiawangsa.
Sementara itu, Mohmad berkata, 21 pekerja dan pemilik premis
pajak gadai ditahan dalam Ops Cantas Khas Kedai Pajak Gadai diadakan di sini,
kelmarin.
"Kita memeriksa 22 premis, 18 dikesan menjalankan
perniagaan tanpa lesen dan kita menahan 21 orang termasuk empat perempuan
berusia 20 hingga 50 tahun untuk membantu siasatan," katanya.
No comments:
Post a Comment