Monday, December 30, 2013

1066) UTUSAN MALAYSIA 28/12/22013 GERAKAN SEMANGAT PENGGUNA



KUALA LUMPUR 28 Dis. - Rakyat negara ini diseru untuk menggerakkan semangat kepenggunaan bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

Semangat itu, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, lebih bermakna daripada terlibat dengan perhimpunan haram yang membawa kehancuran kepada negara.

Katanya, permuafakatan semangat antara rakyat dan persatuan pengguna sebagai sebuah entiti kuasa yang kuat dalam mencorak harga pasaran penting bagi menjamin untuk tidak menerima kesan daripada peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, kaedah tersebut sekali gus membendung sebarang kenaikan harga melampau, penindasan terhadap hak pengguna serta kebarangkalian muflis.

"Saya juga berharap rakyat melihat perkara ini (peningkatan kos hidup) sebagai satu cabaran kepada diri untuk mencari alternatif lain dalam menjana pendapatan sampingan. Inilah seruan bagi kita untuk bekerja dengan lebih keras dan jangan membantah semata-mata.

"Takkan kita hendak membantah kenaikan harga tol selama-lamanya? Takkan kita hendak bergantung dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sahaja? Kita perlu keluar dari kepompong keselesaan dan 'gigit peluru yang mendatang'.

"Kita perlu produktif dan tidak boleh duduk sahaja mengharapkan jasa baik pihak lain, jangan pula pada satu tahap terpaksa bergantung kepada ah long atau peraduan gores dan menang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Penerangan Isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Subsidi, Muflis dan Ah Long di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung PPIM, Sheikh Abd. Kareem S. Khadaied dan bekas individu yang muflis RM84 juta, Radziah Hussein.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, persatuan-persatuan pengguna sebagai platform memperjuangkan hak kepenggunaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak terutama ketika wujud kecenderungan oleh para peniaga untuk mengeksploitasi harga barang.

Jelas beliau, solidariti rakyat di bawah payung persatuan pengguna adalah satu kaedah penyelesaian berkesan yang membawa kepada kesedaran dalam memberi tekanan kepada peniaga untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga.

Dalam masa sama, kata beliau, pihak kerajaan perlu meningkatkan keberkesanan tadbir urus negara terutama dengan mengurangkan kos berbanding menaikkan harga barang dalam usaha merasionalisasikan subsidi seperti dinasihati bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"PPIM turut meminta kerajaan meningkatkan gaji pasukan keselamatan terutama polis, askar dan imigresen yang kita lihat mendapat sekitar RM1,200 hingga RM1,300 sahaja. Pemberian ini dilihat dapat meningkatkan moral mereka untuk berkhidmat," katanya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL