KUALA LUMPUR 4 Dis. - Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau
dan Air digesa mencari alternatif bagi mengelakkan pengguna terbeban dengan
kenaikan tarif elektrik bermula Januari depan.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna
Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj berkata, antara alternatif yang boleh
dipraktikkan adalah menerusi pendidikan kepenggunaan kepada rakyat.
"Pendidikan dari segi penggunaan barangan elektrik perlu
diberikan bagi mengatasi masalah kenaikan tarif elektrik dengan membantu
pengguna mengetahui cara untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik di
rumah.
"Saya percaya dengan cara itu, rakyat dapat menjimatkan
elektrik dengan cara yang betul seterusnya mengurangkan beban terpaksa dihadapi
dengan kenaikan tarif elektrik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia
di sini hari ini.
Berkuat kuasa 1 Januari 2014, kadar purata tarif elektrik di
Semenanjung akan dinaikkan sebanyak 4.99 sen/kWj atau peningkatan sebanyak
14.89 peratus daripada kadar purata semasa 33.54 sen/kWj kepada 38.53 sen/kWj.
Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar purata
tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 5.00 sen kWj (peningkatan sebanyak 16.9
peratus) daripada kadar semasa iaitu 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen.
Menurut Paul, pengecualian bil elektrik bulanan kepada
pengguna domestik yang menggunakan elektrik di bawah RM20 perlu dikaji semula
kerana jumlah tersebut tidak lagi relevan kepada pengguna di bandar.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan
Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB)
sebagai syarikat tunggal elektrik di negara ini juga perlu memastikan rakyat
tidak terbeban dengan tarif elektrik yang dikenakan.
"TNB seharusnya memacukan usaha lain sebagai alternatif
kepada peningkatan tarif elektrik dengan menggalakkan orang awam menyemarakkan
penggunaan teknologi hijau yang menjadi dasar kerajaan," katanya.
Tambahnya, penggunaan tenaga solar dapat menjimatkan
kegunaan tenaga elektrik dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan
teknologi hijau terhadap alam sekitar masih lagi kurang.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata,
kenaikan tersebut memberi kesan kepada imbangan ekonomi terutamanya golongan
miskin yang berpendapatan rendah dan sederhana.
"Taraf hidup di negara kita masih seperti biasa dan
kenaikan tersebut akan menyebabkan kadar inflasi melambung tinggi yang secara
tidak langsung akan memberikan kesan kepada penduduk miskin," katanya.
Menurutnya, tindakan itu tidak munasabah dan tidak sesuai
pada masanya ketika rakyat baru sahaja menghadapi bebanan berikutan kenaikan
pelbagai harga barangan seperti minyak dan gula.
No comments:
Post a Comment