Saturday, August 24, 2013

857) HARIAN METRO 3/8/13- Apa hal hanya amaran...



Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Kuala Lumpur: "Tiada makna kalau sekadar beri amaran kepada pengusaha pusat penyembelihan ayam terbabit, esok lusa mereka lakukan kesalahan sama berulang kali dan yang menerima akibatnya nanti adalah pengguna Islam.

"Sepatutnya sejak dulu lagi kenakan tindakan dan hukuman yang seberat-beratnya kepada pengusaha supaya mereka takut melakukan kesalahan yang sama," kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengulas mengenai empat pusat penyembelihan ayam di sekitar Lembah Klang yang diserbu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kelmarin kerana tidak memenuhi standard halal ditetapkan.

Nadzim berkata, pihaknya sudah kerap kali menyuarakan rasa tidak puas hati berkaitan tindakan pengusaha rumah penyembelihan ayam yang mengambil mudah keperluan orang Islam, namun sehingga kini tindakan penguatkuasaan hanya sekadar amaran kepada mereka.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Islam amat mementingkan kebersihan dan halal haram dalam penyediaan makanan.

"Kita kesal kerana walaupun isu ini sudah dibangkitkan sejak berbelas-belas tahun lalu, tapi masih ada pengusaha yang berani melakukan sedemikian. Ini disebabkan tindakan dikenakan kepada pengusaha begitu longgar, sekali gus tidak membawa apa-apa makna kepada mereka.

"Hanya satu saja cara nak beri pengusaha ingatan bahawa pihak berkuasa memandang serius isu berkaitan penyediaan makanan umat Islam iaitu mengenakan tindakan seberat-beratnya termasuk mendakwa di mahkamah. Bagi saya amaran tidak lagi relevan untuk pengusaha tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Beliau juga kesal kerana walaupun ada peruntukan bagi kesalahan itu iaitu Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 dan Persijilan Halal namun tindakan ke atas pengusaha yang terbabit tidak berupaya memberi pengajaran kepada mereka.

"Kita patut contohi penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan di negara jiran yang tidak berkompromi sekiranya rakyatnya melakukan kesalahan," katanya.


Semalam Harian Metro melaporkan mengenai empat pusat penyembelihan ayam yang dikesan menggunakan arus elektrik berlebihan bagi mempercepatkan proses kematian ayam.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL