Sunday, August 25, 2013

863) HARIAN METRO 13/8/13 : 'Apa salah kami'


Kuala Lumpur: "Kami hanya ingin menjual pek permulaan prabayar di situ, tiba-tiba saja pengawal keselamatan itu memaki hamun sebelum memukul salah seorang daripada kami mengakibatkan cedera di kepala.

"Akibatnya kami bimbang keselamatan kerana diburu sekumpulan lelaki selepas berlaku pertengkaran, minggu lalu," kata Norman, seorang daripada sembilan remaja yang terbabit dalam perselisihan faham dengan pengawal keselamatan sebuah kawasan pembinaan di Shah Alam.

Menurutnya, mereka tiba di kawasan itu untuk menjual set talian berkenaan kepada pekerja warga Indonesia sebelum didatangi dua pengawal keselamatan sebelum berlaku pertengkaran.

Norman berkata, dia dan rakan pergi ke kawasan berkenaan berjumpa kumpulan pekerja terbabit sebelum dihalau meninggalkan tempat itu.

Katanya, ketika bergegas keluar, kereta yang mereka naiki dihalang sebelum seorang lelaki menumbuk seorang rakannya hingga luka di kepala.

"Kejadian tidak berakhir di situ apabila mereka datang ke kedai dan berjumpa pengurus kami lalu mengugut membalas dendam. Biarpun pengurus saya menawarkan sejumlah wang, namun dia tetap mahu bersemuka menyebabkan kami rasa terancam," katanya ketika membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, semalam.

Katanya, tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut mendakwa mereka melarikan seutas jam tangan dan rantai bernilai RM25,000 ketika pertengkaran, sedangkan mereka langsung tidak tahu menahu.

"Bimbang dicederakan, saya meminta bantuan PPIM kerana mereka mengugut mencederakan kami untuk membalas dendam," katanya.


Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah untuk tindakan lanjut serta membawa remaja berkenaan membuat laporan di Balai Polis Shah Alam.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL