Saturday, August 24, 2013

861) HARIAN METRO 13/8/13-Rahsia air mata pengapit lelaki


Kuala Lumpur: Percintaan lebih 10 tahun seorang wanita dengan lelaki dikasihi yang diakhiri dengan perkahwinan bertukar mimpi ngeri apabila lelaki terbabit menghilangkan diri sebelum dikesan mengikut seorang lelaki dipercayai 'kekasih misteri' sejak awal tahun lalu.

Dia kini seolah-olah digantung tidak bertali apabila hanya dapat berkomunikasi dengan suami melalui SMS yang ada ketikanya mengambil masa beberapa hari untuk dijawab.

Rozita, 30-an, eksekutif swasta, tidak menyangka perkahwinan dua tahun lalu berakhir begini sedangkan mereka bercinta sudah 10 tahun.

"Tuhan yang tahu perasaan saya ketika ini. Hasrat untuk menjadi isteri yang taat kepada suami serta membina rumah tangga bahagia tidak kesampaian. Selama kenal dia, saya tidak pernah sedar dia cenderung kepada perhubungan sejenis.

"Semuanya bermula pada hari pernikahan kami apabila dikunjungi seorang pemuda berusia awal 30-an yang menjadi pengapit pengantin lelaki tiba-tiba menangis dan meminta saya menjaga suami dengan baik.

"Tidak lama selepas itu, dia kerap menghubungi suami sehingga suami keluar rumah dan tidak pulang hingga sekarang biarpun pelbagai ikhtiar sudah dilakukan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rozita berkata, pada mulanya. dia tidak mengesyaki apa-apa kerana sudah lama mengenali suami dan tindak-tanduknya sama seperti lelaki normal lain.

Sebelum bernikah, dia tidak pernah mengenali lelaki misteri itu dan hanya dimaklumkan sebagai kenalan suami ketika melakukan persiapan perkahwinan mereka.

"Sebab itu, saya mula syak ada yang tidak kena apabila dia menangis teresak-esak meminta saya menjaga suami dengan baik. Selepas itu setiap hari berkali-kali telefon suami menyebabkan perilaku berubah.

"Bukan sehari dua saya mengenalinya. Dia berubah selepas kami bernikah. Setiap hari ada saja SMS daripada lelaki itu sehinggakan saya terjumpa SMS yang tidak sepatutnya dihantar daripada seorang lelaki kepada lelaki lain," katanya.

Rozita berkata, suaminya hanya mendiamkan diri ketika diajukan soalan berkaitan kawan lelakinya itu.

"Sampai satu tahap, suami saya yang mempunyai pendapatan lumayan terpaksa membuat pinjaman along berjumlah lebih RM100,000 tanpa tujuan. Keluarga hanya tahu sebaik didatangi along terbabit," katanya yang merujuk kes itu kepada Penolong Pengarah Unit Dasar, Penyelewengan dan Doktrinisasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Shahrom Maarop.

Rozita berkata, sebagai langkah keselamatan, dia dan keluarga mentua meminta pertolongan Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Saharudin Bakar bagi melangsaikan semua hutang along dan ia sudah selesai.

Katanya, dia tidak berputus asa untuk mengubati suaminya kerana terlalu sayangkan lelaki itu.

"Saya berdoa suami berubah dan kembali ke pangkal jalan. Selagi boleh berusaha, saya akan lakukan apa saja asalkan dia kembali seperti sedia kala," katanya.



No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL