Tuesday, March 26, 2024

STATUS HALAL ALAGAPPAS: KESAN KEPADA PENGGUNA ISLAM - KENYATAAN MEDIA PPIM - 26/03/2025

Kuala Lumpur: Keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengumumkan pihaknya telah menarik balik status halal syarikat pengeluar rempah Alagappas minggu lalu telah mencetuskan keresahan kepada pengguna khususnya pengguna Islam di Malaysia.

Status halal itu dilaporkan ditarik balik berikutan syarikat itu didapati melanggar piawaian yang ditetapkan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) amat bimbang tentang kesan status halal kepada restoran dan pengusaha industri makanan di Malaysia.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata pembatalan status halal ini telah menimbulkan kebimbangan dan tekanan kepada pengguna Muslim di seluruh negara.

"Pengguna yang selama ini mempercayai produk Alagappas sebagai produk halal kini terpaksa mempertimbangkan semula pilihan mereka.

"Sijil pengesahan halal produk adalah penting dalam kehidupan sehari-hari umat Islam, dan pembatalan status halal oleh syarikat pengeluar rempah ini adalah satu pukulan besar terhadap kepercayaan pengguna," katanya.

Nadzim berkata, restoran-restoran yang menggunakan produk-produk tiada sijil halal daripada Alagappas turut terkesan.

Mereka kini perlu memastikan semula status halal mereka melalui pemeriksaan yang teliti oleh JAKIM bagi memastikan kepatuhan terhadap piawaian halal yang ditetapkan.

Dalam menghadapi situasi ini, Nadzim menegaskan JAKIM perlu memberi penjelasan lanjut mengenai tindakan selanjutnya yang akan diambil oleh pihak mereka.

"Apakah langkah yang akan diambil oleh JAKIM selepas ini adalah penting bagi mengembalikan keyakinan pengguna Muslim terhadap status halal produk di pasaran.

"Kami berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan transparan demi menjamin keselamatan serta kepercayaan umat Islam terhadap produk-produk halal di Malaysia," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...