Monday, March 4, 2024

1,000 BERKUMPUL DI PADANG MERBUK, SOLIDARITI DEMI PALESTIN - HARIAN METRO - 02/03/2024

 

Kuala Lumpur: Kira-kira 1,000 individu berkumpul di Padang Merbuk, di sini, bagi menyatakan solidariti dalam Himpunan Mega Demi Palestin, hari ini.

Antara individu yang hadir ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Turut kelihatan beberapa aktivis dan pemimpin politik termasuk Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Terdahulu, kira-kira 300 peserta himpunan berkumpul di perkarangan Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, di sini, bagi menyatakan solidariti terhadap Palestin jam 1.30 tengah hari.

Peserta Himpunan Mega Demi Palestin mula berarak jam 2.20 petang ke Kedutaan Amerika Syarikat sebelum ke beberapa lokasi termasuk Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Hotel Renaissance, Maju Junction, Sogo dan Dataran Merdeka.

Perjalanan berarak sejauh kira-kira enam kilometer yang ditempuh peserta kemudian berakhir di Padang Merbuk sebagai lokasi terakhir himpunan berkenaan.

Dianggarkan kira-kira 20 individu memberi ucapan di Padang Merbuk membabitkan ahli politik, aktivis dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Peserta kemudian bersurai kira-kira jam 6 petang dan tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang himpunan berkenaan berlangsung.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, himpunan itu berjalan baik dan lancar tanpa ada sebarang insiden berlaku.

"Kita anggarkan hampir 1,000 orang hadir himpunan ini dan polis menempatkan keanggotaan secukupnya bagi memastikan himpunan itu berlangsung secara aman," katanya.

Pada 28 Februari lalu, media melaporkan Polis Wangsa Maju menafikan kelulusan permit dikeluarkan berhubung Himpunan Mega Rakyat Demi Palestin seperti dimaklumkan penganjur, Sekretariat Solidariti Palestin (SPP).

Artikel oleh: Harian Metro

1,000 BERKUMPUL DI PADANG MERBUK, SOLIDARITI DEMI PALESTIN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1066128/1000-berkumpul-di-padang-merbuk-solidariti-demi-palestin

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...