Monday, March 11, 2024

BANK WAJAR BERI PELUANG KEDUA KEPADA PEMINJAM BERMASALAH - PPIM - SINAR HARIAN - 11/03/2024

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak bank agar memberi peluang kedua kepada peminjam bermasalah dengan membuka ruang penstrukturan semula.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, peluang itu perlu diberikan kepada individu yang mempunyai hutang lapuk dan disenarai hitam di Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) serta CTOS.

Katanya, bagaimanapun ia perlu diberikan secara bersyarat iaitu peminjam yang mempunyai hutang lapuk namun masih mempunyai pekerjaan tetap dan mampu membuat bayaran.

"Langkah ini lebih berperikemanusiaan. Jika dibankrapkan, mereka (bank) tidak mendapat untung dan kerajaan juga kehilangan kumpulan yang masih berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

"Kebanyakan aduan diterima PPIM ialah pihak bank enggan membenarkan peminjam menstrukturkan semula pinjaman lapuk dan memilih untuk mengambil tindakan undang-undang yang mana caj tetap dikenakan ke atas peminjam," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Nadzim, lebih baik pihak bank mewujudkan skim yang mungkin memberi peluang sekali lagi untuk peminjam melunaskan hutang melalui kaedah memotong gaji atau auto debit dari akaun bank mereka.

"Sudah tahu mereka sukar membayar hutang lama, mengapa digalakkan mereka mengambil hutang baharu untuk melangsaikan yang lama," jelasnya

Tambah Nadzim, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mengenakan kos pengurusan yang tinggi menyebabkan pinjaman dibayar mengambil tempoh lebih lama dan mahal.

Menurutnya, pada tahun 2023, seramai 10,302 individu terdiri daripada golongan muda berusia 25 hingga 35 tahun diisytiharkan bankrap bagi tempoh lima tahun akibat pelbagai faktor terutamanya pinjaman peribadi, sewa beli kenderaan dan pinjaman perniagaan.

"Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) pula menunjukkan jumlah kes kebankrapan bagi tempoh 2018 hingga Disember lalu adalah 49,133 manakala kes terkumpul sehingga tempoh sama adalah 269,654 kes.

"Rekod jabatan itu juga menunjukkan faktor terbesar adalah pinjaman peribadi dengan jumlah kes 20,754 iaitu mewakili 42.24 peratus daripada keseluruhan faktor kebankrapan yang dilaporkan," katanya.

Menurut beliau, pinjaman sewa beli kenderaan menyumbang 7,072 kes iaitu 14.39 peratus diikuti oleh pinjaman perniagaan dengan rekod 6,936 kes mewakili 14.12 peratus keseluruhan.

Artikel oleh: Sinar Harian

BANK WAJAR BERI PELUANG KEDUA KEPADA PEMINJAM BERMASALAH

https://www.sinarharian.com.my/article/653890/berita/nasional/bank-wajar-beri-peluang-kedua-kepada-peminjam-bermasalah---ppim

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...