Monday, October 15, 2018

4678) HELIZA TERUJA BERPELUANG BANTU MANGSA DI PALU – SINAR HARIAN – 14/10/18



SEPANG – Bekas peserta Akademi Fantasia Musim kelima, Heliza Helmi tidak dapat menyembunyikan keterujaannya berpeluang menyertai misi bantuan kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) ke Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.
Penyanyi dan pengacara terkenal itu berkata beliau bersyukur dipelawa pihak Mapim untuk menyertai misi kali kedua pertubuhan berkenaan kerana secara peribadi berasa begitu terkesan dengan nasib saudara seagama yang diuji dengan tragedi dahsyat gempa bumi dan tsunami pada petang 28 September lalu.
“Alhamdulillah hasrat untuk pergi sendiri ke lokasi tragedi itu tercapai dan saya akan sedaya upaya dengan kemampuan yang ada untuk membantu pihak Mapim mengedarkan pek bantuan kepada mangsa apabila tiba di sana.
“Penyertaan dalam misi ini juga pastinya akan memberi pengajaran tersendiri kepada saya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis pelepasan misi kemanusiaan Mapim ke Palu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.
Heliza, 32, yang turut ditemani adiknya, Nur Hazwani Afiqah Helmi, 21, juga berharap orang ramai terus memberikan bantuan kepada mangsa di Palu yang jelas memerlukan sokongan untuk memulakan kehidupan baharu.
Bagi rakan artis, Datuk Seri Eizlan Yusof yang mempunyai tauliah Leftenan Kolonel (Bersekutu) Angkatan Pertahanan Awam (APM), beliau juga berhasrat mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke Palu.
“Sepatutnya saya menyertai misi ini, namun atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa tarik diri dan mungkin akan ke sana (Palu) dalam misi Mapim seterusnya,” katanya.
Gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu setakat ini telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan. – Bernama

Artikel Oleh : Sinar Harian
HELIZA TERUJA BERPELUANG BANTU MANGSA DI PALU

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...