Saturday, October 13, 2018

4669) KUAT KUASA LARANGAN MEROKOK DENGAN TEGAS – KOSMO – 12/10/18



KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan mengisytiharkan semua restoran termasuk warung tepi jalan di negara ini sebagai kawasan larangan merokok bermula pada 1 Januari tahun depan dianggap sebagai langkah positif bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat.
Bagaimanapun Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, larangan tersebut perlu disusuli dengan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan peraturan baharu itu dipatuhi oleh golongan perokok.
“Ia merupakan satu langkah positif untuk mewujudkan kawasan persekitaran bebas rokok yang sekali gus memberi keselesaan kepada pelanggan ketika berada di restoran atau warung.
“Sekiranya tiada pemantauan atau penguatkuasaan daripada pihak berkuasa peraturan itu akan dipandang sepi oleh perokok.
“Sebagai contoh walaupun kawasan Rehat dan Rawat merupakan tempat larangan merokok tetapi kita masih boleh melihat masih ramai orang merokok,” katanya ketika dihubungi Kosmo di sini semalam.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan Kementerian Kesihatan yang mengisytiharkan semua restoran termasuk warung di tepi jalan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok bermula 1 Januari depan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (Presma), Ayub Khan turut menyambut baik peraturan baharu itu kerana ia bertepatan dengan kehendak orang ramai yang mahukan keselesaan ketika menikmati makanan di restoran.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar pengusaha restoran menyediakan satu ruang khas bagi membolehkan perokok untuk menghisap rokok.
“Paling utama adalah penguatkuasaan bagi memastikan peraturan yang dibuat itu dipatuhi seiring dengan langkah kerajaan itu,” ujarnya.

Artikel Oleh : Kosmo
KUAT KUASA LARANGAN MEROKOK DENGAN TEGAS

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...